FLORIDA: Calon Republikan, Encik Donald Trump, kini mendahului saingan pilihan raya presiden Amerika Syarikat apabila undian di hampir sedozen negeri selesai dikira, menjadikan perlumbaan ini antara yang paling sengit dalam sejarah negara tersebut.
Pengundi di 50 negeri sedang menunaikan tanggungjawab mereka di enam zon waktu berbeza, menjadikan malam ini penuh debaran dengan keputusan akhir yang mungkin memerlukan hari atau minggu untuk dipastikan.
Di bawah sistem pilihan raya unik Amerika, calon perlu mencapai 270 undi elektoral daripada 538 undi bagi menguasai Rumah Putih.
Setakat ini, Encik Trump mendahului di negeri-negeri majoriti Republikan yang telah menutup undi. Berdasarkan anggaran awal, Encik Trump memperoleh 105 undi elektoral berbanding 27 undi untuk calon Demokrat Cik Kamala Harris.
Namun, angka ini dijangka berubah sepanjang malam apabila lebih banyak negeri melengkapkan pengiraan undi, dengan Harris berpotensi kuat di beberapa negeri yang belum ditutup.
Fokus kini tertumpu pada tujuh negeri “swing” atau negeri yang sukar diramal undiannya di mana pertembungan antara Trump dan Harris paling sengit: North Carolina, Georgia, Pennsylvania, Michigan, Arizona, Wisconsin, dan Nevada.
Undi di Arizona, Wisconsin, dan sebahagian Michigan akan ditutup pada jam 9 malam Waktu Timur (10 pagi waktu Singapura), sementara Nevada, negeri swing terakhir, menutup undian pada jam 10 malam.
Sehingga kini, lebih 84 juta rakyat Amerika telah mengundi awal, menjadikan perlumbaan kali ini antara yang terhangat dalam tempoh beberapa tahun. Di seluruh negara, rakyat beratur panjang di pelbagai pusat undian, walaupun berdepan cuaca panas, hujan, dan salji.
Pilihan raya 2024 ini turut mencipta rekod sebagai yang termahal, dengan perbelanjaan mencapai AS$15.9 bilion (S$21 bilion), mengatasi kos AS$15.1 bilion pada 2020 dan lebih dua kali ganda perbelanjaan pada 2016, menurut organisasi OpenSecrets. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg