Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump mulakan penggal kedua dengan perintah eksekutif drastik

Jan 21, 2025 | 2:42 PM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memegang dokumen pada hari beliau menandatangani arahan eksekutif dan memberikan pengampunan kepada defendan yang terlibat dalam serangan Bangunan Capitol pada 6 Januari 2021. Upacara itu berlangsung di Pejabat Oval, Rumah Putih, bersempena Hari Pelantikan beliau pada 20 Januari
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memegang dokumen pada hari beliau menandatangani arahan eksekutif dan memberikan pengampunan kepada defendan yang terlibat dalam serangan Bangunan Capitol pada 6 Januari 2021. Upacara itu berlangsung di Pejabat Oval, Rumah Putih, bersempena Hari Pelantikan beliau pada 20 Januari - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden baru Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memulakan penggal keduanya dengan langkah pantas dan tegas menandatangani perintah eksekutif daripada iklim hingga ke imigresen, bersama-sama dengan pengampunan menyeluruh bagi kebanyakan mereka yang menyerbu Bangunan Capitol pada 6 Januari 2021.

Antara langkah utamanya ialah membatalkan hampir 80 tindakan eksekutif pentadbiran presiden terdahulu, Encik Joe Biden, di samping menarik Amerika keluar dari Perjanjian Iklim Paris dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Encik Trump turut mengarahkan penangguhan selama 75 hari untuk menguatkuasakan undang-undang yang akan mengharamkan TikTok.

Selain itu, beliau mengumumkan penubuhan Jabatan Kecekapan Pemerintah (DOGE) yang akan diketuai oleh usahawan bilionair Encik Elon Musk, dengan matlamat mengurangkan saiz pemerintah dan mempercepatkan pemotongan kos.

Beliau menandatangani perintah eksekutif sejurus mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-47 pada 20 Januari dengan berikrar mengembalikan Amerika ke “zaman keemasan baru”.

“Zaman keemasan Amerika bermula dari sekarang. Mulai hari ini, negara kita akan maju dan dihormati sekali lagi di seluruh dunia,” kata Encik Trump di Bangunan Capitol, di mana majlis angkat sumpah diadakan dalam bangunan buat pertama kali sejak beberapa dekad yang lalu akibat cuaca yang terlalu sejuk.

Dalam ucapannya, Encik Trump menampilkan dirinya sebagai pendamai, merujuk kepada perjanjian gencatan senjata di Gaza yang dimulakan semasa pentadbiran Encik Biden tetapi diselesaikan dengan usaha diplomatik beliau.

“Legasi paling membanggakan saya adalah menjadi seorang pendamai dan penyatu,” katanya.

Namun, retorik pendamaian ini diselangi dengan janji provokatif untuk “mengambil kembali” Terusan Panama, tindakan yang berpotensi mencetuskan konflik dengan Panama dan sekutu serantau.

Langkah-langkah Encik Trump pada hari pertamanya menunjukkan komitmennya untuk melaksanakan agenda ‘America First’ (Mendahulukan Amerika) dengan penuh ketegasan.

“Ini adalah era baru untuk Amerika. Kita akan bangkit lebih kuat dari sebelumnya,” kata Encik Trump sambil memberitahu bahawa beliau kembali sebagai Presiden “penuh keyakinan dan optimis” bahawa mereka berada di permulaan era baru yang mengujakan bagi menjayakan negara’.

Menurutnya lagi: “Arus perubahan sedang melanda negara ini.”

Beberapa bilionair teknologi Amerika termasuk Encik Musk, Encik Mark Zuckerberg dan Encik Jeff Bezos diberi tempat duduk utama ketika majlis angkat sumpah Encik Trump. Tetamu lain termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Encik Tim Cook dan Ketua Pegawai Eksekutif Google, Encik Sundar Pichai.

Pemimpin-pemimpin dunia turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Encik Trump atas kepulangannya ke Rumah Putih dengan komitmen untuk bekerjasama demi masa depan dunia yang lebih baik.

Presiden Palestin Encik Mahmud Abbas mengucapkan tahniah kepada Encik Trump dengan menyatakan kesediaan bekerjasama untuk perdamaian dengan Israel berdasarkan penyelesaian ‘dua negara’.

Selain menjanjikan pembaharuan, Encik Trump turut mengkritik apa yang beliau sifatkan sebagai “pengkhianatan” terhadap warga Amerika oleh sebuah “perusahaan radikal dan menerima rasuah” yang dikendalikan oleh mantan Presiden Biden.

“Tempoh kemunduran Amerika sudah berakhir,” kata Encik Trump. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg