RIYADH: Menjelang dua minggu pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, diwawancara oleh saluran televisyen Al Arabiya yang dimiliki oleh Arab Saudi dan memuji Putera Mahkota Arab Saudi, mengatakan bahawa beliau adalah seorang yang “berpandangan jauh” dan seorang “rakan”.
Sementara itu, pesaing Encik Trump dalam pilihan raya, Naib Presiden, Cik Kamala Harris, tidak memberi sebarang wawancara kepada media antarabangsa berbahasa Arab sepanjang kempen pendek beliau.
Perbezaan itu tidak terlepas daripada perhatian pengamat di negara Teluk yang kaya dengan sumber daya.
Semakin jelas bahawa hubungan rapat antara Encik Trump dengan pemimpin Teluk mempengaruhi pandangan mereka terhadap pilihan raya itu.
“Sudah tentu, kami pernah bekerjasama dengan Presiden Trump sebelum ini, jadi kami mengenali beliau dan tahu bagaimana untuk bekerjasama dengannya dengan sangat baik,” kata Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan, dalam wawancara dengan CNN semasa forum pelaburan tahunan kerajaan Arab Saudi.
Pada zaman pemerintahan Encik Trump yang lalu, beliau telah menjalin hubungan peribadi yang kukuh dengan pemimpin Teluk, memberikan sokongan pertahanan yang kuat untuk negara itu, di samping mengelakkan kritikan terhadap rekod hak asasi manusia negara tersebut.
Sebelum ini, menjelang pilihan raya kali Amerika pula, negara Teluk terus mencari sokongan daripada pentadbiran Encik Trump yang baru.
Ia khusus untuk mendapatkan bantuan menamatkan peperangan yang memusnahkan di Timur Tengah, memberikan jaminan keselamatan yang kukuh, serta menarik pelaburan Amerika ketika ia berusaha mempelbagaikan ekonomi yang terlalu bergantung pada tenaga.
Wawancara Encik Trump pada 20 Oktober dengan Al Arabiya menonjolkan hubungan rapat yang telah dibina oleh Encik Trump dengan pemimpin Teluk sepanjang bertahun-tahun.
“Saya sangat menghormati Mohammed, yang telah melakukannya dengan begitu hebat,” kata Encik Trump dalam wawancara tersebut, merujuk kepada Putera Mahkota Mohammed Salman, pemimpin de facto Arab Saudi.
“Maksud saya, beliau benar-benar seorang yang berpandangan jauh.”
Putera Mahkota Saudi itu adalah antara pemimpin asing pertama yang menghubungi Encik Trump selepas kemenangan beliau dalam pilihan raya dengan menyatakan bahawa kerajaan Arab Saudi berharap dapat “memperdalam hubungan sejarah dan strategik” dengan Amerika.
Selain daripada hubungan keselamatan yang rapat dan ikatan perniagaan antara Encik Trump dengan negara Teluk, ramai rakyat biasa di rantau itu, terutama golongan muda, lebih cenderung kepada nilai sosial konservatif yang diterapkan oleh Parti Republikan.
Sebaliknya, Presiden Joe Biden, yang dikait rapat dengan Cik Harris, mempunyai sejarah yang lebih tegang dengan pemimpin Teluk.
Pada 2019, semasa beliau berkempen untuk jawatan presiden, Encik Biden menyebut kerajaan Arab Saudi sebagai “paria” – orang atau golongan yang lebih rendah martabat kasta dalam masyarakat Hindu – berikutan pembunuhan dan pemotongan mayat wartawan pembangkang Encik Jamal Khashoggi.
Hubungan tegang itu diteruskan apabila Encik Biden mengadakan pertemuan yang ‘janggal’ dengan Putera Mahkota Mohammed di Arab Saudi.
Beliau berusaha memeterai perjanjian bagi meningkatkan pengeluaran minyak untuk menurunkan harga gas di Amerika.
Negara-negara Teluk juga berasa kecewa dengan sokongan kuat yang diberikan oleh pentadbiran Encik Biden kepada Israel dalam peperangan semasa di Timur Tengah, satu sentimen yang membangkitkan kebimbangan di rantau tersebut mengenai potensi Cik Harris.
Pemimpin Parti Demokrat sering menggunakan pendekatan yang lebih kritikal terhadap masalah hak asasi manusia di Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Strategi itu dilihat oleh banyak pihak di Teluk sebagai memandang rendah dan boleh mengancam keselamatan negara mereka.
Ia juga berisiko menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
Semasa pemerintahan Encik Trump, beliau menghindari kritikan terang-terangan mengenai hak asasi manusia.
Ini membuka jalan bagi pengukuhan hubungan Saudi-Amerika, yang dicirikan oleh sokongan pertahanan yang kukuh serta sikap lebih agresif Amerika terhadap Iran, pesaing serantau utama Arab Saudi.
Encik Trump turut menjalin hubungan peribadi dengan Putera Mahkota Mohammed dan Presiden Amiriah Arab Bersatu, Sheikh Mohammed bin Zayed, sementara pertemuan diplomatik dengan Presiden Biden dan Cik Harris lebih bersifat formal.
Encik Trump memilih Riyadh, ibu kota Saudi, untuk lawatan luar negara pertamanya pada 2017 sebagai Presiden, memberi isyarat betapa pentingnya beliau melihat hubungan itu.
Dalam tahun-tahun selepas itu, beliau tetap berdiri teguh di belakang Putera Mahkota Mohammed walaupun Agensi Risik Pusat (CIA) mengesyaki beliau menjadi salah seorang yang mengarahkan pembunuhan Encik Jamal Khashoggi pada 2018.
Namun, tidak semuanya lancar.
Beberapa pegawai Teluk mengeluh kerana Encik Trump tidak memberi tindak balas lebih tegas terhadap serangan yang dilakukan oleh Iran terhadap ladang minyak Saudi pada 2019 yang mengganggu separuh pengeluaran minyak negara itu.
Menjelang akhir penggal pertama Encik Trump pada 2020, pentadbirannya memeterai satu pencapaian bersejarah di Timur Tengah, iaitu Perjanjian Abraham.
Perjanjian itu membuka hubungan diplomatik antara Israel dengan dua negara Teluk, Amiriah Arab Bersatu dan Bahrain.
Kedua-dua negara Arab itu tidak menggunakan pengaruh mereka untuk mendesak pembentukan sebuah negara Palestin, satu tuntutan yang sebelum ini menjadi keutamaan negara-negara Teluk.
Namun, langkah Encik Trump ke penggal kedua ini bakal membawa cabaran lebih besar dalam agenda keselamatan dan diplomatiknya di Timur Tengah.
Pentadbiran Encik Trump yang baru mungkin akan cuba menghidupkan kembali pelan mewujudkan perjanjian damai Saudi-Israel.
Ini sebagai pertukaran untuk perjanjian pertahanan yang lebih kukuh dengan Amerika dan sokongan Amerika terhadap program nuklear Saudi untuk kegunaan awam.
Ketiga-tiga negara tersebut telah hampir mencapai kesepakatan sebelum peperangan Israel dengan Hamas di Gaza pada 7 Oktober 2023 yang menghentikan momentum tersebut.
Kini, Arab Saudi menuntut pembentukan negara Palestin terlebih dahulu, satu pendirian yang lebih tegas berbanding sebelum perang.
Pada waktu yang sama, negara Teluk menganggap Encik Trump sebagai rakan perniagaan yang tidak berubah, meskipun beliau kalah dalam pilihan raya 2020.
Keluarga Trump terlibat dalam pelbagai urusan perniagaan di rantau itu, termasuk projek di Dubai dan Arab Saudi.
Menantu lelaki Encik Trump, Encik Jared Kushner, berjaya mendapatkan pelaburan bernilai AS$2 bilion ($2.66 bilion) daripada dana kerajaan Saudi untuk firma ekuiti swasta beliau enam bulan selepas Encik Trump meninggalkan Rumah Putih.
Bagi Encik Trump, hubungan rapat dengan Teluk adalah sesuatu yang sangat peribadi.
\Dalam wawancara dengan Bloomberg pada Julai, beliau dengan yakin berkata bahawa beliau telah menemui formula untuk hubungan harmoni dengan Arab Saudi – dengan gabungan keperibadiannya dan jaminan keselamatan Amerika.
“Dia suka saya, saya suka dia,” kata Encik Trump merujuk kepada Putera Mahkota Saudi.
“Mereka akan sentiasa memerlukan perlindungan dan saya akan sentiasa melindungi mereka. Saya mempunyai hubungan yang hebat dengannya.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg