WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memulakan penggal kedua pentadbirannya dengan menandatangani sejumlah arahan eksekutif pada hari pertamanya kembali ke Rumah Putih. Arahan ini meliputi pelbagai aspek termasuk imigresen, tenaga, ekonomi, dan kesihatan, mencerminkan agenda baharu yang bertujuan untuk “mengembalikan kehebatan Amerika.”
Berikut adalah beberapa arahan eksekutif utama yang ditandatangani oleh Encik Trump pada 20 Januari 2025:
Pengampunan Kepada Pesalah Rusuhan Capitol
Trump memulakan penggalnya dengan tindakan kontroversi, memberikan pengampunan kepada kira-kira 1,500 individu yang terlibat dalam rusuhan di Capitol AS pada 6 Januari 2021. Ini termasuk 14 anggota organisasi sayap kanan seperti Proud Boys dan Oath Keepers. “Kita memberi mereka peluang kedua kerana mereka adalah patriot,” kata Encik Trump. Beliau juga mengarahkan Peguam Negara untuk menggugurkan semua kes berkaitan rusuhan tersebut.
Dasar Imigresen Tegas
Encik Trump mengisytiharkan darurat di sempadan Amerika-Mexico, menyenaraikan kartel jenayah sebagai organisasi pengganas, dan mencadangkan penghentian automatik kewarganegaraan untuk anak-anak pendatang tanpa dokumen. Beliau turut menangguhkan program penempatan semula pelarian selama empat bulan bagi menilai keselamatan terhadap negara tertentu yang mungkin dikenakan larangan perjalanan.
Pembatalan Dasar Biden
Membatalkan 78 arahan eksekutif yang diluluskan oleh pentadbiran Biden. Arahan ini meliputi topik seperti bantuan Covid-19, industri tenaga bersih dan dasar kepelbagaian. “Hari ini kita menamatkan legasi dasar radikal yang telah merosakkan Amerika,” tegas Encik Trump. Beliau juga mengarahkan semua agensi pemerintah untuk menyimpan rekod berkaitan “penganiayaan politik” oleh pentadbiran terdahulu.
Penghentian Dasar Kepelbagaian
Encik Trump menarik balik arahan yang mempromosikan kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI) serta perlindungan untuk komuniti LGBTQ+ dan minoriti. Ini termasuk membatalkan 12 dasar yang menyokong keadilan kaum dan perlindungan hak individu transgender.
Dasar Tenaga Baharu - Tarik diri dari Perjanjian Iklim Paris
Mengisytiharkan darurat tenaga nasional dan memperkenalkan pelan agresif untuk meningkatkan pengeluaran minyak dan gas di Amerika Beliau juga menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris dan membatalkan larangan Encik Biden terhadap penerokaan minyak di kawasan Artik. “Kita akan memaksimumkan pengeluaran tenaga untuk memastikan keselamatan negara dan menurunkan harga pengguna,” kata Encik Trump.
Beliau turut menamatkan mandat kenderaan elektrik dan menghentikan penyewaan tanah untuk ladang angin.
Pembekuan Pengambilan dan Peraturan Pemerintah
Encik Trump mengarahkan pembekuan pengambilan pekerja persekutuan serta semua peraturan baharu. Selain itu, beliau mewajibkan kakitangan pemerintah kembali bekerja sepenuh masa di pejabat. Menurut Encik Trump, tindakan ini bertujuan untuk memastikan hanya individu yang berkeupayaan dan setia kepada rakyat diambil bekerja.
Penarikan Diri dari WHO
Mengeluarkan arahan untuk menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mendakwa agensi tersebut gagal mengendalikan krisis kesihatan global, termasuk pandemik Covid-19.
Peningkatan Kecekapan Pemerintah
Trump menubuhkan kumpulan penasihat baharu yang dinamakan Jabatan Kecekapan Pemerintah (DOGE) dengan matlamat mengurangkan saiz kerajaan persekutuan dan memansuhkan beberapa agensi. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Encik Elon Musk dilantik untuk mengetuai kumpulan ini, yang mencadangkan pemotongan 75 peratus daripada jawatan pemerintah.
Hak Kebebasan Bersuara
Encik Trump menandatangani arahan untuk memulihkan kebebasan bersuara dan menamatkan apa yang beliau dakwa sebagai “penapisan oleh pemerintah persekutuan.”
“Di bawah nama memerangi ‘maklumat salah’, kerajaan telah melanggar hak bersuara rakyat Amerika,” kata Encik Trump.
Penangguhan Larangan TikTok
Salah satu langkah kontroversi pada hari pertama Trump sebagai presiden ialah penangguhan larangan aplikasi TikTok selama 75 hari. Larangan tersebut pada asalnya dijadualkan berkuat kuasa pada 19 Januari. Arahan ini mengarahkan Peguam Negara untuk tidak menguatkuasakan undang-undang itu bagi memberi masa kepada pentadbiran Trump untuk menentukan langkah seterusnya terhadap TikTok.
Harga barangan dan Inflasi
Encik Trump mengarahkan agensi pemerintah untuk mengambil tindakan segera bagi mengurangkan kos hidup dan meningkatkan kesejahteraan pekerja Amerika. Langkah termasuk memansuhkan peraturan dan dasar iklim yang meningkatkan kos sara hidup.
Dengan rangkaian arahan eksekutif yang luas, Encik Trump berusaha menegaskan semula pengaruhnya dalam pentadbiran. Namun, tindakan beliau dijangka mencetuskan perdebatan hangat di kalangan rakyat dan komuniti antarabangsa. “Dasar ini akan memastikan kita mengutamakan Amerika dan rakyat,” kata Encik Trump. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg