Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Trump hilang kelayakan bertanding undi awal presiden di Maine

Dec 29, 2023 | 04:21 PM



WASHINGTON: Negeri Maine telah melucutkan kelayakan Encik Donald Trump daripada ikut bersaing dalam pengundian pilihan raya awal presiden Amerika Syarikat 2024 pada 28 Disember.


Ini adalah negeri kedua yang menghalang mantan presiden itu di atas peranannya dalam insiden serangan ke atas Bangunan Capitol pada Januari 2021.

Setiausaha Negara bagi negeri Maine, Cik Shenna Bellows, seorang anggota Demokrat, menyimpulkan bahawa Encik Trump – yang menjadi pendahulu untuk pencalonan Republikan bagi Pilihan Raya Presiden 2024 – telah menghasut pemberontakan dengan menyebarkan dakwaan palsu mengenai penipuan pengundian dalam pilihan raya 2020.

Beliau turut menggesa para penyokongnya untuk berarak ke Bangunan Capitol dan menghalang anggota pentadbiran daripada mengesahkan keputusan pengundian itu.

“Perlembagaan Amerika Syarikat tidak bertolak ansur terhadap aksi melanggar asas pemerintahan negara,” tulis Cik Bellows dalam keputusan setebal 34 muka surat.

Keputusan itu boleh dirayu kepada Mahkamah Tinggi negeri, dan Cik Bellows menggantung keputusannya sehingga mahkamah memutuskan perkara itu.

Pasukan kempen Encik Trump berkata ia akan segera memfailkan bantahan terhadap keputusan “kejam” itu.

Peguambela Encik Trump telah mempertikaikan bahawa Encik Trump terlibat dalam pemberontakan dan berhujah bahawa kenyataannya kepada penyokong pada hari rusuhan 2021 itu adalah berdasarkan kepada haknya untuk bebas bersuara.

Keputusan itu dibuat selepas sekumpulan bekas penggubal undang-undang negeri Maine berkata bahawa Encik Trump harus hilang kelayakan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Amerika yang menghalang sesiapa jua daripada memegang jawatan jika mereka terlibat dalam “bantahan atau pemberontakan” setelah mengangkat sumpah.

Mantan penggubal undang-undang – Cik Kimberley Rosen, Encik Thomas Saviello dan Encik Ethan Strimling – berkata dalam satu kenyataan bahawa Cik Bellows “berpegang kepada dasar demokrasi dan perlembagaan kita semasa membuat keputusannya untuk menghalang mantan presiden (Donald Trump) daripada pengundian di negeri Maine”.


Cik Rosen dan Encik Saviello kedua-duanya adalah bekas senator Republik. Encik Strimling ialah bekas senator Demokrat.


Keputusan itu, yang boleh dirayu ke mahkamah negeri, hanya berkuat kuasa pada pilihan raya awal negeri pada Mac.


Tetapi ia boleh menjejas status Encik Trump untuk pilihan raya umum pada November kelak.


Ia berkemungkinan akan menambah tekanan kepada Mahkamah Agung Amerika, untuk menyelesaikan persoalan mengenai kelayakan Encik Trump di seluruh negara, di bawah peruntukan perlembagaan yang dikenali sebagai Seksyen 3 Pindaan Ke-14.


Keputusan konservatif mahkamah, dengan majoriti 6-3, termasuk tiga hakim yang dicalonkan oleh Encik Trump.


Encik Trump telah didakwa dalam kedua-dua kes persekutuan dan di Georgia, kerana peranannya dalam cuba membatalkan pilihan raya 2020.


Tetapi beliau tidak didakwa dengan pemberontakan berkaitan serangan 6 Januari.


Beliau mendahului tinjauan pendapat dengan margin yang besar dalam perlumbaan untuk pencalonan bagi parti Republikan untuk pilihan raya presiden 2024.


Mahkamah tertinggi Colorado melucutkan kelayakan Encik Trump daripada pengundian awal negeri pada 19 Disember, menjadikannya calon pertama dalam sejarah Amerika yang dianggap tidak layak untuk jawatan presiden, kerana terlibat dalam pemberontakan.


Encik Trump telah berikrar untuk merayu keputusan Colorado itu ke Mahkamah Agung dan mengkritik cabaran undi sebagai “tidak demokratik”.


Parti Republikan Colorado memfailkan rayuan Mahkamah Agungnya sendiri pada 27 Disember.


Percubaan serupa untuk membatalkan kelayakan Encik Trump di negeri lain, telah ditolak.


Mahkamah tertinggi di Michigan, negeri medan pertempuran yang penting dalam pilihan raya umum, menolak pada 27 Disember, untuk mendengar kes yang bertujuan melucutkan kelayakan Encik Trump daripada pengundian awal negeri itu.


Negeri Maine dinilai sebagai milik Demokrat, oleh peramal pilihan raya bukan partisan. Ini bermakna Presiden Joe Biden dijangka memenangi pengundian di negeri itu. - Reuters




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >