WASHINGTON DC: Tentera Pengawal Nasional mula dikerahkan ke ibu negara Amerika Syarikat pada malam 12 Ogos, menandakan permulaan pelan Presiden Donald Trump untuk mengambil alih sementara jabatan polis di bandar itu dan menggunakan kuasa persekutuan bagi membanteras jenayah.
Sekitar belasan anggota bersama lima kenderaan tentera dilihat berhampiran Monumen Washington ketika matahari terbenam, dalam suasana yang bertentangan dengan pemandangan penduduk yang sedang beriadah.
Seorang pegawai tentera berkata lebih ramai anggota sedang berkumpul di DC Armory dan dijangka ditempatkan di sekitar monumen negara serta berhampiran kemudahan polis di Anacostia, tenggara Washington.
“Kami hanya menjalankan rondaan kehadiran bagi menunjukkan keterlibatan kami bersama rakyat,” kata Master Sarjan Cory Boroff sambil berdiri di sisi sebuah Humvee. “Daripada rakyat, untuk rakyat di D.C.,” tambahnya.
Sehari sebelumnya, Encik Trump menggambarkan Washington sebagai bandar penuh jenayah, satu gambaran yang dipertikaikan kerana kadar jenayah sebenarnya menurun dalam dua tahun terakhir.
Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata kempen ini “baru sahaja bermula”.
“Sepanjang bulan depan, pentadbiran Trump akan memburu dan menangkap setiap penjenayah ganas di daerah ini yang melanggar undang-undang dan membahayakan keselamatan awam,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa satu pasukan petugas persekutuan telah membuat 23 tangkapan pada malam 11 Ogos.
Ia adalah kali kedua pada musim panas ini, presiden Republikan telah mengerahkan tentera ke sebuah bandar yang ditadbir secara demokratik.
Perbicaraan Persekutuan akan bermula di San Francisco untuk menilai sama ada Encik Trump telah melanggar undang-undang negara dengan mengerahkan tentera Pengawal Kebangsaan ke Los Angeles pada Jun tanpa kelulusan Gabenor California, Gavin Newsom.
Encik Trump memberi isyarat bahawa bandar-bandar utama Amerika yang lain dengan kepimpinan Demokrat mungkin akan menerima nasib sama, termasuk Chicago, sebuah bandar yang telah lama dilanda jenayah keganasan, walaupun ia menurun dengan ketara pada separuh pertama 2025.
Pegawai bandar menegaskan anggota Pengawal Nasional tidak mempunyai kuasa membuat tangkapan.
Datuk Bandar Washington, Cik Muriel Bowser, dan Ketua Polis Cik Pamela A. Smith mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara Cik Pam Bondi pada 12 Ogos.
“Saya mahu memastikan tenaga persekutuan digunakan dengan baik untuk mengurangkan jenayah,” kata Cik Bowser.
Cik Bondi pula menyifatkan pertemuan itu sebagai “produktif” dan berjanji bekerjasama rapat dengan pihak bandar.
Namun, Cik Bowser kemudian menyifatkan langkah Encik Trump sebagai “dorongan autoritarian” dan “pencerobohan terhadap autonomi kami”.
“Kami bukan 700,000 samseng,” tegas Cik Bowser dalam siaran langsung di media sosial. “Bandar kami indah, bukan kotor seperti yang digambarkan.”
Encik Trump telah menggunakan undang-undang yang membolehkan presiden mengawal pasukan polis bandar selama 30 hari.
Sebanyak 800 anggota Pengawal Nasional dan 500 pegawai penguat kuasa persekutuan turut dikerah, termasuk untuk rondaan berjalan kaki.
Pentadbiran Trump juga mahu membersihkan kem penempatan gelandangan, menawarkan bantuan kesihatan mental dan rawatan ketagihan.
Mereka yang enggan boleh dikenakan denda atau penjara.
Semasa kempen pilihan raya Encik Trump, platform undang-undang dan ketenteraman awam yang disyorkannya sering berunsur perkauman.
Encik Trump memilih bandar majoriti Demokrat seperti Baltimore, Chicago dan Washington, kesemua bandar dengan jumlah penduduk kulit hitam yang besar, apabila bercakap mengenai jenayah yang berleluasa di kawasan bandar.
Peguam Negara Amerika di Washington, Cik Jeanine Pirro, menuntut perubahan undang-undang juvana, sambil berkata: “Kami akan pastikan mereka bertanggungjawab dan membawa perubahan.”
Ketua Eksekutif DC Justice Lab, Cik Clinique Chapman, mengecam tindakan ini sebagai “teater politik dan kawalan persekutuan”.
“Kami bimbang akibat tidak langsung, terutama kepada remaja lelaki kulit hitam yang paling berisiko berdepan pemeriksaan polis,” katanya.
Beliau memberi amaran kesan negatif ini “akan berlarutan bertahun-tahun selepas mereka meninggalkan bandar ini.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg