WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, telah memberi respons terhadap usahanya menghidupkan semula dialog, sehari selepas beliau mengarahkan latihan ketenteraan bersama Amerika-Korea Selatan dikurangkan.

Encik Trump pada 17 Ogos menyifatkan perkembangan itu sebagai “sangat positif”, tetapi tidak memberikan butiran mengenai bentuk respons Encik Kim atau sama ada rundingan rasmi antara Washington dengan Pyongyang telah bermula.

Ketika ditanya wartawan di Pejabat Oval mengapa Encik Kim tidak membalas permintaannya untuk berbincang sejak beliau kembali ke Rumah Putih, Encik Trump menjawab: “Bagaimana anda tahu beliau tidak memberi respons?”

Apabila ditanya sekali lagi sama ada pemimpin Korea Utara itu benar-benar sudah memberi respons, beliau berkata: “Ya, beliau sudah.”

Mengenai tahap perbincangan antara mereka, Encik Trump berkata keadaan kini “sangat positif”.

Beliau turut mempertahankan hubungannya dengan Encik Kim dengan berkata hubungan peribadi antara mereka membantu mengurangkan ketegangan di Semenanjung Korea.

“Sebenarnya, saya menjadikan keadaan jauh lebih selamat. Kim Jong Un sentiasa melayan saya dengan penuh hormat,” katanya.

“Saya memahami beliau. Beliau memahami saya.”

Encik Trump dan Encik Kim bertemu tiga kali semasa penggal pertama Presiden Amerika itu, termasuk sidang puncak bersejarah di Singapura pada Jun 2018.

Kedua-dua pemimpin belum bertemu sejak Encik Trump kembali menjadi Presiden, tetapi beliau beberapa kali menyatakan hasrat untuk menghidupkan semula hubungan langsung dengan Encik Kim.

Encik Trump turut berkongsi semula gambar lama beliau bersama pemimpin Korea Utara itu di media sosial pada hujung minggu lalu dan berkata mereka mempunyai hubungan yang baik, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan satu lagi sidang puncak.

Kenyataan terbaru itu dibuat sehari selepas Encik Trump mengarahkan Pentagon mengurangkan penyertaan Amerika dalam latihan ketenteraan bersama Ulchi Freedom Shield dengan Korea Selatan.

Latihan selama 11 hari itu bermula pada 17 Ogos dan dijadualkan berlangsung sehingga 27 Ogos.

Encik Trump menyifatkan latihan tersebut sebagai terlalu mahal dan memberi isyarat yang “tidak wajar dan bermusuhan” kepada Korea Utara, yang menurutnya bersikap tidak mengancam dan menghormati Amerika sepanjang beliau menjadi Presiden.

Beliau berkata sudah terlambat untuk membatalkan latihan itu sepenuhnya, lalu mengarahkan Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth, supaya mengurangkan skala penyertaan Amerika dengan ketara.

Pyongyang sejak sekian lama mengecam latihan ketenteraan Amerika-Korea Selatan sebagai persediaan untuk menyerang Korea Utara, sementara Washington dan Seoul menegaskan ia bersifat defensif.

Korea Utara sebelum latihan itu bermula turut menguji peluru berpandu balistik dan memberi amaran bahawa ia boleh bertindak dengan “tahap pencegahan baru” sebagai tindak balas.

Pejabat Presiden Korea Selatan berkata latihan tersebut tidak mempunyai sebarang niat untuk menyerang Korea Utara atau meningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea.

Presiden Korea Selatan, Encik Lee Jae Myung, menegaskan tujuan asas latihan itu ialah melindungi keselamatan dan kehidupan aman rakyat, bukan menjadikan pihak tertentu sebagai musuh.

Seoul turut berharap hubungan peribadi antara Encik Trump dengan Encik Kim dapat membuka semula laluan kepada dialog yang bermakna antara Amerika dengan Korea Utara.

Encik Trump bagaimanapun turut mengaitkan keputusannya mengurangkan latihan itu dengan keengganan Korea Selatan membantu Amerika dalam perang dengan Iran.

Beliau mempersoalkan mengapa Washington perlu terus memberikan perlindungan keselamatan kepada Korea Selatan sedangkan Seoul tidak mahu membantu operasi Amerika terhadap Iran.

“Tunggu sebentar. Kita mempunyai 39,000 askar di sana, melindungi anda daripada Kim Jong Un, jiran sebelah anda, dan anda tidak mahu membantu kita dalam operasi ketenteraan yang sangat mudah di Iran. Itu pelik,” katanya.

Amerika secara rasmi menempatkan kira-kira 28,500 anggota tenteranya di Korea Selatan, sebahagian daripada aturan keselamatan yang diwujudkan selepas Perang Korea 1950-1953.

Encik Trump turut mempersoalkan komitmen Amerika terhadap negara sekutu lain, termasuk anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), yang enggan membantu Washington dalam perang Iran.

“Kita tidak boleh terus melindungi semua negara ini, terutama apabila mereka tidak berada di sana untuk membantu kita,” katanya.

Keputusan mengurangkan latihan itu menerima kritikan daripada anggota kanan Parti Demokrat dalam Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat, Senator Jack Reed, yang memberi amaran langkah tersebut boleh menimbulkan persoalan mengenai komitmen Washington terhadap sekutunya.

Beberapa pakar keselamatan Korea Selatan turut memberi amaran bahawa pengurangan latihan boleh menjejaskan keupayaan kedua-dua negara menghadapi perubahan keupayaan ketenteraan Korea Utara.

Kebimbangan itu meningkat selepas tentera Korea Utara memperoleh pengalaman medan perang melalui penglibatan mereka menyokong Russia dalam perang Ukraine, termasuk penggunaan taktik dron baru.

Hubungan ketenteraan Pyongyang-Moscow semakin rapat sejak kedua-dua negara menandatangani perjanjian perkongsian strategik pada 2024.

Namun bagi Encik Trump, pengurangan latihan itu dilihat sebagai langkah untuk mengurangkan ketegangan dan membuka ruang kepada diplomasi dengan Encik Kim.

Sama ada pendekatan tersebut membawa kepada pertemuan baru antara kedua-dua pemimpin masih belum jelas, tetapi pengakuan Encik Trump bahawa Encik Kim sudah memberi respons menjadi petunjuk terbaru bahawa Washington sedang berusaha membuka semula saluran diplomatik dengan Pyongyang. – Agensi berita.