WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dijangka mengeluarkan larangan perjalanan baru seawal minggu hadapan, yang mungkin menghalang individu dari Afghanistan dan Pakistan memasuki Amerika.
Keputusan itu berdasarkan kajian semula pemerintah mengenai risiko keselamatan dan proses saringan negara tersebut, kata tiga sumber yang enggan dikenali.
Sumber tersebut juga menyatakan bahawa negara-negara lain mungkin turut disertakan dalam senarai larangan itu, namun tidak mengetahui negara mana yang terlibat.
Langkah itu mengingatkan kembali kepada larangan perjalanan yang dikenakan oleh Encik Trump semasa penggal pertamanya terhadap pengembara dari tujuh negara majoriti Muslim, satu dasar yang melalui beberapa perubahan sebelum disahkan oleh Mahkamah Agung pada 2018.
Mantan Presiden Amerika, Encik Joe Biden, anggota parti Demokrat yang menggantikan Encik Trump, membatalkan larangan tersebut pada 2021, dan menyebutnya sebagai “noda pada hati nurani negara kita”.
Larangan baru itu mungkin akan menjejas puluhan ribu rakyat Afghanistan yang telah diluluskan untuk penempatan semula di Amerika sebagai pelarian atau pemegang Visa Imigran Khas (SIV).
Mereka berisiko menghadapi pembalasan Taleban kerana bekerja untuk Amerika semasa perang 20 tahun di negara mereka.
Encik Trump telah mengeluarkan perintah eksekutif pada 20 Januari yang memerlukan penguatkuasaan proses saringan keselamatan yang lebih ketat terhadap mana-mana warga asing yang ingin memasuki Amerika bagi mengesan ancaman keselamatan negara.
Perintah itu mengarahkan beberapa ahli Kabinet agar menyerahkan senarai negara yang perlu dikenakan sekatan perjalanan sebahagian atau sepenuhnya sebelum 12 Mac.
Ini kerana maklumat saringan dan pemeriksaan dari negara tersebut dianggap “tidak mencukupi.”
Menurut tiga sumber tersebut dan satu sumber lain yang juga enggan dikenali, Afghanistan akan dimasukkan dalam senarai negara yang dicadangkan untuk larangan perjalanan sepenuhnya.
Pakistan juga dicadangkan untuk dimasukkan dalam senarai tersebut.
Jabatan Negara, Kehakiman, Keselamatan Dalam Negeri, serta Pejabat Pengarah Perisikan Negara, yang pemimpinnya mengawasi inisiatif ini, belum memberi sebarang respons terhadap permintaan untuk mengulas mengenainya.
Salah satu sumber menegaskan bahawa rakyat Afghanistan yang telah diluluskan untuk penempatan semula di Amerika sebagai pelarian atau pemegang visa khas telah melalui proses saringan yang sangat ketat, menjadikan mereka “lebih diperiksa berbanding mana-mana penduduk lain” di dunia.
Pejabat Jabatan Negara yang mengawasi penempatan semula mereka sedang memohon pengecualian untuk pemegang Visa Imigran Khas daripada larangan perjalanan ini, tetapi “tidak dijangka permohonan itu akan diluluskan,” kata sumber tersebut.
Pejabat tersebut, iaitu Penyelaras Usaha Penempatan Semula Afghanistan, telah diminta menyediakan rancangan penutupan operasi mereka menjelang April, lapor agensi berita, Reuters, pada Februari.
Taleban, yang mengambil alih Kabul selepas pengunduran tentera Amerika pada Ogos 2021 selepas dua dekad perang, kini berdepan dengan pemberontakan oleh cabang serantau kumpulan ISIS.
Pakistan juga sedang berhadapan dengan keganasan militan.
Arahan Encik Trump itu adalah sebahagian daripada tindakan tegas terhadap imigresen yang dilancarkannya pada awal penggal kedua beliau.
Beliau telah mengumumkan rancangan itu dalam ucapannya pada Oktober 2023, dengan berjanji menyekat kemasukan individu dari Gaza, Libya, Somalia, Syria, Yaman, dan “mana-mana tempat lain yang mengancam keselamatan Amerika”.
Ketua sebuah gabungan kumpulan yang menyelaraskan pemindahan dan penempatan semula rakyat Afghanistan dengan pemerintah, #AfghanEvac, Encik Shawn VanDiver, menyeru mereka yang memegang visa Amerika yang sah agar melakukan perjalanan secepat mungkin.
“Walaupun tiada pengumuman rasmi telah dibuat, beberapa sumber dalam pemerintah Amerika mencadangkan bahawa sekatan perjalanan baru mungkin akan dilaksanakan dalam minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Larangan itu “mungkin akan memberi kesan besar kepada pemegang visa Afghanistan yang sedang menunggu untuk dipindahkan” ke Amerika, tambahnya.
Terdapat sekitar 200,000 rakyat Afghanistan yang telah diluluskan untuk penempatan semula di Amerika atau sedang menunggu keputusan permohonan pelarian dan Visa Imigran Khas. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg