Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump, Xi akan bincang nasib TikTok, soal tarif melalui telefon

Sep 19, 2025 | 11:04 AM
Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump, Presiden China Encik Xi Jinping
Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump dengan Presiden China Encik Xi Jinping dijangka memulakan perbincangan pada 9 pagi waktu di Washington atau 9 malam waktu di Beijing pada 19 September. - Foto EPA/REUTERS

WASHINGTON/BEIJING: Perbincangan menerusi telefon pada 19 September antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan Presiden China Xi Jinping bakal menentukan nasib TikTok dan berpotensi meredakan ketegangan dagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.

Encik Trump dan Encik Xi dijangka memulakan perbincangan pada 9 pagi waktu Washington, atau 9 malam di Beijing, mengenai perjanjian rangka kerja yang diumumkan minggu ini untuk mengalihkan kawalan operasi TikTok daripada induknya daripada China, ByteDance, kepada konsortium pelabur Amerika.

Butiran perjanjian itu belum diumumkan dan Encik Trump kekal tidak komited dalam temu bual dengan Fox News yang disiarkan pada 18 September, menandakan bahawa ia banyak bergantung kepada cara Encik Xi bertindak balas.

“Kedengarannya seperti mereka telah meluluskan TikTok, dan TikTok melibatkan jumlah wang yang sangat besar untuk Amerika jadi itu bagus, tetapi kita akan lihat bagaimana semuanya berjalan kelak,” kata Encik Trump.

Perbincangan para pemimpin itu akan menjadi yang pertama sejak Jun, dengan kedua-dua negara terkunci dalam perselisihan mengenai sekatan dagangan yang menjerat industri utama termasuk semikonduktor dan nadir bumi.

Ini termasuk perbalahan mengenai masa depan akses pembuat cip Nvidia Corp ke China, yang kini terhalang oleh kawalan eksport Amerika dan usaha China untuk mengekang permintaan tempatan bagi produk tersebut.

“Kami sangat hampir dengan tawaran mengenai semua itu,” kata Encik Trump, merujuk kepada perbincangan dagangan serta TikTok.

“Hubungan saya dengan China sangat baik,” tambahnya.

Penglibatan kedua-dua pemimpin itu seharusnya menghasilkan agenda yang lebih luas, termasuk pesanan China yang dijangkakan untuk pesawat Boeing dan perbincangan lebih mendalam mengenai isu di Ukraine, Timur Tengah dan ketegangan semakin memuncak di Laut China Selatan.

Minat Encik Trump menggunakan diplomasi urus niaganya untuk membuat perjanjian TikTok telah menenggelamkan sebarang kebimbangan keselamatan negara yang berlarutan sejak undang-undang dwipartisan mula berkuat kuasa pada Januari.

Penyusunan semula TikTok di Amerika yang belum diumumkan itu akan menyaksikan ByteDance memegang tidak lebih daripada 20 peratus.

Selebihnya dipegang pelabur termasuk Oracle Corp, Andreessen Horowitz dan firma ekuiti swasta Silver Lake Management LLC, menurut pegawai yang biasa dengan perkara itu.

Encik Trump pernah menjadi pengkritik TikTok tetapi telah mengubah pandangannya terhadap aplikasi itu, yang dipujinya kerana membantunya meraih sokongan dalam kalangan pengundi muda pada pilihan raya 2024. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg