Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump hadapi tuduhan cuba ubah kekalahan dalam pemilihan presiden

Aug 2, 2023 | 11:08 AM
HADAPI TUDUHAN KETIGA: Mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump hadapi tuduhan jenayah
HADAPI TUDUHAN KETIGA: Mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump hadapi tuduhan jenayah - Foto REUTERS

WASHINGTON: Mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, didakwa dengan tuduhan jenayah kerana cuba mengubah kekalahannya dalam pemilihan presiden Amerika pada 2020.

Ini merupakan tuduhan jenayah ketiga ke atas beliau dalam tempoh empat bulan terakhir.

Beliau didakwa atas tuduhan bersubahat untuk menipu pemerintah Amerika, cubaan untuk menyogok seorang saksi, dan bersubahat untuk menghalang suara rakyat.

Dakwaan itu berhubung dengan siasatan Persekutuan berkenaan rusuhan di Bangunan Capitol yang berlaku hampir tiga tahun lalu.

Encik Trump, 77 tahun, menolak segala tuduhan terhadapnya.

Bekas presiden itu juga didakwa dalam dua lagi kes berasingan yang melibatkan pengendalian dokumen rahsia pemerintah dan membayar pelakon lucah sebelum pilihan raya 2016.

Siasatan terhadap Encik Trump memberi tumpuan kepada tindakannya dalam tempoh dua bulan selepas kekalahan dalam pilihan raya dan rusuhan di Washington DC.

Pada kejadian itu, penyokongnya menyerbu Kongres ketika Ahli Parlimen mengesahkan kemenangan Presiden Encik Joe Biden.

Encik Trump diarahkan untuk hadir di Mahkamah Persekutuan di Washington pada Khamis di hadapan Hakim Daerah Amerika, Tanya Chutkan, yang dilantik oleh mantan Presiden Amerika, Encik Barack Obama.

Tuduhan terhadap Encik Trump hasil siasatan terperinci Pegawai Pendakwa Khas, Encik Jack Smith, yang meneliti dakwaan Encik Trump cuba mengubah kekalahannya kepada Encik Biden.

Encik Smith menyatakan Jabatan Keadilan Amerika akan memohon untuk mempercepatkan perbicaraan kes Encik Trump.

“Kami mempunyai bukti mencukupi menunjukkan serangan terhadap Bangunan Capitol pada 6 Januari 2021 berlaku kerana Encik Trump menipu penyokongnya untuk merusuh, dalam usaha menghalang Encik Biden menjadi presiden Amerika,” katanya kepada pemberita.

Kertas tuduhan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan juga menyenaraikan enam rakan subahat Encik Trump yang tidak dinamakan.

Walaupun menghadapi pelbagai tuduhan di mahkamah, Encik Trump, masih mampu memperkukuhkan kedudukannya sebagai calon utama presiden Amerika bagi parti Republikan pada pemilihan seterusnya. – Agensi berita.
 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg