Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Denmark gesa AS henti ancam Greenland, Trump tegaskan wilayah itu ‘amat diperlukan’

Jan 5, 2026 | 11:53 AM
greenland, donald trump
Cik Katie Miller, Isteri kepada Timbalan Ketua Staf Rumah Putih Stephen Miller, memuat naik satu gambar di media sosial yang memaparkan Greenland dicat dengan warna bendera Amerika Syarikat, disertakan kapsyen satu perkataan, “SOON” atau “tidak lama lagi.” - Foto  XK ATIEMILLER

COPENHAGEN: Denmark menggesa Amerika Syarikat supaya menghentikan sebarang bentuk “ancaman” terhadap Greenland selepas Presiden Donald Trump sekali lagi menegaskan Washington “amat memerlukan” wilayah autonomi itu, susulan tindakan ketenteraan Amerika di Venezuela yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sekutu Eropah.

Perdana Menteri Denmark, Cik Mette Frederiksen, menyifatkan kenyataan dan isyarat politik dari Washington sebagai tidak wajar, sambil menegaskan Greenland bukan wilayah yang boleh dipersoal kedaulatannya.

“Saya perlu menyatakan perkara ini dengan sangat jelas kepada Amerika: Adalah sesuatu yang benar-benar tidak masuk akal untuk mengatakan Amerika patut mengambil alih kawalan ke atas Greenland,” kata Cik Frederiksen, dalam satu kenyataan pada lewat 4 Januari.

Beliau turut menggesa Washington agar menghentikan “ancaman terhadap sekutu sejarahnya”.

Kenyataan tegas Copenhagen muncul sehari selepas Amerika melancarkan operasi ketenteraan di Venezuela dan menahan Presidennya, Encik Nicolas Maduro, yang kini dilaporkan ditahan di New York.

Tindakan itu mengejutkan sekutu Eropah dan mencetuskan kebimbangan baharu bahawa Greenland mungkin menjadi sasaran seterusnya dalam agenda geopolitik Encik Trump.

Encik Trump sebelum ini berulang kali menyuarakan hasrat menjadikan Greenland sebahagian daripada Amerika, dengan alasan kepentingan keselamatan negara.

Kebimbangan itu semakin memuncak apabila Encik Trump, dalam wawancara telefon dengan majalah, The Atlantic, menegaskan keperluan mutlak Amerika terhadap wilayah berkenaan.

“Namun kami memang memerlukan Greenland, tanpa ragu. Kami memerlukannya untuk pertahanan,” Encik Trump dipetik sebagai berkata.

Apabila ditanya sama ada operasi ketenteraan di Venezuela memberi petunjuk kepada pendekatan Amerika terhadap Greenland, Encik Trump menjawab secara samar.

“Itu terpulang kepada orang lain untuk menilainya. Saya benar-benar tidak tahu,” katanya, lapor majalah itu.

Greenland, wilayah autonomi Denmark yang terletak di Artik, mempunyai kepentingan strategik yang besar dari sudut ketenteraan dan geopolitik.

Selain kedudukannya yang penting untuk kawalan Artik, pulau itu juga kaya dengan mineral kritikal yang digunakan dalam industri teknologi tinggi, menjadikannya rebutan kuasa besar.

Ketegangan diplomatik semakin memuncak apabila Cik Katie Miller, isteri kepada Timbalan Ketua Staf Rumah Putih Stephen Miller, memuat naik imej Greenland dalam warna bendera Amerika Syarikat di wadah X, disertai satu perkataan: “SOON” atau “tidak lama lagi”.

Encik Stephen Miller, suami kepada Cik Katie Miller, dikenali sebagai antara arkitek utama dasar Encik Trump, khususnya dalam hal ehwal imigresen dan agenda domestik yang tegar.

Peranan pengaruhnya dalam pentadbiran menjadikan sebarang isyarat politik daripada lingkaran terdekat Encik Trump dipandang serius oleh sekutu Amerika.

Perdana Menteri Greenland, Encik Jens-Frederik Nielsen, menyifatkan hantaran itu sebagai “tidak hormat”.

“Hubungan antara negara dan rakyat dibina atas dasar saling menghormati dan undang-undang antarabangsa, bukannya melalui isyarat simbolik yang mengabaikan status serta hak kami,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Namun beliau turut menenangkan rakyat Greenland, sambil menegaskan bahawa masa depan wilayah itu tidak ditentukan oleh kenyataan politik atau hantaran media sosial.

“Tiada sebab untuk panik atau bimbang. Negara kami bukan untuk dijual, dan masa depan kami tidak ditentukan oleh siaran di media sosial,” katanya.

Duta Denmark ke Amerika, Encik Jesper Moeller Soerensen, turut memberi reaksi dengan menegaskan jangkaan Copenhagen terhadap penghormatan penuh ke atas kedaulatan wilayah Denmark.

Dalam satu hantaran, beliau menulis bahawa Denmark menjangkakan “penghormatan sepenuhnya terhadap integriti wilayah” negaranya.

Encik Soerensen turut mengingatkan bahawa Denmark, sebagai anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), telah meningkatkan keupayaan keselamatan di Artik dan bekerjasama rapat dengan Amerika dalam hal tersebut.

“Kami adalah sekutu rapat dan seharusnya terus bekerjasama sebagai sekutu,” katanya.

Langkah yang dilihat mendekati agenda Encik Trump, termasuk pelantikan seorang utusan khas Amerika ke Greenland, telah mencetuskan kemarahan bukan sahaja di Copenhagen bahkan juga dalam kalangan pemimpin Kesatuan Eropah.

Greenland, yang mempunyai kira-kira 57,000 penduduk, menikmati pemerintahan sendiri yang meluas sejak 1979, walaupun urusan pertahanan dan dasar luar masih di bawah Denmark.

Walaupun sebahagian besar penduduk Greenland menyokong kemerdekaan penuh dari Denmark pada masa hadapan, tinjauan pendapat menunjukkan penolakan hampir menyeluruh terhadap idea untuk menjadi sebahagian dari Amerika. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg