BEIJING — China akan mengenakan tarif sebanyak 125 peratus ke atas barangan dari Amerika Syarikat bermula 12 April ini, meningkat daripada kadar 84 peratus yang diumumkan sebelum ini, menurut kenyataan rasmi Kementerian Kewangan China pada 10 April.
Langkah drastik itu dibuat selepas Amerika Syarikat terus menekan China dengan menaikkan tarif tambahan ke atas barangan eksport dari negara itu, meskipun telah menggantung sebahagian besar tarif balas terhadap puluhan negara lain.
Menurut Kementerian Kewangan China, tindakan Amerika Syarikat yang mengenakan tarif luar biasa tinggi itu disifatkan sebagai melanggar peraturan perdagangan antarabangsa dan ekonomi secara terang-terangan.
“Langkah ini jelas melanggar peraturan ekonomi dan perdagangan antarabangsa, bertentangan dengan undang-undang ekonomi asas serta menafikan logik perdagangan biasa. Ia merupakan tindakan buli dan paksaan secara unilateral,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Tambah kenyataan itu lagi, jika Amerika Syarikat terus mengenakan tarif tambahan ke atas barangan China yang dieksport ke negara itu, China tidak akan lagi mengambil kira tindakan tersebut kerana produk Amerika Syarikat tidak lagi memberikan nilai ekonomi kepada para pengimport.
“Tarif yang dikenakan Amerika Syarikat ke atas produk China kini hanya menjadi permainan angka yang langsung tidak mempunyai nilai ekonomi sebenar,” kata jurucakap kementerian tersebut.
“Langkah ini hanya akan mendedahkan lagi tindakan buli dan paksaan Amerika Syarikat. Akhirnya, ia hanya akan menjadi bahan jenaka,” tegasnya.
Kenaikan tarif ini dijangka akan meningkatkan ketegangan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu, sekali gus memberi kesan kepada pasaran global serta rantaian bekalan antarabangsa.
Menurut laporan Reuters dan AFP, Amerika Syarikat sebelum ini telah menyasarkan China secara khusus untuk kenaikan tarif tambahan selepas menggantung sebahagian besar tarif balas terhadap negara-negara lain.
China, sebagai ekonomi kedua terbesar dunia dan pembekal kedua terbesar barangan ke Amerika Syarikat, kini menunjukkan pendirian tegas bahawa sebarang tindakan Washington yang melampaui batas akan mendapat respons balas yang keras daripada Beijing.- Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg