WASHINGTON: Hanya selepas tiga hari Presiden Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat, perubahan besar dalam dasar imigresen yang diarahkan beliau telah mula dilaksanakan.
Pada 22 Januari, sekitar 1,500 anggota tentera telah dikerahkan ke sempadan selatan dan beberapa pegawai kanan, termasuk ketua mahkamah imigresen negara, telah dipecat.
Tentera Amerika akan menambah kontinjen kira-kira 2,200 kakitangan aktif yang sudah berada di sempadan menjalankan kebanyakan tugas logistik dan birokrasi.
Di Mexico, kira-kira 30,000 pendatang yang dijadualkan menghadiri janji temu suaka mendapati ia telah dibatalkan.
Dalam skala global, lebih 10,400 pelarian yang telah diluluskan untuk memasuki Amerika kini dinafikan hak mereka, dengan tiket penerbangan mereka menjadi tidak bernilai.
“Kami membatalkan semua perjalanan pelarian ke Amerika yang telah dijadualkan sebelum ini, dan tiada tempahan baru akan dibuat,” kata Cik Kathryn Anderson, pegawai kanan Jabatan Negara, menerusi e-mel lewat malam 21 Januari lalu.
Perubahan dasar imigresen ini adalah sebahagian daripada rangkaian perintah eksekutif, memorandum presiden dan arahan dasar yang diperkenalkan Encik Trump.
Langkah-langkah ini dilihat lebih meluas berbanding agenda imigresen yang beliau perjuangkan semasa penggal pertamanya di Rumah Putih.
Namun, banyak arahan ini dijangka menghadapi halangan, termasuk cabaran politik, undang-undang atau praktikal.
Beberapa dasar mungkin ditangguhkan oleh keputusan hakim, sementara yang lain memerlukan kajian lanjut dan dana besar daripada Kongres.
Sekurang-kurangnya tiga saman telah difailkan di mahkamah persekutuan untuk menghentikan rancangan Trump untuk mentafsir semula Pindaan Ke-14 yang menjamin kewarganegaraan kelahiran.
Larangan perjalanan baru Trump juga memerlukan kajian selama 60 hari untuk menentukan negara mana yang akan terjejas.
Encik Trump turut memerlukan dana berbilion dolar untuk ruang tahanan dan ejen tambahan bagi melaksanakan “pengusiran besar-besaran” seperti yang dijanjikan.
Arahan oleh Jabatan Kehakiman untuk menyiasat pegawai di “bandar perlindungan” yang menghalang agenda imigresen pentadbiran dijangka mencetuskan konflik dalam tempoh berminggu-minggu atau berbulan-bulan akan datang.
“Langkah ini akan memberi kesan mendalam terhadap kehidupan imigran, sama ada mereka mempunyai dokumen sah atau tidak,” kata seorang pakar imigresen.
“Ia menjadikan mereka sentiasa terancam dengan risiko penangkapan, sabitan jenayah, dan pengusiran.”
Trump menganggap tindakan ini perlu untuk menangani apa yang beliau gelar sebagai “pencerobohan di sempadan selatan.”
Dengan dakwaan itu, beliau menuntut kuasa luas untuk menyekat kemasukan ke negara itu, melaksanakan pengusiran besar-besaran, melarang perjalanan dan mengehadkan kewarganegaraan kelahiran.
Seorang peguam dari Majlis Imigresen Amerika berkata: “Perubahan dasar ini bukan sahaja mengancam hak suaka tetapi juga memisahkan keluarga dan mengancam nilai-nilai asas negara ini.”
Dalam satu kenyataan, Encik Trump mempertahankan tindakannya dengan berkat:
“Rakyat Amerika memilih saya untuk memastikan keselamatan sempadan kita dan membersihkan negara ini daripada ancaman luar.”
Di peringkat global, keputusan ini turut mendapat reaksi.
Pelarian yang telah dijadualkan untuk memasuki Amerika kini terpaksa mencari alternatif lain.
“Pelaksanaan dasar ini sangat mengecewakan dan menimbulkan ketidakpastian terhadap masa depan kami,” kata seorang pelarian dari Syria yang ditemubual di Turkey.
Selain daripada dasar imigresen, Encik Trump turut memberi amaran akan mengenakan tarif baru terhadap Russia jika negara itu tidak bersetuju untuk menamatkan perang di Ukraine.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social, beliau menegaskan bahawa jika tiada perjanjian dibuat, beliau akan mengenakan cukai, tarif dan sekatan yang lebih tinggi terhadap barangan Russia.
“Saya akan buat keputusan besar ini jika Presiden Putin terus berdegil. Ekonomi mereka sedang runtuh, dan ini peluang terakhir mereka,” kata Encik Trump.
Walaupun tindakan keras ini bertujuan untuk menghentikan perang, ia juga menambah tekanan kepada negara-negara yang dianggap membantu Russia dalam konflik ini, termasuk China, Korea Utara dan Iran. – Agensi berita .
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg