Trump, Gabenor Minnesota sepakat redakan ketegangan imigresen
Trump, Gabenor Minnesota sepakat redakan ketegangan imigresen
MINNEAPOLIS: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan Gabenor Minnesota, Tim Walz, pada 26 Januari menunjukkan nada lebih berdamai selepas mengadakan perbualan telefon tertutup mengenai penguatkuasaan imigresen, satu perkembangan yang dilihat sebagai usaha untuk meredakan kebuntuan berhubung operasi pengusiran imigran besar-besaran di negeri itu.
Perkembangan tersebut berlaku di tengah-tengah kemarahan awam susulan kematian dua warga Amerika di Minneapolis yang ditembak oleh ejen imigresen persekutuan sejak pentadbiran Encik Trump menghantar ribuan pegawai ke kawasan Minneapolis-St. Paul beberapa minggu lalu.
Dalam satu lagi isyarat bahawa krisis itu mula reda, seorang pegawai kanan pentadbiran Encik Trump mengesahkan bahawa Encik Gregory Bovino, pegawai kanan Pasukan Peronda Sempadan Amerika yang menjadi sasaran kritikan Demokrat dan aktivis hak sivil, akan meninggalkan Minnesota bersama sebahagian ejen persekutuan.
Pegawai tersebut, yang bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan, berkata ‘ketua sempadan’ Encik Trump, Encik Tom Homan, akan mengambil alih pengawasan operasi imigresen di Minnesota, menggantikan Encik Bovino.
Encik Trump sebelum itu mengumumkan bahawa Homan akan dihantar ke negeri tersebut.
Beberapa jam kemudian, seorang individu lain yang dekat dengan perkara itu memaklumkan bahawa Encik Bovino telah dilucutkan daripada peranannya sebagai ‘komander besar’ Peronda Sempadan dan akan kembali ke jawatan asalnya sebagai ketua ejen peronda di sektor El Centro, California, berhampiran sempadan Amerika-Mexico.
Sumber itu berkata Encik Bovino dijangka bersara tidak lama lagi.
Laporan awal mengenai penurunan pangkat Encik Bovino pertama kali didedahkan oleh majalah The Atlantic, memetik seorang pegawai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) dan dua individu lain.
Bagaimanapun, jurucakap DHS, Cik Tricia McLaughlin, menafikan laporan tersebut dengan menulis di platform X bahawa “Ketua Gregory Bovino TIDAK dilucutkan daripada tugasnya”.
Selepas perbualan telefon dengan Encik Walz, Encik Trump berkata beliau berada “pada gelombang pemikiran yang sama” dengan gabenor Demokrat itu, beberapa minggu selepas mengarahkan kira-kira 3,000 ejen imigresen persekutuan ke Minnesota meskipun ditentang keras oleh pemerintah negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Pejabat Encik Walz menyifatkan perbualan tersebut sebagai “produktif”, sambil memaklumkan bahawa Encik Trump menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan pengurangan jumlah ejen imigresen di negeri itu.
Menurut pejabat gabenor, Encik Trump juga bersetuju untuk mengarahkan DHS memastikan Minnesota boleh menjalankan siasatan sendiri terhadap insiden yang mengorbankan Encik Alex Jeffrey Pretti, seorang jururawat Unit Jagaan Rapi (ICU) berusia 37 tahun dari Minneapolis yang ditembak mati oleh ejen imigresen persekutuan.
Encik Trump turut mengesahkan bahawa beliau telah berbual melalui telefon dengan Datuk Bandar Minneapolis, Encik Jacob Frey.
Dalam catatan di platform Truth Social, Encik Trump berkata “banyak kemajuan” telah dicapai hasil perbincangan tersebut.
Encik Frey pula berkata Encik Trump mengakui bahawa “keadaan semasa tidak boleh diteruskan”, dan pihak persekutuan memahami bahawa sebahagian ejen akan mula meninggalkan kawasan Twin Cities pada 27 Januari.
Kematian Encik Pretti, yang merupakan warga Amerika kedua terbunuh dalam operasi imigresen di Minnesota, mencetuskan gelombang bantahan awam terhadap tindakan pengusiran besar-besaran itu.
Sokongan rakyat terhadap pendekatan imigresen Encik Trump juga dilihat semakin merosot.
Satu tinjauan pendapat Reuters/Ipsos yang dikeluarkan pada 26 Januari mendapati 58 peratus responden berpendapat ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika (Ice) telah “melampaui batas” dalam operasi mereka.
Hanya 12 peratus berkata tindakan itu tidak cukup tegas, manakala 26 peratus beranggapan pendekatan Ice adalah “memadai”.
Dalam pada itu, pegawai negeri meminta mahkamah persekutuan menghentikan sementara lonjakan kehadiran ejen imigresen, dengan Encik Trump menyatakan bahawa Encik Homan dihantar ke Minneapolis untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.
Walaupun beberapa pegawai kanan pentadbiran Encik Trump melabelkan Encik Pretti sebagai “pengganas domestik”, Encik Homan sendiri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan awam mengenai insiden tersebut.
Encik Trump menegaskan bahawa Encik Homan “tidak terlibat” secara langsung dalam operasi Minnesota, manakala Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Cik Kristi Noem, kekal dalam jawatannya “dengan kepercayaan penuh Presiden”, menurut jurucakap Rumah Putih, Ck Karoline Leavitt.
Encik Trump turut mendesak Minnesota menyerahkan banduan di penjara negeri yang berada di Amerika secara tidak sah. Encik Walz berkata sistem penjara negeri sudah berbuat demikian, namun mengakui beberapa agensi penguatkuasaan tempatan tidak bekerjasama sepenuhnya.
Rumah Putih juga menekan agar polis tempatan membantu penguatkuasaan imigresen persekutuan, sesuatu yang sukar kerana bandar seperti Minneapolis melarang polis menguatkuasakan undang-undang imigresen sivil persekutuan.
Pegawai negeri memberi amaran bahawa jumlah ejen imigresen kini melebihi bilangan anggota polis tempatan, sekali gus menjejaskan keselamatan awam dan membebankan sumber sedia ada.
Dalam perbicaraan mahkamah, peguam negeri, Encik Brian Carter, memberitahu Hakim Daerah Amerika, Cik Katherine Menendez, bahawa operasi itu bertujuan memberi tekanan politik kepada negeri tersebut. “Mereka membawa keganasan ke jalanan Minnesota untuk mendapatkan apa yang mereka mahu,” katanya.
Namun peguam pentadbiran Encik Trump berhujah bahawa pemerintah persekutuan hanya melaksanakan undang-undang imigresen. Hakim Menendez menyatakan keraguan sama ada mahkamah daerah mempunyai kuasa untuk menghentikan operasi tersebut. “Tidak semua krisis boleh diselesaikan melalui injunksi mahkamah,” katanya, tanpa menetapkan tarikh keputusan.
Di luar mahkamah, ketegangan itu mencetuskan protes besar-besaran walaupun dalam suhu beku. Enam puluh syarikat terbesar Minnesota, termasuk Target, 3M dan UnitedHealth, menyeru pengurangan segera ketegangan.
Seorang calon Republikan terkemuka bagi jawatan gabenor, Enci Chris Madel, menarik diri daripada perlumbaan, berkata operasi itu telah “melampaui batas”. “Saya tidak boleh menyokong tindakan balas nasional terhadap rakyat negeri kami,” katanya dalam satu kenyataan video.
Rakaman video kejadian yang disahkan Reuters pula bercanggah dengan dakwaan rasmi DHS bahawa Encik Pretti mengancam ejen dengan pistol. Rakaman menunjukkan beliau memegang telefon ketika ditahan, sebelum senjata api yang disimpan di pinggangnya dikeluarkan selepas beliau ditundukkan. Encik Pretti merupakan pemilik senjata berlesen.
Di Washington, Demokrat di Senat menyatakan akan menentang Rang Undang-Undang pembiayaan DHS, meningkatkan risiko penutupan sebahagian pemerintah persekutuan. - Agensi berita

