LOS ANGELES: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 9 Jun mengarahkan pasukan askar marin masuk ke Los Angeles, sambil berikrar mereka yang membantah penahanan imigresen akan “dikenakan tindakan lebih tegas” berbanding sebelum ini.
Pengerahan luar biasa 700 anggota tentera profesional sepenuh masa itu, yang menyertai ratusan tentera Pengawal Kebangsaan yang sudah berada di sana, nampaknya akan mencetuskan lagi ketegangan dengan penduduk Latin yang ramai di bandar itu.
Gabenor California, Encik Gavin Newsom, menyelar langkah terbaru itu sebagai “menggila”.
“Marin Amerika telah berkhidmat secara terhormat merentasi pelbagai peperangan dalam mempertahankan demokrasi.
“Mereka tidak sepatutnya ditempatkan di bumi Amerika menghadapi rakyat negara mereka sendiri untuk memenuhi fantasi gila Presiden diktator. Ini bukan cara Amerika,” kata Encik Newsom di wadah sosial X.
Langkah terbaru itu dibuat selepas penunjuk perasaan mengambil alih jalan-jalan di Downtown Los Angeles pada 8 Jun, membakar kereta dan menjarah kedai dalam adegan hodoh yang menyaksikan pihak penguatkuasaan undang-undang bertindak balas dengan gas pemedih mata dan peluru getah.
“Orang-orang yang menyebabkan masalah adalah pengacau profesional dan pemberontak,” kata Encik Trump kepada pemberita di Washington.
Di media sosial, beliau berkata penunjuk perasaan meludahi tentera dan jika mereka terus berbuat demikian, “Saya berjanji kepada anda, mereka akan dikenakan tindakan lebih tegas daripada yang pernah mereka alami sebelum ini. Rasa tidak hormat seperti itu tidak akan diterima!”.
Seorang pemilik perniagaan kecil yang kedainya telah diconteng, yang enggan memberikan namanya, menyokong tindakan tegas itu.
“Saya fikir ia perlu untuk menghentikan vandalisme,” katanya kepada AFP.
“Semua orang berhak untuk membantah, tetapi lakukan dengan cara yang betul. Jangan merosakkan atau mencederakan bandar anda sendiri kerana anda menjejas orang yang cuba mencari rezeki,” tambahnya.
“Mereka bertujuan untuk melindungi kami, tetapi sebaliknya, mereka dihantar untuk menyerang kami. Ini bukan demokrasi lagi,” kata Cik Kelly Diemer, 47 tahun.
Bantahan hari keempat berlaku di Los Angeles, dicetuskan oleh berpuluh-puluh penangkapan terhadap apa yang pihak berkuasa katakan sebagai pendatang tanpa izin dan anggota kumpulan samseng.
Para penunjuk perasaan melemparkan kata-kata kesat terhadap anggota Pengawal Kebangsaan di luar pusat tahanan persekutuan.
Yang lain memukul bahagian tepi kenderaan yang tidak bertanda ketika mereka melalui garisan pengawalan polis.
Orang ramai berkumpul di tengah-tengah sambil melaungkan “Malu! Malu! Malu!” kepada tentera persekutuan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg