Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump kembali satu ancaman terhadap aspirasi ekonomi Asia Tenggara

Jan 20, 2025 | 5:30 AM
Amerika Syarikat tidak dijangka mengenakan tarif ke atas ekonomi Asia Tenggara sedang Asean terus kekal sebagai satu blok yang relevan dan mampu memainkan peranan penting dalam landskap geopolitik terkini.
Amerika Syarikat tidak dijangka mengenakan tarif ke atas ekonomi Asia Tenggara sedang Asean terus kekal sebagai satu blok yang relevan dan mampu memainkan peranan penting dalam landskap geopolitik terkini. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Kembalinya Encik Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat dijangka memberi impak besar kepada hubungan Amerika-Asean dan cita-cita ekonomi rantau Asia Tenggara.

Walaupun Amerika adalah pelabur asing terbesar Asean, dengan kembalinya Encik Trump, harapan Asean untuk dilihat sebagai blok ekonomi yang berdaya saing di mata kuasa-kuasa besar dunia mungkin akan pudar.

Fokus Encik Trump yang lebih memihak kepada dasar dua hala dan pendekatan yang berorientasikan kepentingan langsung berkemungkinan besar akan merugikan Asean, menyebabkan rantau ini diketepikan dalam agenda ekonomi global.

Encik Lucas Myers, seorang pakar di Pusat Wilson untuk Program Indo-Pasifik berkata: “Saya menjangka Ameria akan terus berjuang untuk meningkatkan tawaran ekonomi di rantau ini, terutamanya kerana tiada minat besar di Amerika untuk perjanjian perdagangan baru.”

Di bawah kepimpinan Encik Trump, Amerika dijangka akan memberi tumpuan kepada hubungan dengan negara-negara individu, berbanding dengan pendekatan multilateral yang lebih inklusif.

Kepimpinan Encik Trump yang terkenal dengan dasar ‘America First’ (Amerika Didahulukan) kemungkinan besar akan membawa kepada pengabaian terhadap Asean sebagai sebuah kesatuan serantau.

Sebagai contoh, negara seperti Filipina dan Vietnam dijangka akan menjadi tumpuan Encik Trump dalam usaha memperkukuh hubungan perdagangan bilateral, tanpa memberi perhatian besar kepada kerjasama serantau melalui Asean.

Encik Trump lebih cenderung untuk mendekati negara-negara seperti Filipina yang mempunyai hubungan erat dengan Amerika, terutamanya dalam soal keselamatan maritim dan cabaran terhadap pengaruh China di Laut China Selatan.

Encik Trump juga dijangka akan berinteraksi dengan Asean berdasarkan kepentingan langsung Amerika. Encik Myers menambah: “Pendekatan pentadbiran Trump akan lebih fokus kepada persaingan kuasa besar, yang mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara Asean.”

Pendekatan ini jelas berbeza dengan pemerintahan Encik Joe Biden yang cuba memperkukuh hubungan dengan Asean melalui pelbagai platform dan hubungan serantau, serta dengan pendekatan lebih terbuka terhadap kerjasama multilateral.

Pakar-pakar percaya bahawa kembalinya Trump berkemungkinan akan mengurangkan komitmen Amerika terhadap mekanisme yang dipimpin Asean seperti Sidang Puncak Asia Timur (Apec).

Seperti yang dijelaskan oleh Cik Joanne Lin, seorang ahli akademik di Pusat Kajian Asean kepada The Business Times (BT): “Kebencian Trump terhadap multilateralisme mungkin mengakibatkan pengurangan penglibatan Amerika dengan mekanisme yang dipimpin Asean, termasuk potensi ketiadaan presiden Amerika di sidang puncak Asean.”

Hal ini memberi isyarat yang kurang memberangsangkan tentang kepentingan Asean kepada Amerika, tambah Cik Lin.

Cik Lin juga menyatakan bahawa ketiadaan presiden Amerika di Sidang Puncak Asean boleh dilihat sebagai kurangnya penghargaan terhadap Asean sebagai sebuah institusi.

“Di rantau ini, diplomasi peribadi dan isyarat simbolik membawa makna besar. Kekurangan perwakilan tinggi boleh ditafsirkan sebagai tanda kurangnya rasa hormat terhadap Asean,” jelasnya.

Ini berpotensi menjejas keyakinan Asean terhadap komitmen Amerika, terutamanya apabila China terus memperluaskan pengaruhnya di rantau ini melalui hubungan tinggi yang konsisten.

Walaupun begitu, Asean tidak harus bergantung sepenuhnya pada Amerika untuk meneruskan aspirasi ekonomi dan politiknya.

Inisiatif seperti Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital Asean dan projek Grid Kuasa Asean menunjukkan komitmen untuk memperkukuh kerjasama serantau dan mengurangkan kebergantungan terhadap kuasa besar luar, terutamanya dalam menghadapi ketegangan Amerika-China.

“Asean harus terus memajukan keutamaan ini secara bersama, supaya ia boleh menjadi pemimpin serantau yang proaktif, bukan hanya pemain pasif,” kata Cik Lin.

Selain itu, bagi memastikan Asean terus kekal relevan, negara-negara anggotanya perlu memperkukuh hubungan dengan kuasa-kuasa sederhana seperti Jepun, India, dan Kesatuan Eropah (EU).

Ini akan membantu Asean mengimbangi kehadiran China yang semakin kuat di rantau ini. “Asean perlu mengimbangi risiko pemisahan ekonomi dengan mempelbagai pasaran mereka,” tambah Cik Lin. Langkah-langkah ini penting dalam usaha mengukuhkan kedudukan Asean sebagai blok yang relevan dalam arena ekonomi global.

Terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa walaupun ketiadaan presiden Amerika di Sidang Puncak Asean boleh dilihat sebagai kurangnya komitmen, sebenarnya ia mungkin tidak begitu penting.

Encik Julio Amador, pengasas dan pemegang amanah Facts Asia, berkata, “Jika anda adalah pemimpin negara paling berkuasa di dunia, mengapa Asean merasakan mereka berhak menuntut kehadiran anda?”

Menurut Encik Amador, kehadiran atau ketiadaan pemimpin Amerika di sidang puncak bukanlah penanda aras sebenar bagi keutamaan negara itu terhadap Asean.

“Jika anda penting, anda tidak perlu menjerit. Orang akan datang dan hadir kerana mereka menghargai anda,” tambahnya.

Namun, untuk memastikan Asean kekal relevan dalam percaturan ekonomi global, blok ini perlu mempamerkan kesatuan yang lebih jelas dan memanfaatkan kekuatan bersama mereka. Ia juga harus dapat menunjukkan nilai dan potensi ekonomi yang lebih besar melalui projek bersama yang mampu menarik perhatian kuasa-kuasa besar dunia, termasuk Amerika.

Asean perlu menguruskan jangkaan mereka terhadap Amerika di bawah pemerintahan Encik Trump. Pendekatan bilateral dan fokus kepada kepentingan negara tertentu boleh mengurangkan perhatian Amerika terhadap kerjasama serantau Asean.

Walaupun begitu, Asean perlu terus memperkukuh keutamaan ekonomi dan keselamatannya sendiri melalui kerjasama serantau yang lebih mendalam dan berfokus kepada pembangunan domestik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg