Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump jangka tebusan Gaza akan dibebaskan pada 13 Oktober

Oct 9, 2025 | 3:11 PM
Penduduk Palestin meraikan di Khan Younis pada 9 Oktober 2025 selepas berita mengenai perjanjian gencatan senjata baharu di Gaza. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah mencapai persetujuan bagi fasa pertama gencatan senjata di Gaza selepas beberapa hari rundingan tidak langsung di Mesir.
Penduduk Palestin meraikan di Khan Younis pada 9 Oktober 2025 selepas berita mengenai perjanjian gencatan senjata baharu di Gaza. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah mencapai persetujuan bagi fasa pertama gencatan senjata di Gaza selepas beberapa hari rundingan tidak langsung di Mesir. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyatakan keyakinan bahawa semua tebusan yang ditahan di Gaza, termasuk mayat mereka yang terkorban, akan dibawa pulang pada Isnin, 13 Oktober selepas Israel dan Hamas mencapai persetujuan gencatan senjata di bawah pelan damai tajaan beliau.

“Banyak perkara sedang dilakukan untuk membebaskan tebusan, dan kami percaya mereka semua akan pulang pada Isnin (13 Oktober), termasuk jasad mereka yang telah meninggal dunia,” kata Trump dalam temu bual telefon bersama saluran Fox News, lewat 8 Oktober.

Kenyataan Encik Trump itu dibuat hanya beberapa jam selepas beliau mengumumkan pelan damai 20 perkara yang bertujuan menamatkan perang dua tahun di Gaza - konflik yang telah memusnahkan wilayah itu dan mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarah Palestin moden.

Menurut pelan tersebut, kumpulan Hamas akan membebaskan semua tebusan Israel, manakala tentera Israel akan berundur ke garisan yang dipersetujui bersama. Encik Trump berkata, rundingan intensif di Mesir antara wakil Israel, Hamas, Qatar, dan Turkey telah membuahkan hasil selepas berbulan-bulan kebuntuan.

“Saya amat berbangga bahawa Israel dan Hamas telah mencapai persetujuan ini. Ia bukan hanya tentang Gaza, ini adalah tentang keamanan di seluruh Timur Tengah,” katanya.

Encik Trump turut menyatakan keyakinannya bahawa kesan perjanjian ini akan melangkaui sempadan Gaza. “Saya percaya Iran juga akan menjadi sebahagian daripada keseluruhan proses damai ini,” katanya, merujuk kepada musuh lama Amerika Syarikat dan Israel itu.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan pelan tersebut menunjukkan dunia kini bersatu untuk mencapai keamanan sejagat. “Dunia telah bersatu di sekeliling perjanjian ini. Ia sesuatu yang baik untuk Israel, untuk umat Islam, bagi negara-negara Arab, dan juga untuk Amerika Syarikat,” tambahnya.

Encik Trump turut menekankan visinya untuk membangunkan semula Gaza selepas perang berakhir, dengan bantuan kewangan dan logistik daripada negara-negara Arab di rantau Teluk.
“Gaza akan menjadi tempat yang dibina semula, dan negara-negara di sekitarnya akan membantu kerana mereka mempunyai kekayaan besar dan mahu melihat keamanan tercapai,” katanya.

“Amerika Syarikat juga akan terlibat membantu menjayakan pembangunan semula itu dan memastikan keamanan berkekalan.”

Presiden dari Parti Republikan itu menambah, pelaksanaan fasa pertama pelan damai itu akan menjadi titik perubahan besar dalam sejarah Asia Barat. “Anda akan lihat orang mula berdamai, dan Gaza akan dibangunkan semula. Ini akan menjadi dunia yang berbeza,” katanya dengan penuh yakin.

Menurut draf awal pelan berkenaan, Gaza akan ditadbir buat sementara waktu oleh jawatankuasa teknokrat Palestin yang bebas daripada pengaruh politik, dengan pemantauan oleh badan antarabangsa yang dinamakan Lembaga Keamanan yang akan diketuai sendiri oleh Trump.

Fasa pertama pelaksanaan pelan itu turut merangkumi gencatan senjata menyeluruh, pengunduran tentera Israel dari kawasan padat penduduk, pembebasan semua tebusan Israel serta tahanan Palestin, dan kemasukan bantuan kemanusiaan berskala besar ke wilayah yang hancur akibat perang.

Projek pemulihan Gaza dijangka melibatkan pembinaan semula infrastruktur asas seperti sistem bekalan air dan elektrik, jaringan jalan raya, hospital, sekolah, serta kemudahan awam lain, dengan kerjasama agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Bulan Sabit Merah.

“Kami percaya Gaza akan menjadi tempat yang lebih selamat dan makmur. Negara-negara jiran memiliki kekayaan besar dan mahu melihat wilayah itu pulih,” kata Encik Trump.

Encik Trump menyifatkan perjanjian itu sebagai langkah pertama menuju kestabilan serantau dan kemungkinan perdamaian yang melibatkan seluruh Asia Barat. “Saya sangat yakin akan ada keamanan di Timur Tengah. Ini adalah peluang besar bagi semua pihak,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan sepenuhnya perjanjian itu memerlukan komitmen bersama daripada semua pihak yang terlibat. “Kami akan memastikan setiap pihak menghormati syarat perjanjian ini. Semua tebusan akan dibawa pulang, dan Gaza akan mula menulis bab baharu dalam sejarahnya bukan lagi tentang peperangan, tetapi tentang pemulihan dan harapan,” kata Encik Trump. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg