Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump kemuka perjanjian nuklear Saudi ke Kongres, syarat pulihkan hubungan dengan Israel
Jika dilulus, perjanjian 30 tahun akan lihat syarikat AS eksport teknologi nuklear awam ke Saudi
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah mengemukakan perjanjian kerjasama tenaga nuklear awam dengan Arab Saudi kepada Kongres.
Namun, menegaskan ia hanya akan diteruskan jika Riyadh bersetuju memulihkan hubungan dengan Israel.
Seorang pegawai pemerintahan Amerika berkata perjanjian yang dicapai pada Julai itu dihantar kepada Kongres pada 24 Ogos dan dijangka diserahkan kepada jawatankuasa berkaitan pada 26 Ogos untuk memulakan proses semakan rasmi.
Perjanjian selama 30 tahun itu akan membolehkan syarikat Amerika mengeksport teknologi nuklear awam ke Arab Saudi dan memainkan peranan utama dalam pembangunan prasarana tenaga nuklear negara tersebut.
Namun, Encik Trump menetapkan satu syarat politik utama sebelum perjanjian itu boleh dilaksanakan – Arab Saudi perlu menyertai Perjanjian Abraham dan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.
“Pendirian Presiden tidak berubah... perjanjian itu hanya akan diteruskan sekiranya Arab Saudi menyertai Perjanjian Abraham,” kata pegawai Amerika itu menerusi e-mel.
Perjanjian Abraham yang diusahakan Amerika semasa penggal pertama Encik Trump membawa kepada pemulihan hubungan Israel dengan beberapa negara Arab dan majoriti Muslim, termasuk Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi dan Sudan pada 2020 dan 2021.
Bagaimanapun, usaha membawa Arab Saudi menyertai perjanjian itu menghadapi halangan besar berikutan perang Gaza.
Sebelum perang tercetus pada Oktober 2023, diplomat Amerika dan serantau percaya Riyadh semakin hampir mencapai persetujuan untuk memulihkan hubungan dengan Israel.
Namun, Arab Saudi sejak itu menegaskan ia tidak akan mengiktiraf Israel tanpa adanya laluan jelas dan terjamin ke arah penubuhan sebuah negara Palestin.
Encik Trump pernah berusaha mencapai perjanjian nuklear dengan Riyadh semasa penggal pertamanya, manakala pendahulunya, Encik Joe Biden, turut cuba menggabungkan kerjasama nuklear Amerika-Saudi dengan usaha pemulihan Saudi-Israel.
Perjanjian terkini itu antara lain melibatkan rancangan membina reaktor nuklear AP1000 di Arab Saudi, dengan projek tersebut dianggar bernilai puluhan bilion dolar.
Ia dijangka memberi manfaat besar kepada syarikat tenaga nuklear Amerika, Westinghouse, yang dimiliki bersama Cameco yang berpangkalan di Canada dan Brookfield Asset Management.
Menteri Tenaga Amerika, Encik Chris Wright; dan Menteri Tenaga Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman, menandatangani perjanjian itu pada Julai lalu sebagai sebahagian pakej kerjasama lebih luas dalam bidang tenaga nuklear awam.
Kedua-dua pihak turut menandatangani perjanjian berhubung langkah perlindungan nuklear.
Penghantaran perjanjian itu kepada Kongres memulakan proses semakan di bawah Seksyen 123 Akta Tenaga Atom Amerika.
Berbeza dengan perjanjian antarabangsa tertentu yang memerlukan sokongan dua pertiga Senat, perjanjian kerjasama nuklear sedemikian boleh berkuat kuasa tanpa undian kelulusan khusus selepas tempoh semakan selama 90 hari persidangan Kongres.
Jika Kongres tidak meluluskan resolusi bersama untuk menolaknya dalam tempoh tersebut, perjanjian itu boleh berkuat kuasa.
Jika Kongres menolaknya, Encik Trump pula boleh menggunakan kuasa veto, yang hanya boleh dibatalkan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Kongres.
Namun, perjanjian itu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan beberapa anggota Demokrat dan pakar pencegahan percambahan senjata nuklear kerana ia tidak secara jelas menghalang Arab Saudi daripada memperkaya uranium atau memproses semula sisa nuklear.
Kedua-dua teknologi itu boleh digunakan untuk tujuan tenaga nuklear awam tetapi juga berpotensi menyediakan laluan kepada penghasilan bahan untuk senjata nuklear.
UAE, sebaliknya, bersetuju untuk tidak memperkaya uranium atau memproses semula bahan api nuklear dalam perjanjian kerjasama nuklearnya dengan Washington pada 2009, satu pendekatan yang sering disebut sebagai “standard emas” bagi pencegahan percambahan nuklear.
Pemerintahan Trump menegaskan perjanjian dengan Arab Saudi mengandungi langkah pencegahan percambahan nuklear seperti yang diwajibkan undang-undang Amerika.
Beberapa anggota Demokrat pula memberi amaran bahawa membenarkan Riyadh memiliki keupayaan memperkaya uranium boleh mencetuskan persaingan nuklear lebih luas di Timur Tengah.
Senator Edward Markey, dan Encik Jeff Merkley, serta anggota Dewan Perwakilan Encik John Garamendi, dan Encik Donald Beyer, sebelum ini menyifatkan perjanjian itu sebagai berisiko menjadi “titik permulaan perlumbaan senjata nuklear di Timur Tengah”.
Mereka menggesa agar Arab Saudi diwajibkan meninggalkan sebarang usaha menghasilkan uranium bertaraf senjata dan menerima piawaian pemeriksaan paling ketat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Pengarah Pusat Pendidikan Dasar Pencegahan Percambahan Nuklear, Encik Henry Sokolski, pula berkata keputusan menghantar perjanjian itu kepada Kongres membuka kemungkinan ia akhirnya diluluskan tanpa syarat pemulihan hubungan dengan Israel atau sekatan lebih ketat terhadap pengayaan uranium.
“Ini jauh daripada keadaan ideal jika anda benar-benar serius mengenai tiada pengayaan dan pengiktirafan Israel,” katanya. – Agensi berita.
