Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS jadi tumpuan dunia dengan penuh debaran

Keputusan tidak pengaruhi rakyat Amerika saja, bahkan 7.9 bilion penduduk dunia meski tidak berhak undi
Nov 5, 2024 | 3:40 PM
Penunjuk perasaan pro-Palestin berarak dalam perhimpunan ‘Tiada Undi untuk Genosid’ pada 2 November anjuran Gabungan Boston bagi Palestin menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat.
Penunjuk perasaan pro-Palestin berarak dalam perhimpunan ‘Tiada Undi untuk Genosid’ pada 2 November anjuran Gabungan Boston bagi Palestin menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat. - Foto AFP

WASHINGTON: Pemilihan Presiden Amerika Syarikat kali ini menarik perhatian dunia dengan tumpuan lebih mendalam berbanding sebelumnya.

Di tengah-tengah ketidakstabilan peringkat sejagat yang meliputi konflik berterusan di Timur Tengah dan Eropah, kebangkitan sayap kanan di Eropah, ketidaktentuan ekonomi, dan krisis iklim, ramai berasa siapa yang bakal menerajui Amerika akan mempunyai pengaruh kuat dalam menentukan hala tuju dunia.

Keputusan pilihan raya pada 5 November tidak akan mempengaruhi rakyat Amerika sahaja, bahkan 7.9 bilion orang di seluruh dunia yang tidak mempunyai hak mengundi dalam pilihan raya tersebut.

Mantan Setiausaha Politik Jabatan Negara Amerika Syarikat, Encik Thomas Shannon Jr., berkata:

“Ini adalah pilihan raya yang sangat penting bagi dunia, terutama ketika Amerika sendiri sedang menilai peranan kuasa mereka dalam arena global.”

Beliau menekankan bahawa kemenangan antara dua calon utama, mantan presiden Donald Trump dan Naib Presiden Kamala Harris, akan membawa perbezaan besar dalam dasar Amerika bagi dunia.

Kedua-duanya mewakili pandangan dan pendekatan sangat berbeza yang berdaya membentuk masa depan politik dunia sepanjang berdekad akan datang.

Dalam konteks sejagat, konflik di Timur Tengah dan krisis semakin genting di Eropah menjadikan peranan Amerika lebih genting.

Ramai pengamat politik antarabangsa melihat Encik Trump sebagai simbol ketidakstabilan yang boleh mengganggu hubungan diplomatik, sementara Cik Harris dianggap sebagai calon yang lebih berlandaskan diplomasi dan ramalan dalam tindakannya.

Profesor Dong Wang dari Pengajian Antarabangsa di Universiti Peking, menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai membawa “implikasi besar bagi hampir semua negara di dunia – baik daripada sudut positif mahupun negatif”.

China adalah pesaing terbesar Amerika dalam bidang ekonomi dan geopolitik.

Encik Trump, dengan dasar perlindungan dan pendiriannya yang keras terhadap Beijing, menambah ketidaktentuan dalam hubungan kedua-dua negara.

Profesor Wang menjelaskan: “Harris membawa kesinambungan yang lebih stabil, tetapi beliau bukanlah (Presiden Amerika kini, Encik Joe) Biden sepenuhnya.

“Di pihak lain, kemenangan Trump bermakna dunia harus bersedia menghadapi pendekatan yang lebih sukar diramal.”

Encik Trump telah memulakan perang perdagangan dengan China pada penggal pertamanya dan menjanjikan kenaikan tarif lebih tinggi sekiranya beliau menang sekali lagi.

Pendekatan itu mencetuskan kebimbangan bukan hanya dalam kalangan pesaing, malah sekutu yang berasa terancam dengan dasar ekonomi dan luar negeri yang berubah-ubah.

Konflik berlarutan antara Israel dengan Palestin turut mencerminkan kepentingan hubungan Washington dalam menyokong kestabilan di Timur Tengah.

Israel, misalnya, secara terbuka menyokong Encik Trump bagi dasarnya yang kuat terhadap keselamatan negara itu, termasuk perpindahan kedutaan Amerika ke Baitulmakdis dan pengiktirafan tuntutan Israel di Bukit Golan.

Di bawah pentadbiran Cik Harris, Amerika mungkin mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

Beliau sering menegaskan sokongannya kepada penyelesaian dua negara sebagai satu cara menghormati hak dan kesejahteraan Palestin.

Seorang pegawai kanan parti Fatah Palestin, Encik Sabri Saidam, menyuarakan harapan “presiden Amerika akan serius untuk menghentikan peperangan ini sambil menangani punca konflik yang mendalam”.

Beliau menekankan bahawa rakyat Palestin memerlukan tindakan sebenar, bukan sekadar retorik.

Mantan Menteri Kewangan Israel, Encik Meir Sheetrit, menyatakan hubungan Israel dengan Amerika tidak seharusnya terpengaruh oleh siapa yang menang.

“Trump dan Harris adalah dua personaliti yang sangat berbeza, tetapi hubungan kami dengan Amerika perlu kekal kukuh tanpa mengira siapa berada di Rumah Putih,” katanya.

Di Eropah Timur, peperangan antara Russia dengan Ukraine terus menguji komitmen Amerika terhadap sekutunya.

Penyokong Cik Harris menyatakan Encik Trump seorang “terasing” yang berbahaya dan berpotensi meninggalkan sekutu tradisional Amerika.

Sebaliknya, Cik Harris dipercayai lebih cenderung mempertahankan sokongan kepada Ukraine, meneruskan bantuan ketenteraan dan kewangan dalam usaha mengekang pengaruh Russia.

Cik Harris dan pasukannya, dalam menghadapi kritikan bahawa beliau kurang pengalaman dalam dasar luar, menegaskan lebih 350 “pemimpin keselamatan nasional” menyokong pencalonannya dan percaya beliau bersedia untuk berkhidmat.

“Harris mempunyai pengalaman keselamatan nasional lebih kukuh daripada presiden-presiden sebelum ini,” ujar satu kenyataan rasmi pasukan kempen beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg