WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mendakwa rundingan dengan Iran masih diteruskan walaupun Teheran menafikannya, sambil memberi amaran bahawa republik Islam itu kini berada pada “peluang terakhir” untuk menerima perjanjian sebelum berdepan tindakan ketenteraan yang lebih keras.

Bercakap kepada wartawan di Rumah Putih pada 3 Ogos, Encik Trump berkata beliau bersetuju meneruskan usaha diplomatik itu atas permintaan beberapa negara Teluk, termasuk Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan negara serantau lain yang mahu konflik berpanjangan itu ditamatkan.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Iran pada hari sama menegaskan tiada sebarang rundingan sedang berlangsung dengan Washington.

Encik Trump bagaimanapun tetap mempertahankan dakwaannya.

“Kami sedang berbincang sekarang. Ini peluang terakhir untuk mereka menandatangani perjanjian yang baik. Saya mahu memberi mereka setiap peluang terakhir sebelum tindakan lebih tegas diambil,” katanya.

Beliau tidak menjelaskan bentuk tindakan yang dimaksudkan, namun menyifatkan ia sebagai “sebelum pemenggalan, satu ungkapan yang menggambarkan amaran keras terhadap Teheran.

Menurut Encik Trump, rundingan itu memberi tumpuan kepada dua isu utama, iaitu pembukaan semula Selat Hormuz serta pelucutan program nuklear Iran.

Katanya, Selat Hormuz berpotensi dibuka semula seawal hari berikutnya, manakala proses pelucutan program nuklear itu dijangka mengambil masa lebih lama.

Konflik antara Amerika dengan Iran tercetus pada 28 Februari lalu apabila Amerika bersama Israel melancarkan serangan mengejut ke atas beberapa sasaran di Iran.

Walaupun beberapa pusingan diplomasi diadakan sejak itu dan berjaya mewujudkan tempoh ketegangan yang lebih rendah, kedua-dua negara masih belum mencapai penyelesaian menyeluruh.

Lebih lima bulan selepas perang bermula, Iran masih mempunyai keupayaan melancarkan peluru berpandu dan dron terhadap sasaran Amerika serta sekutunya di rantau itu, selain terus menyimpan stok uranium diperkaya.

Dalam perkembangan berkaitan, Agensi Operasi Perdagangan Maritim Britain (UKMTO) memaklumkan sebuah kapal kargo diserang objek tidak dikenali ketika melalui Selat Hormuz berhampiran pantai Oman awal pagi 4 Ogos.

Agensi itu berkata kapal berkenaan melaporkan terkena hentaman, manakala siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Bagaimanapun, identiti kapal, tahap kerosakan serta sebarang kecederaan tidak didedahkan.

Perkembangan itu sekali lagi menonjolkan ketegangan berterusan di laluan perkapalan strategik yang menjadi nadi penghantaran minyak dunia.

Sejak beberapa minggu lalu, Encik Trump beberapa kali mengubah nada pendiriannya terhadap Iran.

Minggu lalu, beliau mengancam akan melancarkan serangan yang “amat keras”, termasuk menyasarkan infrastruktur tenaga Iran.

Namun pada 1 Ogos lalu, beliau berkata rangka asas bagi satu perjanjian sudah tersedia, sekali gus memberi gambaran bahawa penyelesaian secara diplomatik masih boleh dicapai.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baghaei, menegaskan Teheran ketika ini hanya berunding dengan Oman berhubung pengurusan laluan perkapalan di Selat Hormuz.

“Rundingan kami adalah dengan Oman bagi memastikan laluan di Selat Hormuz dapat diuruskan,” katanya.

Selat Hormuz menjadi antara isu paling sukar dalam rundingan menamatkan konflik.

Sejak gencatan senjata sebelum ini gagal dipertahankan, Iran kembali menguatkuasakan sekatan ke atas laluan itu dengan menghalang beberapa kapal dagang serta mengenakan kawalan lebih ketat terhadap kapal yang ingin melaluinya.

Encik Trump menyifatkan tindakan Iran itu sebagai tidak jujur kerana Teheran menafikan rundingan dengan Washington, tetapi pada masa sama masih berbincang mengenai penyelesaian isu Selat Hormuz.

Dalam hantaran di media sosial, beliau berkata Amerika sebenarnya sedang mencari penyelesaian terhadap krisis yang menurutnya berpunca daripada tindakan Iran sejak beberapa dekad lalu.

Encik Trump turut mendakwa Amerika kini menguatkuasakan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran.

“Tiada apa yang boleh masuk ke Iran melainkan kami benarkannya, dan tiada apa yang akan dibenarkan sehingga satu perjanjian dicapai atau Iran menyerah sepenuhnya,” katanya.

Sebelum perang tercetus, semua kapal menikmati kebebasan belayar melalui Selat Hormuz.

Namun kini Iran mahu mengekalkan kawalan ke atas laluan itu serta mengenakan bayaran kepada kapal yang melaluinya, cadangan yang ditolak Washington.

Teheran juga tidak lagi membenarkan kapal menggunakan laluan selain yang berhampiran pantai Iran.

Pada 1 Ogos lalu, Encik Baghaei berkata Iran dan Oman hampir mencapai persefahaman mengenai satu laluan baharu yang boleh diterima kedua-dua pihak.

Katanya, laluan itu tidak akan menggunakan laluan utara atau selatan sepenuhnya, sebaliknya mengambil kira hak kedaulatan serta kepentingan keselamatan kedua-dua negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan persefahaman itu tidak bermakna Selat Hormuz akan dibuka semula sepenuhnya kepada semua kapal.

Encik Trump turut mengulangi bahawa matlamat utama konflik itu adalah memastikan Iran tidak lagi mempunyai keupayaan membangunkan senjata nuklear.’

“Nyahnuklear Iran mesti dilaksanakan,” katanya.

Negara-negara Barat sejak sekian lama menuduh Iran berusaha menghasilkan senjata nuklear, namun Teheran berulang kali menegaskan program nuklearnya hanya bertujuan untuk kegunaan awam dan penjanaan tenaga.

Pada hujung minggu lalu, Encik Trump turut mendakwa Iran serta beberapa negara sekutu Amerika di Asia Barat meminta beliau menangguhkan satu lagi serangan besar yang menurutnya berpotensi menjadi operasi ketenteraan terbesar sejak Perang Dunia Kedua.

Media Iran bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa Tehran pernah meminta Washington menghentikan serangan.

Perjanjian gencatan senjata yang pernah dicapai pada Julai lalu sebelum ini bertujuan membuka semula Selat Hormuz kepada kapal-kapal yang membawa bekalan tenaga dari Teluk untuk pasaran global, namun ia gagal dipertahankan apabila pertempuran kembali tercetus. – Agensi berita.