SEOUL: Menteri Penyatuan Korea Selatan, Chung Dong-young, berkata pada 24 Oktober bahawa terdapat “kemungkinan besar” Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, akan bertemu dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, semasa lawatan ke Semenanjung Korea minggu depan.
Encik Trump dijadual tiba di Korea Selatan pada 29 Oktober untuk menghadiri Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).’
Menurut laporan media Amerika, pegawai dalam pentadbiran Trump telah membincangkan secara tertutup kemungkinan mengatur pertemuan dengan Encik Kim, yang kali terakhir bertemu dengannya pada tahun 2019.
“Korea Utara dilihat memberi perhatian terhadap Amerika Syarikat, dan pelbagai petunjuk menunjukkan kemungkinan besar pertemuan itu akan berlaku,” kata Encik Chung kepada wartawan.
Encik Trump sebelum ini menyatakan hasratnya untuk bertemu semula dengan Encik Kim, berkemungkinan pada tahun 2025.
Sementara itu, Encik Kim Jong Un dalam kenyataannya pada September lalu berkata beliau mempunyai “kenangan baik” terhadap Encik Trump dan bersedia untuk berbincang jika Washington menghentikan tuntutannya yang dianggap “khayalan” agar Pyongyang melucutkan senjata nuklearnya.
Pemerintah Seoul pada 24 Oktober turut menggesa kedua-dua pemimpin agar tidak melepaskan peluang tersebut. “Saya tidak mahu melepaskan walau satu peratus peluang,” kata Encik Chung, yang mengetuai kementerian yang menguruskan hubungan sensitif dengan Korea Utara.
Pertemuan terakhir antara Kim dan Trump berlangsung pada 2019 di Panmunjom, Zon Keselamatan Bersama (JSA) dalam Zon Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan Korea Utara dan Korea Selatan - satu-satunya tempat di mana tentera kedua-dua pihak bersemuka secara tetap.
Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai pertemuan baru itu, Korea Selatan dan Komando Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menggantung lawatan ke kawasan JSA dari akhir Oktober hingga awal November.
Encik Chung turut mendedahkan bahawa beberapa warga Korea Utara dilihat sedang “membersihkan dan menghias” kawasan sekitar JSA buat pertama kali tahun 2025 ini termasuk mencabut rumput liar, menyusun bunga, dan mengambil gambar di sekitar Panmunjom.
Langkah ini, menurut pemerhati, mungkin menjadi tanda awal bahawa Pyongyang sedang bersiap sedia untuk satu peristiwa penting berkemungkinan pertemuan bersejarah antara dua pemimpin yang pernah menggoncang dunia diplomasi pada 2019. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg