Tiga tentera AS maut, Israel serang Hezbollah ketika perang Iran meluas di Asia Barat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga tentera AS maut, Israel serang Hezbollah ketika perang Iran meluas di Asia Barat

Mar 2, 2026 | 7:03 PM

Tiga tentera AS maut, Israel serang Hezbollah ketika perang Iran meluas di Asia Barat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kesan kemusnahan susulan serangan Israel selepas peningkatan ketegangan antara Hezbollah di Lebanon  dan Israel dalam konflik Amerika Syarikat–Israel dengan Iran pada 2 Mac 2026.
Kesan kemusnahan susulan serangan Israel selepas peningkatan ketegangan antara Hezbollah di Lebanon dan Israel dalam konflik Amerika Syarikat–Israel dengan Iran pada 2 Mac 2026. - Foto REUTERS

BEIRUT: Tiga anggota tentera Amerika Syarikat terbunuh dan lima lagi cedera parah dalam korban pertama sejak serangan Amerika-Israel ke atas Iran, ketika Israel menyerang Lebanon pada 2 Mac selepas Hezbollah membedil roket sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Ayatollah Ali Khamenei, menandakan konflik kini merebak ke seluruh Asia Barat.

Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) mengesahkan kematian tenteranya dan Beberapa anggota lagi mengalami kecederaan ringan akibat kesan serpihan serta gegaran otak ketika menjalankan Operasi ‘Epic Fury’ dan kini dalam proses untuk kembali bertugas.

Susulan itu, Presiden Amerika Donald Trump, berikrar untuk membalas dendam atas kematian tiga anggota tentera terbabit. Encik Trump memberitahu New York Times bahawa Amerika dan Israel berupaya meneruskan serangan pada tahap sama selama empat hingga lima minggu.

“Ia tidak akan sukar. Kami memiliki jumlah amunisi yang besar,” katanya sambil memaklumkan bahawa beliau sudahpun menyenarai pendek tiga individu pilihannya - yang tidak dinyatakan nama - untuk memimpin Iran selepas perang itu.

Bagaimanapun, pemimpin Majlis Keselamatan Nasional Agung Iran, Ali Larijani, menyuarakan penentangan tegas. “Iran tidak akan berunding dengan Amerika Syarikat. “Trump menjerumuskan rantau ini ke dalam kekacauan serta huru-hara dengan ‘fantasi khayalannya’ dan kini bimbang akan lebih banyak lagi kematian tentera Amerika,” katanya dalam hantaran melalui X.

Sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika dan Israel yang memusnahkan ibu pejabat Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Iran melancarkan gelombang peluru berpandu dan dron ke Israel serta beberapa negara Teluk. “Serangan berskala besar turut diteruskan di tengah-tengah Tehran,” menurut kenyataan tentera Israel ketika pasukan Amerika Syarikat memperluas operasi di seluruh Iran.

Kematian itu berlaku ketika Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Lebanon pada 2 Mac dengan menyasarkan kawasan sekitar Beirut. Di Lebanon, sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh dalam serangan udara Israel selepas Hezbollah melancarkan roket awal pagi 1 Mac.

Israel menyatakan ratusan peluru berpandu balistik Iran dimusnahkan di Lebanon dan hampir separuh pelancar senjata itu tidak lagi beroperasi. Seorang pegawai tentera Israel berkata kira-kira 200 pelancar peluru berpandu telah dimusnahkan.

Pengawal Revolusi Iran pada 2 Mac mengesahkan pihaknya melancarkan serangan roket ke kompleks kerajaan Israel di Tel Aviv serta pusat keselamatan dan ketenteraan di Haifa, selain satu lagi serangan ke Baitulmaqdis Timur.

Menurut kenyataan Pengawal Revolusi yang disiarkan oleh televisyen pemerintah antara sasaran gelombang ke-10 itu ialah serangan terancang ke kompleks kerajaan rejim Zionis di Tel Aviv, serangan ke pusat ketenteraan dan keselamatan di Haifa serta serangan ke Baitulmaqdis Timur. Katanya, serangan itu menggunakan peluru berpandu balistik Kheibar.

Dalam masa yang sama, letupan baharu dilaporkan di Doha, Dubai dan Manama pada pagi 2 Mac, manakala peluru berpandu Iran mengenai bangunan di Tel Aviv. Pertahanan udara di Arab Saudi, Qatar, Bahrain dan Kuwait memintas beberapa serangan masuk.

Israel dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan korban jiwa, manakala media Iran melaporkan lebih 500 orang terbunuh dalam serangan ke atas republik itu sejak 28 Februari.

Lapangan terbang utama Dubai, hab penerbangan tersibuk dunia, dilaporkan terkena letupan dan hampir semua penerbangan awam di Teluk ditutup sementara. Beberapa mercu tanda termasuk Palm Jumeirah dan hotel Burj Al Arab mengalami kerosakan, manakala bangunan pencakar langit di Abu Dhabi turut terjejas.

Syarikat logistik DP World menggantung operasi sementara di Pelabuhan Jebel Ali, dan bursa saham di Abu Dhabi serta Dubai ditutup pada 2 dan 3 Mac.

Konflik itu memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global. Harga minyak meningkat hampir 20 peratus sepanjang 2026 berikutan ketegangan Amerika-Iran. Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec) Plus pada 1 Mac bersetuju meneruskan peningkatan pengeluaran bagi mengekang lonjakan harga.

Selat Hormuz, laluan penting minyak dunia, dilaporkan hampir lengang apabila kapal tangki mengelak kawasan tersebut susulan beberapa kapal diserang berhampiran Oman. Namun Menteri Luar Iran Encik Abbas Araghchi menegaskan negaranya tidak bercadang menutup laluan itu.

Konflik yang kini melibatkan Israel, Iran, Amerika Syarikat serta beberapa negara Teluk berpotensi menjadi peperangan serantau yang berpanjangan. Kebimbangan semakin meningkat bahawa perang berlarutan boleh melonjakkan harga tenaga dan menambah korban, sekali gus memberi kesan besar terhadap kestabilan politik serta ekonomi global. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg