SEOUL: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dijangka tiba di Korea Selatan pada 29 Oktober ini bagi menghadiri Sidang Puncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan berlangsung sehingga 1 November, menurut Pejabat Presiden Korea Selatan pada 16 oktobers.
Seorang pegawai kanan pejabat itu berkata kepada AFP bahawa ketibaan Trump telah disahkan. “Presiden dijangka tiba pada 29 Oktober,” katanya ringkas.
Sidang kemuncak APEC kali ini dijangka mempertemukan semula beberapa pemimpin utama dunia termasuk Presiden China, Xi Jinping, yang turut dijangka menghadiri forum berprestij tersebut.
Bagaimanapun, menjelang persidangan itu, ketegangan antara Washington dan Beijing kembali meningkat selepas China mengenakan sekatan eksport terhadap teknologi nadir bumi yang penting kepada industri global.
Terdahulu Encik Trump mengancam untuk membatalkan pertemuan dua hala dengan Encik Xi sebagai tindak balas terhadap langkah Beijing tersebut. Namun, Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, menegaskan kepada CNBC pada 15 Oktober bahawa Encik Trump masih berhasrat untuk bertemu Encik Xi di luar sesi sidang itu.
“Presiden masih berpegang kepada rancangan untuk berbincang dengan Presiden Xi. Isu perdagangan dan sekatan teknologi akan menjadi keutamaan,” kata Encik Bessent.
Selain pertemuan dengan China, perhatian juga tertumpu kepada kemungkinan rundingan antara Amerika Syarikat dan Korea Utara di luar agenda rasmi APEC.
Jurucakap Pejabat Presiden Korea Selatan tidak menolak kemungkinan tersebut. “Pertemuan antara AS dan Korea Utara di luar sidang rasmi tidak boleh diketepikan,” katanya.
Encik Trump sebelum ini menyatakan hasrat untuk berjumpa semula dengan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, mungkin sebelum akhir tahun ini, bagi menyambung semula rundingan yang terhenti mengenai program nuklear Pyongyang.
“Saya masih percaya ada ruang untuk dialog. Hubungan peribadi saya dengan Kim Jong Un kekal baik,” kata Encik Trump dalam satu sidang media bulan September lalu.
Sementara itu, Pyongyang juga memberi isyarat bahawa Encik Kim bersedia untuk berbincang semula, tetapi hanya “dalam keadaan tertentu” yang menghormati kedaulatan negaranya.
Kedua-dua pemimpin itu pernah bertemu tiga kali sepanjang penggal pertama Encik Trump, termasuk sidang bersejarah di Singapura pada 2018. Namun, kesemua pertemuan tersebut gagal menghasilkan perjanjian kekal mengenai pelucutan senjata nuklear Korea Utara.
Sidang APEC kali ini dijangka menjadi platform penting bagi diplomasi serantau, dengan tumpuan bukan sahaja kepada isu perdagangan dan teknologi, tetapi juga kepada usaha menstabilkan Semenanjung Korea yang kembali tegang selepas beberapa siri ujian peluru berpandu oleh Pyongyang.
APEC menghimpunkan 21 ekonomi Asia Pasifik, termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan dan Australia, bagi membincangkan dasar ekonomi, keselamatan, dan hubungan perdagangan di rantau ini. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg