Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump ditembak di telinga semasa kempen pilihan raya

Suspek ditembak mati; seorang hadiri perhimpunan turut terbunuh manakala dua lain cedera
Jul 14, 2024 | 4:16 PM
Calon presiden Republikan, Encik Donald Trump (tengah), yang ditembak semasa satu acara kempen, segera dibawa turun dari pentas oleh Perkhidmatan Risik Amerika Syarikat di Pennsylvania.  
Calon presiden Republikan, Encik Donald Trump (tengah), yang ditembak semasa satu acara kempen, segera dibawa turun dari pentas oleh Perkhidmatan Risik Amerika Syarikat di Pennsylvania.   - Foto AFP

BUTLER (Pennsylvania): Mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, ditembak di telinga kanan semasa satu perhimpunan kempen pilihan raya Amerika, mencetuskan panik dalam kalangan hadirin.

Encik Trump, yang mengalami pendarahan pada bahagian muka dan telinga selepas serangan itu, dilihat kemudian menunjukkan buku limanya kepada para penyokong di tempat kejadian selepas insiden itu, dan berteriak kepada hadirin dengan kata-kata yang seolah-olah berbunyi: “Lawan! Lawan! Lawan!”

Penembak dalam serangan itu telah dapat ditembak mati manakala seorang hadirin di perhimpunan itu terbunuh dan dua lagi hadirin cedera, menurut Perkhidmatan Risik Amerika Syarikat dalam satu kenyataan.

Biro Siasatan Federal (FBI) Amerika telah mengenal pasti seorang lelaki berusia 20 tahun, Thomas Matthew Crooks, dari Pennsylvania sebagai penembak yang disyaki, menurut satu catatan wartawan CNN di media sosial X yang memetik satu sumber.

Motif penembak tersebut tidak jelas.

Insiden tersebut sedang disiasat sebagai percubaan membunuh, kata seorang sumber kepada Reuters.

Pihak berkuasa menemui senapang separa automatik jenis AR-15 di tempat kejadian daripada seorang lelaki yang maut, dipercayai penembak tersebut, menurut dua pegawai penguatkuasa undang-undang.

“Saya ditembak dengan peluru yang menembusi bahagian atas telinga kanan saya, dan mengalami banyak pendarahan,” kata Encik Trump di wadah beliau, Truth Social.

Semasa bunyi tembakan kedengaran, Encik Trump dilihat memegang telinga kanannya dengan tangan kanannya, sebelum menurunkan tangannya untuk melihatnya.

Beliau kemudian rebah di belakang podium sebelum dikerumuni ejen Perkhidmatan Risik yang cuba melindunginya.

Beliau muncul kira-kira seminit kemudian dengan topi merahnya tertanggal, dan kedengaran beliau berkata “tunggu, tunggu”, sebelum ejen beliau terburu-buru membawanya masuk ke dalam sebuah kenderaan yang menunggu.

Perkhidmatan Risik dan pegawai kempen mantan presiden itu menyatakan bahawa Encik Trump terselamat menyusuli kejadian tembakan di Butler, Pennsylvania, kira-kira 50 kilometer ke utara Pittsburgh.

Beberapa video menunjukkan darah mengalir di pipi dan telinga kanan Encik Trump.

Dalam satu kenyataan di X, Perkhidmatan Risik Amerika menyatakan bahawa seorang suspek penembak telah melepaskan beberapa tembakan ke arah pentas tersebut dari tempat tinggi di luar perhimpunan itu.

“Kakitangan Perkhidmatan Risik Amerika telah ‘meneutralkan’ penembak berkenaan yang kini telah meninggal dunia,” kata kenyataan itu.

Encik Trump turut mengucapkan terima kasih kepada Perkhidmatan Risik Amerika dan agensi penguatkuasaan undang-undang atas tindakan pantas mereka, dan turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan cedera.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden, dalam reaksi segera susulan insiden tembakan terhadap Encik Trump mengutuk serangan itu dan mendesak agar keganasan politik ditamatkan.

Para pemimpin politik dalam kededua parti Demokrat dan Republikan turut menyelar keganasan tersebut beberapa minit selepas Encik Trump dibawa keluar dari pentas selepas serangan itu.

“Tiada ruang di Amerika untuk keganasan seperti ini... inilah salah satu sebab mengapa kita perlu menyatukan negara ini.

“Kita tidak boleh membiarkan hal ini berlaku. Kita tidak boleh menjadi seperti ini. Kita tidak boleh merestui kejadian ini,” kata Encik Biden dalam satu kenyataan yang disiarkan di seluruh negara.

Naib Presiden Amerika, Cik Kamala Harris, berkata di media sosial X: “Kami mendoakan beliau (Encik Trump), keluarganya dan semua yang cedera dan terjejas dengan tembakan yang tidak masuk akal ini.”

Serangan ke atas Encik Trump menimbulkan persoalan tentang bagaimana calon presiden Republikan itu dilindungi dalam acara kempen pilihan raya itu, dan apa yang menyebabkan insiden yang kelihatan seperti satu “kesilapan keselamatan” semasa perhimpunan pada 13 Julai itu. – Reuters, AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg