WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada 6 Mac telah menggantung tarif 25 peratus yang dikenakan ke atas kebanyakan barangan dari Canada dan Mexico, hanya dua hari selepas mengenakan cukai import itu.
Keputusan ini menambah lagi ketidakpastian dalam dasar perdagangan yang telah menggoncang pasaran kewangan dan menimbulkan kebimbangan terhadap inflasi serta kelembapan pertumbuhan ekonomi.
Pengecualian ini, yang melibatkan dua rakan dagang terbesar Amerika, hanya berkuat kuasa sehingga 2 April. Selepas tempoh itu, Encik Trump mengancam untuk mengenakan sistem tarif timbal balik ke atas semua rakan dagang Amerika.
Encik Trump pada mulanya mengenakan tarif 25 peratus ke atas Canada dan Mexico pada 4 Mac, dengan pengecualian awal hanya diberikan kepada Mexico. Namun, pindaan yang ditandatangani pada petang 6 Mac turut merangkumi Canada. Ketiga-tiga negara tersebut merupakan rakan dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (USMCA).
Sebagai tindak balas, Canada telah menangguhkan gelombang kedua tarif balas bernilai C$125 bilion ($116.55 bilion) ke atas produk Amerika sehingga 2 April, menurut Menteri Kewangan Canada, Encik Dominic LeBlanc, dalam satu hantaran di platform X.
Bagi Canada, pindaan tersebut turut mengecualikan duti ke atas potash, baja penting bagi petani Amerika. Namun, ia tidak meliputi sepenuhnya produk tenaga, yang tertakluk kepada tarif berasingan sebanyak 10 peratus. Pegawai Rumah Putih menjelaskan bahawa tidak semua produk tenaga dari Canada dilindungi di bawah USMCA yang dirundingkan Encik Trump dalam penggal pertamanya.
Trump mengenakan tarif ini selepas mengisytiharkan darurat nasional pada 20 Januari, hari pertamanya di pejabat, berikutan peningkatan kematian akibat keracunan akibat dos berlebihan fentanyl.
Beliau mendakwa bahawa dadah berbahaya itu serta bahan kimianya memasuki Amerika melalui Canada dan Mexico, dan turut mengenakan tarif 20 peratus ke atas semua import dari China atas alasan yang sama.
Sementara itu, Setiausaha Perdagangan Amerika, Encik Howard Lutnick, menegaskan bahawa tarif balas akan tetap berkuat kuasa sekiranya Canada dan Mexico gagal membendung aliran fentanyl ke Amerika.
“Pada 2 April, kita akan bergerak dengan tarif timbal balik, dan harapnya Canada dan Mexico telah menunjukkan usaha cukup baik dalam isu fentanyl, supaya kita hanya perlu fokus kepada perbincangan tarif,” katanya kepada CNBC.
Encik Trump turut mengumumkan bahawa tarif 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium akan tetap dikuatkuasakan pada 12 Mac. Canada dan Mexico adalah antara pengeksport utama dua logam tersebut ke Amerika, dengan Canada menjadi pembekal terbesar aluminium.
Bagaimanapun, pada 5 Mac, pentadbiran Trump memberikan pengecualian ke atas barangan automotif yang diimport dari Canada dan Mexico. Keputusan ini dibuat selepas pertemuan Encik Trump dengan eksekutif daripada Ford, General Motors dan Stellantis, di mana para pemimpin industri menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kesan tarif ke atas rantaian bekalan.
Pengecualian tersebut memberikan kelegaan sementara kepada sektor automotif, tetapi pakar ekonomi memberi amaran bahawa perubahan dasar yang kerap boleh menjejaskan pelaburan jangka panjang. “Ketidaktentuan ini menyukarkan syarikat untuk membuat keputusan besar, seperti menentukan lokasi kilang baru di antara Amerika dan Canada,” kata Encik Bill Sterling, pakar strategi global di GW&K Investment Management.
Keputusan tarif yang berubah-ubah ini terus mencetuskan kebimbangan dalam pasaran saham Amerika yang meneruskan trend penurunan pada 6 Mac. Indeks S&P 500 jatuh sebanyak 1.8 peratus dan kini telah susut hampir 7 peratus sejak pertengahan Februari.
“Kita melihat kesinambungan dasar tarif yang tidak menentu, terutamanya dengan Canada dan Mexico, yang menimbulkan ketidakpastian dalam pasaran,” tambah Encik Sterling.
Menurut seorang pegawai kerajaan Canada, pihaknya akan menunggu teks penuh perintah pindaan Trump sebelum memberi sebarang maklum balas rasmi.
Dalam satu sidang media di Ottawa, Perdana Menteri Canada, Justin Trudeau, yang akan meletakkan jawatan pada 9 Mac, menyatakan bahawa beliau tidak menjangkakan perang perdagangan dengan Amerika akan reda dalam masa terdekat.
“Saya boleh mengesahkan bahawa kita akan terus berada dalam perang perdagangan yang dimulakan oleh Amerika Syarikat untuk tempoh yang lama,” katanya kepada wartawan.
Setakat ini, pihak Mexico masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pindaan tarif ini. Namun, Presiden Mexico, Cik Claudia Sheinbaum, pada 6 Mac mengadakan panggilan telefon dengan Trump, di mana kedua-dua pemimpin mencapai persetujuan untuk menangguhkan sebahagian tarif buat sementara waktu.
“Kami mengadakan perbincangan yang sangat baik dan saling menghormati, di mana kami bersetuju bahawa usaha serta kerjasama kami telah membawa hasil yang belum pernah dicapai sebelum ini, dalam rangka kerja saling menghormati kedaulatan negara masing-masing,” kata Cik Sheinbaum dalam satu hantaran di X.
Sumber dari Mexico dan Canada menyatakan bahawa mereka semakin kecewa dengan rundingan tarif bersama pentadbiran Trump, kerana kekurangan kejelasan mengenai kehendak AS menjadikan penyelesaian konflik perdagangan ini sukar dicapai.
“Kami tidak mahu perundingan yang tidak berkesudahan ini terus merugikan ekonomi negara kami. Kesepakatan perlu dicapai dengan jelas dan konsisten,” kata seorang pegawai kanan Mexico. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg