Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Protes bantah serbuan imigresen merebak ke lebih banyak bandar AS

Jun 11, 2025 | 12:38 PM
NYPD, imigresen, tangkapan
Pegawai Jabatan Polis New York (NYPD) membuat tangkapan ketika orang ramai mengadakan bantahan berhubung pengusiran dan tindakan Penguatkuasa Imigresen dan Kastam (ICE) di luar bangunan persekutuan pada 10 Jun di bandar New York. - Foto AFP

LOS ANGELES: Ketika semakin ramai ditangkap semasa serbuan imigresen di seluruh negara pada 10 Jun, bantahan yang melanda Los Angeles dilaporkan merebak ke lebih banyak bandar di Amerika Syarikat.

Penunjuk perasaan mengambil pendirian menentang penahanan dan penyingkiran pendatang tanpa izin yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Aktivis berhimpun di New York, Boston, Chicago, Dallas, Atlanta, San Francisco dan Washington, menyelar pendirian tegas pentadbiran Presiden Donald Trump terhadap pendatang asing.

Pemimpin Demokrat di California menyifatkan tindakannya yang agresif telah menyumbang kepada rasa takut dalam kalangan masyarakat.

Penunjuk perasaan berhimpun di luar mahkamah dan pejabat agensi imigresen tempatan dan dalam beberapa keadaan membawa kepada penahanan.

Penguatkuasa Imigresen dan Kastam (ICE) sedang melaksanakan arahan Presiden Trump untuk mencari pendatang yang tinggal di Amerika tanpa status sah.

Bantahan berlaku ekoran tindakan yang dilakukan oleh agensi itu di pelbagai kawasan kejiranan.

Kebanyakan perhimpunan kekal aman, tetapi segelintir telah meningkat kepada pertempuran dengan polis.

Bantahan di Los Angeles juga telah mencetuskan perselisihan antara pihak berkuasa persekutuan dengan pemimpin tempatan termasuk Gabenor California, Encik Gavin Newsom.

Encik Trump mengaktifkan 4,000 anggota Pengawal Kebangsaan dan ratusan askar marin meskipun dibantah oleh Encik Newsom dan Mayor Los Angeles, Cik Karen Bass.

Beberapa bantahan telah dilancarkan oleh ahli kesatuan sebagai tindak balas terhadap penahanan Encik David Huerta, presiden Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Antarabangsa California (Seiu) di Los Angeles pada 6 Jun.

Encik Huerta ditangkap kerana pendakwa raya persekutuan menyifatkan beliau telah menghalang ejen daripada mengakses tempat kerja pendatang tanpa dokumen yang sah.

Lebih 200 ahli kesatuan dan penyokong di Boston berkumpul di luar Dewan Bandar Raya pada 9 Jun.

Di Washington, beratus-ratus orang berkumpul di luar bangunan Jabatan Kehakiman dan Biro Siasatan Federal (FBI) dan berarak melalui bandar membantah serbuan ICE dan penangkapan Encik Huerta.

Di Dallas, seorang penunjuk perasaan ditangkap selepas polis mengisytiharkan perhimpunan itu menyalahi undang-undang, lapor stesen penyiaran CBS News Texas. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg