Trump kaji kes tembakan maut Minneapolis, mungkin undur ejen imigresen
Trump kaji kes tembakan maut Minneapolis, mungkin undur ejen imigresen
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata pentadbirannya sedang menilai secara menyeluruh insiden tembakan maut melibatkan ejen persekutuan di Minneapolis yang meragut nyawa seorang warga Amerika, sambil memberi bayangan bahawa ejen penguatkuasaan imigresen mungkin akan ditarik keluar dari kawasan itu pada masa akan datang.
Dalam temu bual dengan The Wall Street Journal yang diterbitkan pada 25 Januari, Encik Trump berkata pentadbirannya sedang “menyemak segala-galanya” berhubung kematian Encik Alex Pretti, 37 tahun, yang ditembak mati oleh ejen persekutuan pada 24 Januari.
“Kami sedang melihatnya, kami sedang menyemak semuanya, dan kami akan membuat satu keputusan,” kata Encik Trump kepada akhbar itu, sambil enggan mengulas sama ada tindakan ejen yang terlibat adalah wajar.
Encik Trump turut menyatakan kesediaan untuk akhirnya menarik keluar ejen penguatkuasaan imigresen dari Minneapolis, walaupun beliau tidak menetapkan sebarang garis masa.
“Pada satu ketika, kami akan pergi. Kami sudah lakukan, mereka sudah lakukan kerja yang luar biasa. Kami akan tinggalkan kumpulan lain di sana untuk isu penipuan kewangan,” katanya.
Insiden tembakan terhadap Encik Pretti merupakan kes kedua pada Januari di mana warga Amerika maut ditembak oleh pegawai imigresen persekutuan di bandar yang sama.
Kurang tiga minggu sebelum itu, seorang lagi warga Amerika, Cik Renee Good, 37 tahun, ditembak mati oleh pegawai imigresen ketika berada di dalam keretanya.
Pentadbiran Encik Trump mendakwa Encik Pretti telah menyerang ejen persekutuan, memaksa mereka melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.
Pegawai turut merujuk kepada sepucuk pistol yang dikatakan ditemui pada mangsa.
Namun, rakaman video yang tersebar luas di media sosial dan disahkan oleh media Amerika menunjukkan Encik Pretti tidak pernah mengeluarkan senjata.
Rakaman itu memperlihatkan beliau ditembak beberapa kali ketika berada di atas tanah, selepas disembur bahan kimia ke muka dan dikekang oleh sekumpulan ejen.
Rakaman tersebut mencetuskan kemarahan awam dan meningkatkan tekanan terhadap pentadbiran Encik Trump, yang kini berdepan kritikan hebat berhubung tindakan keras imigresen berskala besar yang sedang dijalankan di bandar itu.
Encik Trump bagaimanapun menyalahkan kepimpinan Demokrat di Minnesota atas kematian dua warga Amerika berkenaan.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social, beliau menuduh negeri dan bandar yang diperintah Demokrat enggan bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (Ice).
“Bandar dan negeri perlindungan yang dikendalikan Demokrat enggan bekerjasama dengan Ice. Secara tragis, dua warganegara Amerika telah kehilangan nyawa akibat kekacauan yang dicetuskan oleh Demokrat,” tulis Encik Trump.
Kenyataan itu mengundang reaksi keras, termasuk daripada ibu bapa Encik Pretti yang mengecam apa yang mereka sifatkan sebagai “pembohongan menjijikkan” pentadbiran terhadap anak mereka, selepas pegawai kanan pemerintah melabel Encik Pretti sebagai seorang “pembunuh upahan”.
Sehari selepas kematian Encik Pretti, penduduk Minneapolis berkumpul pada 25 Januari di sebuah tugu peringatan sementara untuk memperingati jiran mereka yang terkorban.
Tugu tersebut dihiasi dengan bunga, lilin dan papan tanda dengan slogan seperti “Hentikan pembunuhan”, “Hentikan sekarang. Ice keluar” dan “Alex sepatutnya masih hidup”.
“Saya marah dan saya sedih dengan kehilangan ini,” kata seorang penduduk, Cik Lucy, kepada AFP.
“Tetapi saya tidak takut untuk terus tinggal dan saya tidak takut untuk terus berjuang dan mempertahankan apa yang betul, walaupun keselamatan fizikal saya terancam,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Cik Elizabeth, berkata beliau hadir bagi menyatakan solidariti masyarakat Yahudi Minnesota.
“Kami berdiri bersama menentang tindakan Ice ini,” katanya.
Bantahan turut tercetus di beberapa bahagian bandar, dengan penunjuk perasaan mengecam kehadiran Ice.
Seorang peserta membawa papan tanda bertulis: “Bersama Pretti, bersama Good”, merujuk kepada dua mangsa yang terbunuh.
Kemelut itu turut mencetuskan kecaman daripada mantan presiden Demokrat, Encik Barack Obama dan isterinya, Cik Michelle Obama, yang berkata insiden tembakan terhadap Encik Pretti seharusnya menjadi “isyarat amaran” bahawa nilai teras Amerika “semakin diserang”.
Beberapa jam kemudian, mantan Presiden Bill Clinton mengeluarkan kenyataan keras, berkata penunjuk perasaan aman telah “ditangkap, dipukul, disembur gas pemedih mata, dan yang paling memilukan, dalam kes Renee Good dan Alex Pretti, ditembak mati”.
“Semua ini tidak boleh diterima,” kata Encik Clinton sambil menggesa rakyat Amerika untuk “bangkit dan bersuara”.
“Jika kita menyerahkan kebebasan kita selepas 250 tahun, kita mungkin tidak akan mendapatkannya kembali,” tambahnya.
Sementara itu, Timbalan Peguam Negara Amerika, Encik Todd Blanche, berkata siasatan menyeluruh diperlukan untuk mendapatkan gambaran penuh mengenai kejadian tersebut.
Beberapa senator Republikan turut menggesa siasatan bersama dan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.
Pentadbiran Encik Trump sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mengecualikan penyiasat tempatan daripada siasatan kes kematian Cik Good.
Gabenor Minnesota, Encik Tim Walz, secara terbuka mempersoalkan pendekatan pemerintah persekutuan.
“Apa yang perlu kami lakukan untuk mengeluarkan ejen persekutuan ini dari negeri kami?” soalnya.
Di tengah ketegangan yang berterusan, lebih 60 syarikat besar yang beribu pejabat di Minnesota, termasuk Target dan General Mills, menandatangani surat terbuka menggesa “penurunan ketegangan segera” dan kerjasama antara pihak berkuasa.
Tinjauan pendapat terkini menunjukkan pengundi semakin tidak berpuas hati dengan operasi imigresen domestik Encik Trump, khususnya selepas video ejen bertopeng menahan orang awam, termasuk kanak-kanak, tersebar luas dan mencetuskan kebimbangan nasional. – Agensi berita.

