Trump perkukuh identiti: Sepanduk di jabatan kehakiman, lapangan terbang Florida guna namanya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump perkukuh identiti: Sepanduk di jabatan kehakiman, lapangan terbang Florida guna namanya

Feb 20, 2026 | 6:17 PM

Trump perkukuh identiti: Sepanduk di jabatan kehakiman, lapangan terbang Florida guna namanya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Sepanduk baharu memaparkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dipasang pada bangunan Jabatan Kehakiman di Washington, D.C., Amerika Syarikat, 19 Februari 2026.
Sepanduk baharu memaparkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dipasang pada bangunan Jabatan Kehakiman di Washington, D.C., Amerika Syarikat, 19 Februari 2026. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Sebuah kain rentang besar memaparkan imej Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dipasang di luar ibu pejabat Jabatan Kehakiman di Washington, dalam langkah terbaharu yang dilihat sebagai usaha memperkukuh identiti politik beliau pada institusi kerajaan.

Kain rentang berwarna biru itu dipasang di antara dua tiang bangunan dan membawa slogan “Make America Safe Again”.

Sejak kembali ke Rumah Putih pada 2025, Encik Trump dilihat semakin agresif menjenamakan semula institusi persekutuan dengan namanya sendiri serta melantik individu setia dalam pelbagai agensi pemerintah.

Menurut kenyataan jurucakap Jabatan Kehakiman yang dipetik media tempatan, agensi itu “berbangga meraikan kerja bersejarah menjadikan Amerika lebih selamat di bawah arahan Presiden Trump.”

Sebelum ini, sepanduk memaparkan imej Trump turut dipasang pada bangunan Jabatan Buruh, Jabatan Pertanian dan Institut Keamanan Amerika Syarikat.

Lembaga pengarah yang dilantik presiden juga pada Disember lalu meluluskan cadangan menambah nama Trump pada Pusat Seni Persembahan John F. Kennedy di Washington, selain bangunan Institut Keamanan Amerika Syarikat turut dinamakan sempena beliau.

Langkah tersebut mencetuskan perdebatan kerana pengkritik berpendapat ia mengaburkan sempadan antara kuasa politik dan kebebasan institusi pemerintah. Mereka juga mengaitkan tindakan itu dengan langkah pentadbiran Trump menggugurkan atau memecat pegawai yang terlibat dalam siasatan terhadapnya sebelum ini.

Pada 2023, pendakwa khas Encik Jack Smith mendakwa Trump atas kes menyimpan dokumen sulit secara tidak sah dan cubaan membatalkan keputusan pilihan raya 2020. Encik Trump menafikan kesalahan dan menyifatkannya bermotif politik.

Selepas kembali menjadi presiden pada Januari 2025, beliau mengampunkan perusuh yang menyerbu Capitol pada 6 Januari 2021, manakala EncikSmith kemudian menggugurkan kes berkenaan berdasarkan dasar Jabatan Kehakiman yang tidak mendakwa presiden sedang memegang jawatan.

Dalam perkembangan berasingan, sebuah lapangan terbang di Florida bakal dinamakan sempena Trump selepas badan perundangan negeri meluluskan rang undang undang pada 19 Februari.

Lapangan Terbang Antarabangsa Palm Beach dicadang dinamakan semula sebagai “President Donald J. Trump International Airport”, tertakluk kepada kelulusan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

Gabenor Florida Ron DeSantis dijangka menandatangani undang undang itu. Lapangan terbang berkenaan terletak hanya beberapa minit dari kediaman Trump di Mar a Lago.

Langkah itu menjadikan ia institusi terbaharu dinamakan sempena presiden berkenaan, yang sebelum ini dikenali sebagai tokoh hartanah yang sering meletakkan namanya pada bangunan miliknya di seluruh dunia.

Selain lapangan terbang Florida, lembaga yang dipilih Trump pada 2025 turut menamakan semula pusat seni Kennedy sebagai “Trump Kennedy Center”.

Media Amerika turut melaporkan beliau pernah mencadangkan menamakan semula Penn Station di New York dan Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles di Washington, namun cadangan itu ditolak.

Jabatan Perbendaharaan juga mengesahkan draf duit syiling peringatan AS$1 memaparkan imej Trump sedang dipertimbangkan walaupun undang undang melarang wajah presiden yang masih hidup dipaparkan pada mata wang.

Penyokong Trump melihat langkah itu sebagai simbol kepimpinan kuat serta usaha memulihkan identiti nasional.

Namun pengkritik berpendapat tindakan tersebut berisiko mempolitikkan institusi awam.
Seorang pengulas dasar awam berkata, “Apabila nama dan imej presiden terlalu dominan dalam institusi pemerintah, ia menimbulkan persoalan tentang kebebasan badan tersebut.” Buat masa ini, pentadbiran Trump tidak menunjukkan tanda akan memperlahankan usaha tersebut.

Dengan sepanduk baharu di Jabatan Kehakiman dan lapangan terbang Florida bakal dinamakan sempena beliau, presiden Amerika itu terus meninggalkan jejak peribadi yang besar pada landskap simbolik negara - satu pendekatan yang jarang berlaku dalam sejarah moden Amerika Syarikat. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg