WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menjangkakan perang dengan Iran akan berakhir “tidak lama lagi”, ketika Washington berdepan persoalan mengenai kemampuan tenteranya meneruskan konflik yang kini memasuki bulan keenam dan menggunakan sejumlah besar peluru berpandu canggih.

Bercakap kepada wartawan di Pejabat Oval pada 6 Ogos, Encik Trump berkata beliau percaya Iran tidak mampu meneruskan peperangan itu untuk tempoh yang lebih lama.

“Saya fikir ia akan berakhir tidak lama lagi. Saya tidak fikir mereka boleh bertahan lebih lama,” katanya ketika ditanya mengenai perang tersebut.

Kenyataan itu dibuat ketika perhatian semakin tertumpu kepada kedudukan simpanan peluru dan peluru berpandu Amerika selepas beberapa bulan melancarkan serangan terhadap Iran, termasuk menerusi operasi ketenteraan yang dikenali sebagai Operation Epic Fury serta siri serangan balas selepas itu.

Reuters pada 4 Ogos melaporkan bahawa tentera Amerika telah menggunakan sebahagian besar simpanan global peluru berpandu jarak jauh berketepatan tinggi sepanjang lima bulan pertama peperangan.

Ditanya mengenai kedudukan bekalan peluru negara itu, Encik Trump berkata Amerika masih mempunyai simpanan yang sangat besar bagi beberapa jenis senjata, meskipun mengakui bekalan bagi kategori tertentu semakin terhad.

“Kita mempunyai jenis peluru tertentu yang sangat berkuasa dan bekalannya hampir tidak terhad. Bagi yang lain, bekalannya agak ketat,” katanya.

Encik Trump berkata syarikat pertahanan Amerika sedang meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan membina lebih banyak kilang, termasuk kemudahan menghasilkan peluru berpandu Patriot dan Tomahawk.

Beliau kemudian menolak dakwaan bahawa Amerika sedang mengalami kekurangan peluru dan senjata.

“Amerika mempunyai jumlah ‘peluru’ yang sangat besar, terutama bagi jenis tertentu,” katanya menerusi Truth Social pada 6 Ogos.

“Selain itu, sejumlah besar sedang dihasilkan dan dihantar ke Amerika mengikut keperluan.”

Persoalan mengenai tahap simpanan senjata Amerika semakin mendapat perhatian selepas laporan media menyatakan tentera negara itu telah menggunakan sebahagian besar simpanan global peluru berpandu jarak jauh berketepatan tinggi.

Maklumat terperinci mengenai jumlah sebenar peluru berpandu Amerika diklasifikasikan dan tidak didedahkan kepada umum.

Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) menganggarkan bahawa sehingga akhir Julai, Amerika mempunyai antara 759 dengan 827 peluru berpandu Patriot, berbanding kira-kira 2,330 sebelum perang bermula.

Ini bermakna simpanannya mungkin telah berkurangan kepada sekitar satu pertiga daripada jumlah sebelum konflik.

CSIS turut menganggarkan Amerika telah menggunakan kira-kira 60 peratus peluru berpandu sistem Pertahanan Terminal Kawasan Altitud Tinggi (Thaad)  yang digunakan untuk memintas peluru berpandu musuh.

Penasihat kanan CSIS dan bekas kolonel Kor Marin Amerika, Encik Mark Cancian, berkata tekanan terhadap simpanan senjata Washington bukan hanya berpunca daripada perang dengan Iran.

Amerika turut membekalkan sejumlah besar peluru berpandu Patriot kepada Ukraine sejak Russia melancarkan pencerobohan pada 2022.

Dengan simpanan Amerika semakin berkurangan, Encik Cancian menjangkakan Pentagon mungkin lebih berhati-hati untuk menghantar bekalan tambahan ke luar negara.

Encik Trump sebelum ini berkata permintaan terbaru Ukraine untuk mendapatkan lebih banyak Patriot masih dibincangkan, sambil menyifatkan penghantaran tambahan sistem itu sebagai satu “langkah besar”.

Penggantian peluru berpandu moden juga bukan sesuatu yang boleh dilakukan dengan segera kerana proses pembiayaan, tempahan, pengeluaran dan penghantarannya boleh mengambil masa yang panjang.

Iran pula menggunakan laporan mengenai penyusutan simpanan Amerika untuk menegaskan bahawa keupayaan pertahanan domestiknya memberikan Teheran kelebihan dalam konflik berpanjangan.

Menteri Pertahanan Iran, Encik Majid Ibn-e-Reza, berkata tanda-tanda kelemahan keupayaan pihak lawan semakin jelas.

“Setiap hari, tanda-tanda keupayaan musuh yang semakin berkurangan menjadi lebih ketara,” katanya.

Beliau menegaskan angkatan bersenjata Iran, yang disokong industri pertahanan tempatan, masih mempunyai keupayaan untuk bertindak balas terhadap sebarang ancaman.

Dalam pada itu, laporan The Washington Post mendakwa Encik Trump bersemuka dengan Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth, minggu lalu berhubung kemungkinan kekurangan senjata.

Encik Trump menolak laporan tersebut dan mempertahankan prestasi Encik Hegseth, selain mengancam tindakan terhadap individu yang membocorkan maklumat sulit mengenai simpanan senjata Amerika.

Pentadbiran Encik Trump dan Pentagon sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa Amerika masih mempunyai bekalan mencukupi.

Encik Hegseth menyifatkan laporan mengenai kekurangan simpanan sebagai cerita yang “direka-reka”.

Pada masa sama, Pentagon sedang berusaha meningkatkan pengeluaran bagi menggantikan senjata yang digunakan sepanjang konflik.

Bulan Julai lalu, Encik Hegseth meminta dana kecemasan AS$87 bilion ($111.5 bilion) daripada Senat bagi membayar anggota tentera serta “menggantikan dengan pantas peralatan dan peluru”.

Keperluan meningkatkan pengeluaran itu menunjukkan cabaran yang dihadapi Washington untuk memastikan simpanan senjatanya kekal mencukupi sekiranya perang dengan Iran berlanjutan, meskipun Encik Trump kini menjangkakan konflik tersebut akan berakhir dalam masa terdekat. – Agensi berita.