Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump: Nilai moral peribadi satu-satunya had kuasa global AS

Kenyataan itu ketepikan peranan undang-undang antarabangsa, perjanjian pelbagai hala dan norma pasca-Perang Dunia Kedua
Jan 9, 2026 | 2:44 PM
Trump, peribadi, sendiri
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata beliau tidak berniat untuk mencederakan sesiapa dan tidak memerlukan undang-undang antarabangsa dalam membuat keputusan. Trump berkata hanya ‘nilai moral dirinya’ sendiri yang menghalang penggunaan kuasanya untuk arah tindakan ketenteraan di seluruh dunia. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 7 Januari mengeluarkan kenyataan paling terbuka setakat ini mengenai cara beliau melihat kuasa global Amerika, dengan menyatakan bahawa batasan sebenar terhadap tindakannya sebagai ketua angkatan tentera hanyalah “moralnya sendiri”.

Kenyataan itu sekali gus mengenepikan peranan undang-undang antarabangsa, perjanjian pelbagai hala dan norma pasca-Perang Dunia Kedua dalam mengawal penggunaan kuasa ketenteraan Washington.

Ia berlaku beberapa hari selepas beliau melancarkan operasi pantas menjatuhkan pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro dan mengeluarkan ancaman terhadap beberapa negara lain termasuk wilayah autonomi Greenland.

Dalam wawancara bersama The New York Times, Encik Trump ditanya sama ada wujud sebarang had terhadap kuasa globalnya. Jawapan beliau tegas dan berterus terang.

“Ya, ada satu perkara. Moral saya sendiri. Fikiran saya sendiri. Itulah satu-satunya perkara yang boleh menghalang saya,” katanya.

Encik Trump turut berkata beliau tidak memerlukan undang-undang antarabangsa untuk bertindak.

“Saya tidak memerlukan undang-undang antarabangsa. Saya tidak berniat untuk mencederakan orang,” katanya.

Namun apabila ditekan sama ada pentadbirannya perlu mematuhi undang-undang antarabangsa, beliau menjawab, “Saya patuh,” sambil menambah bahawa tafsiran undang-undang tersebut akhirnya bergantung kepada definisi yang digunakan oleh Amerika sendiri.

Amerika bukan ahli Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengadili penjenayah perang dan berulang kali menolak keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) iaitu mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Encik Trump sendiri pernah berdepan isu dengan undang-undang dalam negara, termasuk dua kali dicabar di mahkamah, berhadapan pelbagai tuduhan Persekutuan.

Antaranya termasuk bersekongkol untuk menukar keputusan pilihan raya 2020, yang akhirnya dibatalkan selepas beliau dipilih semula dan disabitkan kesalahan kerana menutup pembayaran wang bagi ‘menutup mulut’ seorang pelakon lucah.

Kenyataan itu memperlihatkan dengan jelas pandangan dunia Encik Trump yang meletakkan kekuatan negara sebagai penentu utama dalam hubungan antarabangsa, mengatasi perjanjian, konvensyen dan institusi global. Dalam kerangka pemikiran ini, kedaulatan undang-undang antarabangsa dilihat sebagai kekangan yang tidak perlu bagi sebuah kuasa besar.

Encik Trump mengakui terdapat beberapa had domestik, namun pada masa sama beliau terus melaksanakan pendekatan keras terhadap institusi yang tidak sehaluan dengannya, termasuk mengancam lawan politik dan menggunakan Pengawal Kebangsaan walaupun ditentang pihak berkuasa negeri. Beliau juga mengakui menggunakan reputasi sebagai pemimpin yang sukar dijangka dan pantas menggunakan kuasa ketenteraan sebagai alat paksaan diplomatik.

Semasa wawancara itu berlangsung, Encik Trump menerima panggilan telefon yang panjang daripada Presiden Colombia, Encik Gustavo Petro, yang dilaporkan bimbang susulan ancaman berulang Washington terhadap negaranya selepas operasi ketenteraan Amerika di Venezuela. “Kami berada dalam bahaya kerana ancaman itu nyata,” kata Encik Petro dalam wawancara berasingan sebelum panggilan tersebut, sambil menegaskan kebimbangannya terhadap pendekatan Encik Trump.

Panggilan telefon itu berlaku hanya beberapa jam selepas Encik Trump dan Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio mengumumkan pengunduran Amerika daripada puluhan organisasi antarabangsa, satu langkah yang mengukuhkan lagi penolakan Encik Trump terhadap multilateralisme.

Walaupun menggelarkan dirinya sebagai ‘presiden keamanan’ dan menyatakan hasrat memenangi Hadiah Nobel Keamanan, Encik Trump melancarkan beberapa operasi ketenteraan sepanjang penggal keduanya sebagai presiden.

Encik Trump mengarahkan serangan terhadap program nuklear Iran pada Jun lalu dan sepanjang setahun lalu turut menyelia serangan di Iraq, Nigeria, Somalia, Syria, Yaman dan yang paling terkini, Venezuela.

Sejak penangkapan Encik Maduro, Encik Trump semakin berani mengeluarkan ancaman terhadap beberapa negara lain termasuk Colombia dan Greenland.

Dalam wawancara itu, Encik Trump kelihatan semakin berani. Beliau memetik kejayaan serangan terhadap program nuklear Iran, operasi pantas yang menggulingkan kepimpinan Venezuela, serta hasratnya terhadap Greenland yang berada di bawah kawalan Denmark, sekutu dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Apabila ditanya sama ada memperoleh Greenland lebih penting daripada mengekalkan Nato, Encik Trump tidak menjawab secara langsung, tetapi mengakui “ia mungkin satu pilihan”.

Beliau menegaskan bahawa pakatan Atlantik Utara pada asasnya tidak bermakna tanpa Amerika Syarikat.

Encik Trump turut memandang remeh kemungkinan pemimpin China atau Russia menggunakan logik sama untuk mencabar Amerika. Namun, sepanjang wawancara, beliau menegaskan bahawa kuasa Amerika adalah faktor penentu, dan presiden-presiden sebelum ini terlalu berhati-hati dalam menggunakannya untuk kelebihan geopolitik atau ekonomi.

Hasrat Encik Trump untuk mengambil alih Greenland menjadi contoh jelas pandangannya. Beliau menegaskan bahawa hak Amerika di bawah perjanjian 1951 untuk mengaktifkan semula pangkalan tentera di pulau itu tidak mencukupi.

Encik Trump, seorang bilionair yang membina kekayaan sebagai pemaju hartanah, turut berkata sambil menggambarkan Greenland dari sudut pandang seorang pemaju hartanah: “Pemilikan sangat penting.” Menurutnya, pemilikan memberi kelebihan yang tidak dapat dicapai melalui pajakan atau perjanjian. “Saya rasa pemilikan memberikan unsur psikologi yang diperlukan untuk kejayaan,” katanya.
Pandangan ini mencerminkan kepercayaannya bahawa kedaulatan dan sempadan negara kurang penting berbanding peranan tunggal Amerika sebagai pelindung Barat.

Encik Trump mendakwa hanya beliau yang berjaya memaksa negara Nato meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada lima peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), sambil mengejek bekas presiden Encik Joe Biden dan Encik Barack Obama.

“Saya mahu mereka memperkemas diri,” katanya. “Russia tidak bimbang dengan negara lain, hanya dengan kita.” Beliau turut mendakwa bahawa tanpa kepimpinannya, Russia sudah lama menawan Ukraine, dan tidak menunjukkan kebimbangan terhadap perjanjian kawalan senjata nuklear yang bakal tamat.
“Jika ia tamat, ia tamat,” katanya, sambil mencadangkan perjanjian baru yang turut melibatkan China.

Encik Trump juga menolak kebimbangan bahawa tindakan Amerika di Venezuela akan dijadikan alasan oleh Encik Xi Jinping atau Encik Vladimir Putin untuk bertindak agresif di Taiwan atau Ukraine.

Menurutnya, ancaman dari Venezuela adalah “nyata” dan berbeza sama sekali. Beliau yakin China tidak akan berani bertindak terhadap Taiwan selagi beliau berada di Rumah Putih. “Beliau mungkin melakukannya selepas presiden lain, tetapi bukan dengan saya,” katanya.

Pada 8 Januari, Senat Amerika bersetuju membahaskan resolusi untuk mengehadkan kuasa perang presiden susulan kenyataan Encik Trump bahawa Amerika mungkin terlibat di Venezuela selama bertahun-tahun. Senator Rand Paul berkata kenyataan tersebut mendorong keperluan campur tangan Kongres. agaimanapun, rang undang-undang itu berkemungkinan besar akan diveto oleh Encik Trump.

Di peringkat domestik, Trump menegaskan hakim hanya boleh mengehadkan agendanya dalam keadaan tertentu. Jika tarif kecemasan ditolak mahkamah, beliau mencadangkan untuk menjenamakannya semula sebagai yuran pelesenan. Beliau juga mengulangi kesediaannya menggunakan Akta Pemberontakan dan mengerahkan tentera di dalam negara jika dirasakan perlu. “Setakat ini, saya belum merasakan keperluan itu,” katanya.

Encik Trump berkata beliau berdepan masalah berkaitan urus niaga perniagaan luar negara oleh keluarganya sejak kembali memegang jawatan.

“Saya melarang mereka menjalankan perniagaan ketika penggal pertama namun saya langsung tidak mendapat sebarang penghargaan. “Saya dapati tiada siapa yang peduli, dan saya sebenarnya dibenarkan berbuat demikian,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg