Trump kaitkan ambil alih Greenland dengan kegagalan menang Nobel Keamanan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump kaitkan ambil alih Greenland dengan kegagalan menang Nobel Keamanan

AS hantar pesawat ke Pangkalan Greenland, dakwa telah ‘dirancang sejak sekian lama’
Jan 20, 2026 | 11:28 AM

Trump kaitkan ambil alih Greenland dengan kegagalan menang Nobel Keamanan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Trump, Greenland, Nobel Keamanan
Anggota tentera Denmark tiba di Lapangan Terbang Nuuk pada 19 Januari sebagai sebahagian daripada peningkatan kehadiran keselamatan di Greenland, ketika ketegangan diplomatik dengan Amerika Syarikat semakin memuncak susulan tuntutan Presiden Donald Trump terhadap wilayah Artik itu. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sekali lagi mencetuskan ketegangan diplomatik apabila mendakwa bahawa kegagalannya memenangi Hadiah Nobel Keamanan menjadi antara sebab beliau kini bertegas mahu mengambil alih Greenland.

Dakwaan itu terkandung dalam satu mesej teks yang dihantar Encik Trump kepada Perdana Menteri Norway, Encik Jonas Gahr Store, pada hujung minggu lalu, seperti disahkan oleh pejabat perdana menteri Norway pada 19 Januari.

Kandungan mesej tersebut, yang pertama kali didedahkan oleh PBS – sebuah rangkaian penyiaran awam di Amerika – mengejutkan pemimpin Eropah dan mencetuskan kebimbangan baru terhadap niat sebenar Washington berhubung wilayah Artik itu.

“Memandangkan negara anda memutuskan untuk tidak memberi saya Hadiah Nobel Keamanan selepas menghentikan lapan peperangan, saya tidak lagi merasakan kewajipan untuk berfikir semata-mata tentang keamanan, walaupun ia akan sentiasa menjadi keutamaan, tetapi kini boleh memikirkan apa yang baik dan wajar untuk Amerika Syarikat,” tulis Encik Trump dalam mesej berkenaan.

Dalam mesej sama, Encik Trump turut mempertikai tuntutan Denmark ke atas Greenland, sambil mendakwa tiada dokumen bertulis yang menyokongnya.

“Dunia tidak akan selamat selagi kita tidak mempunyai kawalan penuh dan menyeluruh ke atas Greenland,” katanya lagi.

Kenyataan itu menandakan peningkatan ketara dalam ketegangan yang memuncak sejak beberapa minggu kebelakangan ini, ketika Encik Trump secara terbuka mengancam untuk menggunakan tarif perdagangan bagi meningkatkan tekanan ke atas Denmark supaya menyerahkan wilayah tersebut, sesuatu yang ditolak keras oleh Copenhagen.

Greenland telah menjadi sebahagian daripada kerajaan Denmark selama lebih 300 tahun, dan desakan Encik Trump agar Amerika mengambil alih pulau besar yang dilitupi ais itu telah dikecam oleh pemimpin Eropah sebagai tidak bertanggungjawab serta bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

Menurut salinan mesej yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri Norway, mesej Encik Trump itu merupakan jawapan kepada mesej awal yang dihantar oleh Encik Store pada 18 Januari.

Mesej tersebut turut ditandatangani oleh Presiden Finland, Encik Alexander Stubb, yang diketahui mempunyai hubungan peribadi yang baik dengan Encik Trump.

Dalam mesej bersama itu, para pemimpin Eropah meminta perbincangan lanjut dengan Encik Trump mengenai isu Greenland dan menyeru agar ketegangan dikurangkan.

“Kami percaya kita semua perlu bekerjasama untuk meredakan keadaan ini. Terlalu banyak perkara sedang berlaku di sekeliling kita yang memerlukan kita berdiri bersama,” menurut mesej berkenaan.

Bagaimanapun, respons Encik Trump dilihat bergerak ke arah bertentangan.

Dalam satu kenyataan susulan, Encik Store menegaskan bahawa isu Hadiah Nobel Keamanan tidak berada di bawah bidang kuasa pemerintah Norway.

“Saya telah beberapa kali menjelaskan kepada Encik Trump perkara yang sudah diketahui umum iaitu Hadiah Nobel Keamanan diputuskan oleh Jawatankuasa Nobel yang bebas, bukan oleh pemerintah Norway,” katanya.

Rumah Putih setakat ini tidak memberikan sebarang maklum balas rasmi terhadap permintaan komen berkaitan mesej tersebut.

Walaupun Encik Trump berulang kali mencabar tuntutan Denmark ke atas Greenland, beberapa perjanjian lama yang ditandatangani oleh Amerika sendiri secara jelas mengiktiraf kedudukan Denmark terhadap wilayah itu. Pindaan kepada perjanjian pertahanan Amerika–Denmark pada tahun 2004, yang memberikan akses ketenteraan luas kepada Washington, secara jelas menyatakan bahawa Greenland ialah “bahagian setara dalam kerajaan Denmark”.

Selain itu, dalam perjanjian tahun 1916 yang menyaksikan Denmark menjual Kepulauan Virgin kepada Amerika Syarikat dengan harga AS$25 juta (S$32 juta) dalam bentuk emas, terdapat klausa yang menyebut bahawa Amerika tidak akan membantah Denmark memperluaskan kepentingan politik dan ekonominya ke seluruh Greenland.

Dalam tempoh setahun lalu, Denmark berulang kali menolak tuntutan Encik Trump, menegaskan bahawa kerajaan Denmark tidak mempunyai kuasa untuk menjual wilayah tadbir sendiri itu. Copenhagen menegaskan bahawa nasib Greenland terletak di tangan kira-kira 57,000 penduduknya.

Tinjauan pendapat dan temu bual awam menunjukkan majoriti besar rakyat Greenland menentang idea untuk menyertai Amerika Syarikat. Penentangan itu diterjemahkan ke jalanan pada 17 Januari lalu, apabila ratusan penduduk berhimpun di ibu kota Nuuk dalam demonstrasi terbesar sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Para penunjuk perasaan dilihat melaungkan slogan seperti “Tidak bermakna tidak”; “Greenland sudah cukup hebat” dan “Yankee, balik ke negara kamu!” sambil berarak di jalan-jalan bersalji bandar itu.

Dalam masa yang sama, Denmark dan beberapa negara Eropah lain telah meningkatkan kehadiran ketenteraan di pulau tersebut.

Kumpulan kecil askar Denmark berseragam hijau dilihat berkawal di pusat bandar Nuuk, manakala sebuah kapal perang Denmark sepanjang kira-kira 60 meter yang mampu memecah ais tebal, meronda perairan berhampiran.

Pada 14 Januari lalu, satu pertemuan tiga hala yang dinanti-nantikan antara Amerika Syarikat, Denmark dan Greenland, yang dihoskan oleh Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, di Washington, gagal menghasilkan sebarang kemajuan ketara. Sebaliknya, pertemuan itu dilihat menambah salah faham.

Walaupun pegawai Denmark dan Greenland berkata satu kumpulan kerja telah dibentuk untuk meneroka penyelesaian, kenyataan pentadbiran Trump selepas itu bahawa rundingan teknikal mengenai “pemerolehan Greenland” akan dimulakan telah mencetuskan kebimbangan lebih besar, bukan sahaja di Greenland dan Denmark, tetapi juga di seluruh Eropah.

Dalam perkembangan terkini Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (NORAD) mengumumkan bahawa pesawat tentera Amerika akan dikerahkan ke Pangkalan Angkasa Pituffik di Greenland.

Dalam satu kenyataan pada 19 Januari, NORAD memaklumkan bahawa pesawatnya “akan tiba tidak lama lagi di Pangkalan Angkasa Pituffik, Greenland”, sebagai sebahagian daripada operasi yang dirancang lebih awal.

NORAD menegaskan penempatan itu bertujuan menyokong kerjasama pertahanan sedia ada antara Amerika, Canada dan Denmark, dan bukan tindakan baru yang bersifat agresif.

Menurut kenyataan itu, penugasan berkenaan telah diselaras sepenuhnya dengan kerajaan Denmark, dilaksanakan dengan kelulusan diplomatik yang sewajarnya, serta dimaklumkan kepada pihak berkuasa Greenland. Pesawat berkenaan akan menyokong operasi pertahanan rutin bagi mempertahankan Amerika Utara.

Pangkalan Angkasa Pituffik, yang sebelum ini dikenali sebagai Pangkalan Udara Thule, merupakan kemudahan ketenteraan utama Amerika Syarikat di barat laut Greenland dan berfungsi sebagai hab komunikasi serta sistem amaran awal peluru berpandu.

Namun, beberapa penganalisis keselamatan berpendapat tiada rasional kukuh bagi Amerika Syarikat untuk mengambil alih Greenland, memandangkan Washington sudah pun mempunyai keupayaan mempertahankan wilayah itu melalui perjanjian pertahanan sedia ada, termasuk kerjasama di bawah NORAD.

Greenland, sebuah wilayah tadbir sendiri dalam Kerajaan Denmark, sejak sekian lama menarik perhatian Trump berikutan kedudukannya yang strategik di Artik, kekayaan sumber mineral, serta dakwaan kebimbangan terhadap peningkatan kehadiran Russia dan China di rantau tersebut.

Bagaimanapun, Denmark dan Greenland secara konsisten menolak sebarang cadangan pemindahan kedaulatan, sambil menegaskan bahawa pulau itu kekal di bawah kedaulatan Denmark dan masa depannya ditentukan oleh rakyat Greenland sendiri. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg