WASHINGTON/SEOUL: Presiden Donald Trump berkata pada 25 Ogos bahawa beliau ingin bertemu pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, pada 2025, selain terbuka untuk melanjutkan rundingan dagangan dengan Korea Selatan.
“Saya ingin bertemu dengannya (Kim Jong Un) pada masa yang sesuai tahun ini,” kata Presiden Amerika Syarikat itu sambil mengalu-alukan ketibaan presiden baru Korea Selatan, Encik Lee Jae Myung, ke Rumah Putih buat kali pertama.
Walaupun Korea Selatan telah mencapai perjanjian dagangan pada Julai lalu yang menyelamatkan eksport negara itu daripada tarif Amerika yang lebih tinggi, namun kedua-dua pihak terus bertelagah mengenai tenaga nuklear, perbelanjaan ketenteraan, dan butiran perjanjian termasuk pelaburan AS$350 bilion ($449.7 bilion) yang Korea Selatan janjikan di Amerika.
Selepas bertemu dengan Encik Trump di Pejabat Oval, Encik Lee menghadiri forum perniagaan dengan pegawai kanan Amerika dan ketua pegawai eksekutif daripada kedua-dua negara.
Bertepatan dengan lawatan itu, syarikat penerbangan Korea Selatan, Korean Air, mengumumkan tempahan 103 pesawat Boeing – tempahan terbesar dalam sejarah syarikat penerbangan itu.
Sementara itu, Korea Utara tidak segera menjawab soalan ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Encik Trump berkenaan.
Media pemerintah kemudian berkata bahawa latihan ketenteraan bersama Amerika dan Korea Selatan membuktikan hasrat Washington untuk “menduduki” semenanjung Korea dan menyasarkan negara di rantau itu.
Sejak pelantikan Encik Trump pada Januari, Encik Kim tidak mengendahkan gesaan berulang kali oleh pemimpin Amerika itu untuk menghidupkan semula diplomasi langsung yang Encik Trump lakukan semasa penggal pertamanya dari 2017 hingga 2021.
Diplomasi beliau itu tidak menghasilkan sebarang perjanjian untuk menghentikan program nuklear Korea Utara.
“Saya harap anda boleh membawa keamanan ke Semenanjung Korea, satu-satunya negara yang berpecah di dunia, supaya anda boleh bertemu dengan Kim Jong Un, membina kompleks hartanah yang dikenali sebagai Trump World di Korea Utara supaya saya boleh bermain golf di sana, dan anda benar-benar boleh memainkan peranan sebagai pendamai sejarah dunia,” kata Encik Lee kepada Encik Trump.
Encik Lee juga mengundang Encik Trump untuk menghadiri sidang puncak Kumpulan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) pada Oktober, dan mencadangkan presiden Amerika itu cuba bertemu Encik Kim semasa sidang tersebut, kata pejabat Encik Lee.
“Walaupun sekatan besar-besaran dikenakan untuk menghalang Korea Utara, namun hasilnya adalah pembangunan berterusan senjata nuklear dan peluru berpandu,” kata Encik Lee semasa acara di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington.
Beliau berkata Korea Utara kini mempunyai kapasiti untuk membina 10 hingga 20 kepala peledak nuklear setiap tahun, dan hanya perlu menyempurnakan pemasangannya pada peluru berpandu balistik yang boleh sampai ke Amerika.
Ekonomi Korea Selatan sangat bergantung kepada Amerika dengan Washington menaja jaminan keselamatannya dengan tentera dan pencegahan nuklear.
Encik Trump telah menggelar Seoul sebagai “mesin wang” yang mengambil kesempatan daripada perlindungan tentera Amerika.
“Saya fikir kita telah mencapai perjanjian dagangan. Mereka mempunyai beberapa masalah dengannya, tetapi kami berpegang pada senjata kami,” kata Encik Trump.
Beliau tidak mengulas lebih lanjut. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg