Trump jangka perang Iran berakhir tidak lama lagi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump jangka perang Iran berakhir tidak lama lagi

Mar 10, 2026 | 11:41 AM

Trump jangka perang Iran berakhir tidak lama lagi

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Penunjuk perasaan mengibarkan bendera kebangsaan Iran ketika berhimpun dalam satu perhimpunan menyokong pemimpin tertinggi baharu, Mojtaba Khamenei  di Dataran Enghelab, Tehran tengah, pada 9 Mac 2026.
Penunjuk perasaan mengibarkan bendera kebangsaan Iran ketika berhimpun dalam satu perhimpunan menyokong pemimpin tertinggi baharu, Mojtaba Khamenei di Dataran Enghelab, Tehran tengah, pada 9 Mac 2026. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata operasi ketenteraan Amerika terhadap Iran dijangka berakhir tidak lama lagi, dalam usaha menenangkan pasaran global yang bergolak akibat konflik yang semakin merebak di Asia Barat.

Kenyataan tersebut dibuat ketika kelompok haluan kanan Iran mengadakan perhimpunan bagi menunjukkan kesetiaan kepada pemimpin tertinggi baharu negara itu, Encik Mojtaba Khamenei, sebagai isyarat negara itu tidak bersedia untuk berundur dalam masa terdekat.

Isyarat berbeza itu menyebabkan pasaran berdepan turun naik mendadak, dengan harga minyak melonjak selain pasaran saham menjunam sebelum kembali meningkat susulan kenyataan Encik Trump serta laporan kemungkinan pelonggaran sekatan terhadap sektor tenaga Russia.

Ketegangan meningkat apabila Iran, di bawah pemimpin baharu Encik Mojtaba melancarkan gelombang baharu serangan peluru berpandu ke arah negara-negara Teluk. Pada masa sama, Teheran memberi isyarat bahawa Selat Hormuz yang strategik kemungkinan akan terus ditutup.

Penutupan laluan laut itu mencetuskan kebimbangan besar kerana hampir 20 peratus bekalan minyak dunia biasanya melalui selat tersebut.

Wall Street kembali mencatat keuntungan, manakala pasaran di Tokyo dan Seoul turut dibuka lebih kukuh pada 10 Mac. Harga minyak juga mula menurun selepas sebelum itu melonjak melebihi AS$100 ($127) setong, paras tertinggi sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022.

Encik Trump berkata konflik itu hampir selesai, tetapi memberi amaran bahawa Amerika Syarikat akan bertindak lebih keras sekiranya Iran terus menentang. “Ia akan berakhir tidak lama lagi. Jika mereka memulakannya semula, mereka akan diserang dengan lebih kuat,” kata Encik Trump dalam sidang media di Florida.

Beliau sebelum itu memberitahu sekumpulan penggubal undang-undang bahawa kempen ketenteraan tersebut hanyalah satu “operasi jangka pendek”.

Namun kenyataan itu segera disanggah oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), yang menegaskan bahawa Teheran, bukan Washington, akan menentukan bila perang tersebut akan berakhir.
“Amerika bukan pihak yang menentukan penghujung perang ini,” menurut kenyataan IRGC pada 10 Mac.

Kenyataan Encik Trump dibuat pada hari pertama Encik Mojtaba memegang kuasa sebagai pemimpin tertinggi Iran selepas kematian ayahnya, Ayatollah Ali Khamenei. Encik Trump sebelum ini menolak Mojtaba dengan menyatakan beliau ‘tidak layak’ dan menegaskan Washington perlu memberi kelulusan terhadap mana-mana calon, selain menuntut Iran menyerah tanpa syarat. Pada hari yang sama, Iran melancarkan satu lagi gelombang serangan peluru berpandu dan dron ke beberapa negara di Asia Barat, termasuk Arab Saudi, Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Israel.

Satu peluru berpandu turut dilaporkan dilancarkan ke arah Turkey, anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). Namun sistem pertahanan udara pakatan tersebut berjaya memintas peluru berpandu itu sebelum ia mengenai sasaran.

Dalam masa sama, usaha diplomatik antarabangsa tertumpu kepada isu pembukaan semula Selat Hormuz yang kini hampir sepenuhnya ditutup kepada kapal tangki minyak. Encik Trump mengeluarkan amaran keras bahawa Washington akan menyerang Iran “20 kali ganda” sekiranya Tehran mengambil tindakan yang menghalang aliran minyak melalui Selat Hormuz, laluan strategik yang mengangkut kira‑kira 20 peratus minyak dunia.

Beliau turut menambah bahawa AS akan memusnahkan sasaran “yang mudah dimusnahkan”, sehingga menjadikan Iran “hampir mustahil untuk dibina semula sebagai sebuah negara.” Encik Trump menamatkan kenyataannya dengan amaran bahawa “Kematian, api dan kemurkaan akan menimpa mereka - tetapi saya berharap dan berdoa agar ia tidak berlaku.”

Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata negaranya bersama sekutu sedang mempertimbangkan misi keselamatan bagi membuka semula laluan tersebut. Menurut Encik Macron, misi itu bersifat “sepenuhnya defensif” dan bertujuan mengiringi kapal perdagangan selepas fasa paling sengit konflik berakhir.

Bagaimanapun pakar keselamatan memberi amaran bahawa operasi sedemikian boleh mendedahkan kapal tentera kepada serangan dari pesisir Iran yang berhampiran.

Encik Kamal Kharazi, penasihat dasar luar kepada pemimpin tertinggi Iran, berkata Teheran menjangkakan tekanan ekonomi global akibat konflik itu akan memaksa negara lain campur tangan bagi menghentikan perang. “Iran mengira bahawa tekanan ekonomi akan meningkat sehingga negara-negara lain terdorong untuk campur tangan bagi menamatkan perang ini,” katanya kepada CNN.

Konflik itu berlaku ketika Iran berdepan gelombang baharu serangan udara Amerika Syarikat dan Israel selepas Majlis Pakar Iran melantik Encik Mojtaba sebagai pemimpin tertinggi baharu negara itu.
Pelantikan tersebut merupakan perubahan kepimpinan pertama dalam tempoh 37 tahun.

Media rasmi Iran menyiarkan gambar puluhan ribu penyokong berhimpun di pusat Tehran pada 9 Mac bagi meraikan pelantikan Khamenei, dengan ramai membawa gambarnya.

Sekutu Iran di rantau tersebut turut menyatakan sokongan. Pemberontak Houthi di Yaman dan kumpulan Hezbollah di Lebanon mengisytiharkan kesetiaan mereka kepada pemimpin baharu itu. Pada masa sama, Presiden Russia Vladimir Putin menyatakan sokongan penuh kepada Iran.

Encik Trump bagaimanapun berkata beliau kecewa dengan pelantikan Encik Mojtaba tetapi tidak menolak kemungkinan perubahan kepimpinan lain dalam sistem politik Iran. “Saya tidak mempunyai mesej untuknya,” kata Encik Trump ketika ditanya mengenai pemimpin baharu Iran itu.

Beliau juga mendakwa Iran kini berada dalam keadaan ketenteraan yang sangat lemah selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel. “Saya fikir perang ini hampir selesai. Mereka tidak mempunyai tentera laut, tidak mempunyai sistem komunikasi dan tidak mempunyai tentera udara,” kata Encik Trump.

Menurutnya, operasi ketenteraan Amerika juga berjalan jauh lebih pantas daripada jangkaan awal.
“Kami jauh lebih maju daripada jangka masa empat hingga lima minggu yang kami jangkakan sebelum ini,” katanya.

Namun beberapa pakar memberi amaran bahawa konflik tersebut masih boleh memberi kesan besar terhadap ekonomi dunia. Pedagang minyak, pembuat dasar dan bank pusat di seluruh dunia kini memantau perkembangan di Asia Barat dengan teliti, khususnya berkaitan keselamatan infrastruktur tenaga di rantau Teluk.

Pakar perkapalan melaporkan bahawa kira-kira 10 kapal yang berada di Selat Hormuz atau kawasan berhampiran telah diserang sejak Iran menutup laluan tersebut sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel.

Syarikat perkapalan global MSC turut mengumumkan bahawa ia menggantung beberapa penghantaran eksport dari Teluk, menyebabkan sebahagian barangan terpaksa dipunggah semula dari kapal.

Pada masa sama, konflik turut merebak ke Lebanon selepas Israel dan Hezbollah saling berbalas serangan sejak 28 Februari lalu.

Presiden Lebanon Joseph Aoun menuduh Hezbollah cuba “meruntuhkan negara” melalui tindakan ketenteraan mereka. Namun ketua blok parlimen Hezbollah menegaskan bahawa kumpulan itu tidak mempunyai pilihan lain. “Kami tidak mempunyai pilihan lain selain pilihan untuk menentang,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg