Trump ikrar serang Iran ‘selama mana perlu’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump ikrar serang Iran ‘selama mana perlu’

Mar 3, 2026 | 10:20 AM

Trump ikrar serang Iran ‘selama mana perlu’

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Gambar rasmi Rumah Putih yang dirakam pada 1 Mac 2026 dan disiarkan pada 2 Mac 2026 menerusi akaun X Rumah Putih memaparkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memantau pelaksanaan “Operation Epic Fury” terhadap Iran dari Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida.
Gambar rasmi Rumah Putih yang dirakam pada 1 Mac 2026 dan disiarkan pada 2 Mac 2026 menerusi akaun X Rumah Putih memaparkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memantau pelaksanaan “Operation Epic Fury” terhadap Iran dari Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada 2 Mac menegaskan bahawa Washington akan terus menyerang Iran “selama mana yang diperlukan” sehingga negara itu tidak lagi mampu menimbulkan ancaman, dalam kenyataan yang memberi isyarat konflik di Asia Barat berpotensi berlarutan berminggu-minggu atau lebih lama.

Berucap pada acara awam pertamanya sejak serangan udara bersama Amerika Syarikat dan Israel bermula pada 28 Februari, Encik Trump berkata tempoh operasi ketenteraan itu tidak menjadi halangan.
“Berapa lama pun masanya, tidak mengapa, apa sahaja yang diperlukan,” katanya. “Sejak awal lagi kami menjangkakan empat hingga lima minggu, tetapi kami mempunyai kemampuan untuk pergi jauh lebih lama daripada itu.”

Di Capitol Hill, Setiausaha Negara Encik Marco Rubio turut memberi bayangan bahawa kempen ketenteraan akan dipergiatkan. “Serangan paling keras daripada tentera Amerika masih belum berlaku,” katanya kepada pemberita.

Kenyataan kedua-dua pemimpin itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai hala tuju sebenar operasi, apabila pentadbiran Washington dilihat menyampaikan mesej yang kurang konsisten mengenai matlamat serangan ke atas Iran.

Encik Rubio, ketika bercakap menjelang taklimat sulit kepada pemimpin Kongres, berhujah bahawa serangan Amerika dan Israel bertujuan menangani “ancaman segera”. Namun dalam masa sama, beliau menggambarkan tindakan itu sebagai langkah awal, atas jangkaan Israel akan tetap melancarkan serangan walaupun tanpa sokongan Amerika dan Iran mungkin menyasarkan kepentingan Amerika sebagai tindak balas.

Beliau berkata Amerika akan terus menyerang sehingga objektif tercapai, termasuk memusnahkan keupayaan peluru berpandu balistik Iran.

Di Rumah Putih, Encik Trump memperincikan sasaran operasi tersebut. “Kami memusnahkan keupayaan peluru berpandu Iran, dan kami melakukannya setiap jam,” katanya. Beliau turut mendakwa serangan itu “menghancurkan angkatan laut mereka” dan memastikan rejim di Teheran “tidak akan memperoleh senjata nuklear atau terus menaja kumpulan militan di seluruh Asia Barat.”

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Encik Trump menegaskan bahawa perang yang dilancarkan bersama Israel bukan bertujuan untuk perubahan rejim.

Misi operasi ketenteraan yang dilancarkan oleh Encik Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mungkin paling tepat diringkaskan dengan nama yang diberikan oleh Pentagon - “Epic Fury.”

Encik Trump telah mengancam perang selama empat minggu atau lebih terhadap negara dengan penduduk 90 juta orang itu, di mana ratusan dilaporkan maut, sambil memberi amaran kemungkinan serangan lebih dahsyat lagi.

Menjawab kritikan berhubung kekurangan kejelasan, Encik Trump dan penasihat terkemukanya pada Isnin menyenaraikan empat objektif perang kesemuanya bersifat ketenteraan iaitu memusnahkan kapasiti tentera laut dan ketenteraan Iran; mengakhiri sokongan negara agamawan terhadap militan serantau; mencegah pembangunan senjata nuklear oleh Iran dan memastikan kelemahan Iran dari segi ketenteraan dan geopolitik.

Dalam wawancara dengan akhbar New York Post, Encik Trump dilaporkan berkata beliau tidak menolak kemungkinan penggunaan tentera darat. “Saya tidak mengatakan tidak akan ada tentera di darat seperti yang selalu dikatakan presiden lain,” katanya.

Namun Encik Trump menegaskan, Amerika tidak bercadang menghantar tentera secara besar-besaran ke darat setakat ini. Tambahnya, matlamat Amerika telah pun tercapai ‘jauh lebih awal daripada unjuran masa’ selepas kematian kepimpinan tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan pertama, 28 Februari lalu. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg