Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump dedah putus hubungan dengan Epstein kerana ‘curi’ staf kelabnya

Jul 30, 2025 | 4:48 PM
Seorang penunjuk perasaan memegang plakad gambar Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bersama Jeffrey Epstein, ketika kumpulan penentang Trump berhimpun dalam satu perhimpunan anjuran kumpulan kempen ‘Stop Trump Coalition’ bagi membantah lawatan Trump ke Edinburgh, Scotland, Britain, pada 26 Julai 2025. 
Seorang penunjuk perasaan memegang plakad gambar Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bersama Jeffrey Epstein, ketika kumpulan penentang Trump berhimpun dalam satu perhimpunan anjuran kumpulan kempen ‘Stop Trump Coalition’ bagi membantah lawatan Trump ke Edinburgh, Scotland, Britain, pada 26 Julai 2025.  - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata pada 29 Julai bahawa beliau telah memutuskan hubungan dengan Jeffrey Epstein kerana pesalah seks itu telah “mengambil” kakitangan dari spa kelab miliknya, termasuk wanita yang dikaitkan dengan skandal seks bawah umur membabitkan Putera Andrew.

Rumah Putih sebelum ini memaklumkan bahawa Encik Trump telah menghalau Epstein dari kelab Mar-a-Lago dua dekad lalu “kerana berkelakuan menjijikkan”, dan media Amerika melaporkan bahawa mereka berdua mula renggang kerana satu urusan hartanah di Florida.

Ketika bercakap kepada wartawan dalam pesawat Air Force One dalam perjalanan pulang dari Scotland, Encik Trump memberi kenyataan awam yang paling panjang setakat ini berhubung perpecahannya dengan Epstein, seorang ahli kewangan kaya dan berpengaruh yang meninggal dunia di penjara New York pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas tuduhan pemerdagangan seks remaja bawah umur.

“Orang diambil keluar dari spa (Mar-a-Lago), diambil bekerja olehnya. Maksudnya mereka hilang,” kata Encik Trump. “Bila saya dengar mengenainya, saya beritahu dia, saya kata, ‘Dengar sini, kami tak mahu awak ambil orang kami.’ “Dan tak lama selepas itu, dia buat lagi. Saya kata, ‘Keluar dari sini.’”

Encik Trump turut mengesahkan bahawa salah seorang kakitangan spa Mar-a-Lago yang diambil oleh Epstein ialah Cik Virginia Giuffre, wanita yang telah mengemukakan saman sivil terhadap Putera Andrew dengan mendakwa putera British itu menyerangnya secara seksual ketika beliau berusia 17 tahun.

Cik Giuffre, yang menuduh Epstein mempergunakannya sebagai hamba seks, meninggal dunia akibat bunuh diri di kediamannya di Australia pada April lalu.

“Saya rasa dia kerja di spa,” kata Trump. “Saya rasa dia salah seorang. Dia curi dia.”

Sebelum memegang jawatan presiden pada Januari, Encik Trump pernah berjanji untuk mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai Epstein, yang didakwa oleh pengikut teori konspirasi sayap kanan sebagai orang tengah yang memperdagangkan remaja perempuan untuk VIP terkenal.

Namun, Encik Trump mengecewakan sesetengah penyokongnya apabila Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman mengumumkan awal Julai bahawa mereka tidak menemui sebarang unsur baru yang memerlukan pendedahan lanjut berkaitan Epstein. Perhatian kemudian semakin tertumpu kepada hubungan Trump sendiri dengan Epstein.

Bagi meredakan kontroversi, Jabatan Kehakiman kini sedang berusaha untuk membenarkan pembebasan transkrip juri besar daripada siasatan terhadap Epstein dan telah menemu bual Cik Ghislaine Maxwell, rakan karib Epstein yang kini dipenjara, minggu lalu.

Timbalan Peguam Negara Cik Todd Blanche yang juga bekas peguam peribadi Encik Trump telah bertemu Cik Maxwell selama dua hari tetapi enggan mengulas mengenai perbincangan yang luar biasa itu antara seorang banduan berstatus pesalah dan pegawai tertinggi Jabatan Kehakiman.

Cik Maxwell, 63 tahun, yang kini menjalani hukuman penjara 20 tahun selepas disabitkan pada 2021 atas kesalahan merekrut gadis bawah umur untuk Epstein, telah menawarkan diri untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Dewan Perwakilan tetapi hanya jika diberi kekebalan undang-undang.

Peguam Cik Maxwell, dalam sepucuk surat kepada jawatankuasa tersebut yang telah mengemukakan sepina terhadapnya untuk hadir memberi keterangan bulan depan, menyatakan bahawa beliau bersedia hadir “jika satu laluan yang adil dan selamat dapat diwujudkan.”

“Jika Cik Maxwell menerima pengampunan, beliau sanggup malah bersemangat untuk memberi keterangan secara terbuka dan jujur, di khalayak umum,” kata mereka. Tanpa pengampunan, bekas sosialit Britain itu hanya bersedia memberikan keterangan jika dijamin kekebalan undang-undang.

“Cik Maxwell tidak boleh mengambil risiko dikenakan pertuduhan baru dalam suasana politik yang tegang tanpa kekebalan rasmi,” kata peguamnya.

Cik Maxwell juga mahu melihat senarai soalan lebih awal dan tidak bersetuju untuk ditemu bual di penjara Florida tempat beliau sedang ditahan, kata mereka.

Ppeguamnya berkata, sebarang keterangan hanya akan dibuat selepas Mahkamah Agung memutuskan sama ada akan mendengar rayuan Cik Maxwell untuk membatalkan sabitannya.
Sekiranya syarat tersebut tidak dipenuhi, Cik Maxwell akan menggunakan haknya di bawah Pindaan Kelima untuk tidak menjerat diri sendiri. — AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg