Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump dakwa China batalkan perjanjian pesawat Boeing

Langkah dilihat sebagai tindak balas terhadap dasar perlindungan perdagangan Amerika
Apr 16, 2025 | 10:38 AM
Tindakan China menghentikan pembelian komponen berkaitan pesawat Boeing dijangka meningkatkan kos penyelenggaraan bagi pesawat yang beroperasi di negara itu.
Tindakan China menghentikan pembelian komponen berkaitan pesawat Boeing dijangka meningkatkan kos penyelenggaraan bagi pesawat yang beroperasi di negara itu. - Foto fail

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mendakwa China telah membatalkan satu perjanjian besar dengan syarikat penerbangan Boeing, ketika ketegangan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu kembali memuncak.

“Menariknya, mereka baru sahaja mungkir terhadap perjanjian besar Boeing itu, dengan mengatakan bahawa mereka tidak akan ‘mengambil pesawat’ yang telah dipersetujui sepenuhnya,” kata Encik Trump dalam satu hantaran di platform Truth Social.

Hantaran itu merujuk laporan Bloomberg bahawa pemerintah China mengarah syarikat penerbangannya agar menghentikan penerimaan pesawat Boeing yang baru.

Bagaimanapun tiada perician bentuk perjanjian Boeing yang dirujuknya.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas laporan Bloomberg menyebut China juga meminta syarikat penerbangannya supaya menghentikan pembelian alat ganti dan peralatan berkaitan pesawat dari syarikat Amerika.

Langkah itu dilihat sebagai tindak balas terhadap dasar perlindungan perdagangan Encik Trump yang lebih tegas sejak beliau kembali ke Rumah Putih pada awal 2025.

Presiden Trump telah mengenakan tarif tambahan sehingga 145 peratus terhadap banyak barangan import dari China, selain mengenakan “tarif asas” 10 peratus ke atas negara dagang lain.

China sebelum ini turut membalas dengan menaikkan tarif import ke atas produk Amerika termasuk barangan pertanian dan kini pesawat komersial.

Keadaan itu dilihat semakin menekan perusahaan aeroangkasa sejagat yang sedang bergelut akibat masalah rantaian bekalan dan tekanan geopolitik.

“China tidak menghormati pentadbiran sebelumnya. Mereka hanya membeli sebahagian kecil daripada apa yang mereka janjikan sebelum ini,” kata Encik Trump dalam satu kenyataan berasingan.

Ia dipercayai merujuk kepada perjanjian perdagangan yang dimeterai semasa penggal pertamanya yang bertujuan meredakan perang tarif antara kedua-dua negara.

Saham Boeing menjunam sekitar 2 peratus pada 15 April susulan laporan China membeku semua penghantaran pesawat baru.

Syarikat itu juga enggan mengulas lanjut mengenai laporan Bloomberg.

China merupakan antara pasaran pertumbuhan terbesar bagi Boeing, namun syarikat pesaing dari Eropah, Airbus, telah lama menguasai bahagian pasaran yang signifikan di negara tersebut.

Tambahan pula, pengeluar tempatan China, Comac, dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan syarikat penerbangan domestik.

Perusahaan aeroangkasa kini terperangkap dalam kemelut besar, dengan kontrak bernilai berbilion dolar sedang dikaji semula.

Perdebatan turut timbul mengenai siapa yang seharusnya menanggung kos tarif – sama ada pembekal, syarikat penerbangan, atau pembuat pesawat itu sendiri.

Ini termasuk kontrak sedia ada dengan tiga syarikat penerbangan utama China iaitu Air China, China Eastern Airlines dan China Southern Airlines, yang masing-masing dijadual menerima 45, 53 dan 81 pesawat Boeing dalam tempoh antara 2025 dengan 2027.

Selain menangguhkan penghantaran pesawat, China turut dilaporkan menghentikan pembelian alat-alat ganti dari Amerika.

Langkah itu dijangka meningkatkan kos penyelenggaraan bagi pesawat Boeing yang sedang beroperasi di negara itu.

Laporan turut menyatakan pemerintah China sedang meneliti langkah bantuan kepada syarikat penerbangan yang menyewa pesawat Boeing dan kini menghadapi peningkatan kos operasi.

Ini bukan kali pertama China bertindak tegas terhadap Boeing.

Negara itu merupakan yang pertama mengarahkan penggantungan operasi pesawat Boeing 737 MAX selepas dua kejadian nahas pada 2018 dan 2019 yang meragut hampir 350 nyawa.

Masalah terkini menambah lagi tekanan kepada Boeing yang sedang melalui fasa pemulihan selepas berdepan mogok pekerja, kawal selia ketat, dan gangguan rantaian bekalan sepanjang 2024.

Saham syarikat itu susut lebih satu pertiga sejak kejadian kegagalan panel pintu pada pesawat 737 MAX 9 pada 2024.

Penganalisis memberi amaran peningkatan tindak balas antara Washington dengan Beijing itu berisiko menjejas hubungan perdagangan dua hala yang bernilai lebih AS$650 bilion ($855 bilion) pada 2024.

“Jika tarif dan pembatalan kontrak diteruskan, bukan sahaja syarikat besar seperti Boeing yang terjejas, bahkan juga pengeluar kecil, petani dan pengguna dari kedua-dua negara akan menanggung akibatnya,” kata seorang penganalisis perdagangan kepada media tempatan.

Encik Trump dalam kenyataannya berikrar akan terus melindungi golongan petani yang sering dijadikan ‘kambing hitam’ dalam konflik perdagangan.

“Petani kita sering diletakkan di barisan hadapan setiap kali berlaku pertelingkahan dagangan dengan kuasa asing seperti China.

“Saya tidak akan biarkan mereka dipermainkan lagi,” tegas beliau.

Krisis itu dijangka menjadi salah satu isu utama dalam kempen pemilihan semula Encik Trump, dan menurut penganalisis, strategi konfrontasi terhadap China akan terus digunakan untuk meraih sokongan politik.

“Mereka tidak pernah menghormati kita di bawah pentadbiran sebelum ini.

“Tetapi kali ini, kita akan pastikan mereka tahu siapakah yang menentukan peraturan,” kata Encik Trump dengan nada tegas dalam hantaran terakhirnya. –Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg