Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump di Korea S untuk capai gencatan perang dagang dengan China

Oct 29, 2025 | 1:01 PM
donald trump, Asia, korea selatan, china
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, disambut Menteri Luar Korea Selatan, Encik Cho Hyun, setibanya di lapangan terbang di Gyeongju pada 29 Oktober. - Foto AFP

GYEONGJU (Korea Selatan): Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tiba di Korea Selatan pada 29 Oktober untuk peringkat akhir lawatannya ke Asia, optimis untuk mencapai gencatan perang dagangan dengan Presiden China Xi Jinping.

Tiba daripada Tokyo beberapa jam selepas Korea Utara menguji peluru berpandu berkemampuan nuklear, Encik Trump dijadual berucap pada sidang kemuncak para ketua pegawai eksekutif dan bertemu Presiden Korea Selatan, Encik Lee Jae Myung, di Gyeongju.

Agenda utama Encik Trump adalah perjanjian dagangan yang belum selesai antara Amerika dengan Korea Selatan, sebelum pertemuan yang dijangkakan dengan Presiden Xi pada 30 Oktober, yang prospeknya telah pun melonjakkan pasaran sejagat.

Bercakap kepada wartawan di atas pesawat Air Force One dalam perjalanannya ke Gyeongju, Encik Trump, menolak ujian peluru berpandu Korea Utara dan berkata beliau kini fokus pada pertemuannya dengan pemimpin ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

“Hubungan dengan China sangat baik. Jadi saya fikir kita akan mendapat hasil yang memberangsangkan untuk negara kita dan dunia,” tambah Encik Trump.

Beliau dijangka mengurangkan tarif Amerika ke atas barangan China sebagai pertukaran untuk komitmen Beijing mengekang eksport bahan kimia fentanyl, tambahnya.

Selepas tiba di bandar Busan di selatan, Encik Trump berjalan di atas permaidani merah, berjabat tangan dengan pegawai sambil diiringi kumpulan muzik yang memainkan lagu Village People,YMCA, lagu kegemarannya.

Beliau kemudian menaiki helikopternya menuju ke Gyeongju.

Encik Trump tidak menyebut tentang rundingan dagangan dengan Korea Selatan, dengan kedua-dua pihak memperkecilkan prospek kejayaan rundingan tersebut.

Kedua-dua sekutu itu mengumumkan perjanjian pada akhir Julai yang menyaksikan Korea Selatan akan mengelak tarif terburuk, dengan bersetuju untuk melabur AS$350 bilion ($453 bilion) di Amerika.

Trump juga telah mendesak Korea Selatan supaya meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan Korea Selatan pula mahukan Amerika memperbaharui undang-undang imigresennya, bagi membolehkan lebih ramai pekerja membina kilang selepas serbuan ke atas kilang bateri Hyundai Motor di Georgia.

Para pemimpin akan membincangkan soal perdagangan, pelaburan dan keamanan di semenanjung Korea semasa rundingan pada 29 Oktober, kata pejabat Presiden Lee.

Encik Trump berulang kali melahirkan hasrat untuk bertemu pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, termasuk semasa lawatan ini.

Encik Kim sebelum ini berkata beliau mungkin terbuka untuk berbincang jika Washington berhenti mendesaknya untuk melupuskan senjata nuklear. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg