Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump selaku Presiden AS: Zaman keemasan AS kini bermula

Jan 21, 2025 | 9:01 AM
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menandatangani beberapa arahan eksekutif di atas pentas semasa acara pelantikan presiden di Capital One Arena, Washington, DC, pada 20 Januari 2025. 
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menandatangani beberapa arahan eksekutif di atas pentas semasa acara pelantikan presiden di Capital One Arena, Washington, DC, pada 20 Januari 2025.  - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Encik Donald Trump kembali memegang tampuk pemerintahan Amerika Syarikat dengan segera menandatangani beberapa arahan eksekutif yang mencerminkan agenda baharu beliau: mengehadkan imigresen, meningkatkan pengeluaran bahan api fosil, serta menarik diri daripada perjanjian iklim antarabangsa.

“Saya diselamatkan Tuhan untuk menjadikan Amerika hebat semula,” ujar Encik Trump semasa ucapannya. Beliau juga menyatakan komitmennya untuk melaksanakan lebih banyak dasar baharu sebaik tiba di Rumah Putih.

Di Capitol Rotunda, tempat yang menjadi simbol demokrasi Amerika Syarikat, Encik Trump, 78 tahun, mengangkat sumpah jawatan, menjadikannya presiden tertua dalam sejarah yang memegang jawatan tersebut. Beliau juga mencatat sejarah sebagai bekas presiden pertama yang kembali ke Rumah Putih selepas tewas dalam pilihan raya.

Encik Trump yang mengangkat sumpah sebagai Presiden ke-47 berikrar untuk ‘meletakkan Amerika di tempat pertama’ semasa menandakan permulaan babak baharu untuk negara itu pada 20 Januari.

“Zaman keemasan Amerika kini bermula,” kata Encik Trump dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden Amerika ke-47.

Sejurus selepas upacara angkat sumpah, pasukan Trump segera mengambil tindakan. Pihak berkuasa imigresen menggantung program yang membenarkan migran memasuki Amerika melalui janji temu dalam talian, manakala Jabatan Negara meminta lebih 12 diplomat kanan meletak jawatan.

Encik Trump juga membekukan pengambilan pekerja pemerintah persekutuan dan mengarahkan kakitangan untuk kembali bekerja di pejabat sepenuh masa.

Dalam ucapan sulungnya, Trump menyentuh beberapa isu sensitif. “Kita mempunyai pemerintah yang lebih mementingkan sempadan negara asing berbanding sempadan kita sendiri, katanya sambil mengkritik dasar pendahulunya, Encik Joe Biden.

Namun, nada partisan beliau menimbulkan reaksi bercampur. Ahli Republikan memberi tepukan gemuruh, manakala ahli Demokrat hanya duduk diam.

Encik Trump menghadapi cabaran besar untuk merealisasikan janjinya, termasuk “Zaman Keemasan Amerika” yang diuar-uarkan. Walaupun disokong majoriti Republikan di Kongres, beliau perlu berdepan tentangan daripada dunia luar dan tindakan undang-undang domestik. Antara dasar utama yang diumumkan ialah pengisytiharan darurat di sempadan selatan, penghantaran tentera ke sana, dan pemulihan polisi lama yang memaksa migran menunggu di Mexico untuk proses mahkamah.

Selain itu, Encik Trump menyatakan hasrat untuk menukar nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika dan mengambil alih semula Terusan Panama, langkah yang mencetuskan kebimbangan sekutu antarabangsa.

Acara angkat sumpah Trump turut menyaksikan beberapa tokoh penting, termasuk bekas presiden Barack Obama, George W. Bush, dan Bill Clinton. Bekas setiausaha negara Hillary Clinton juga hadir bersama suaminya. Bagaimanapun, Michelle Obama memilih untuk tidak menghadiri acara tersebut.

Di luar, suasana agak tegang. Polis memisahkan kumpulan penyokong Trump, termasuk Proud Boys, daripada penunjuk perasaan yang mengecam dasar-dasar baharunya. “Jalan ini milik kami!” laung penyokong Trump.

Dalam perkembangan lain, Trump menangguhkan pelaksanaan tarif terhadap Canada, China, dan Mexico, tindakan yang menyebabkan pasaran saham global melonjak.

Encik Trump turut mengumumkan bahawa kerajaan akan menghentikan semua program kepelbagaian dan hanya mengiktiraf jantina yang ditentukan semasa lahir. Langkah ini mendapat sokongan kuat daripada Republikan, namun dikritik hebat oleh Demokrat dan aktivis hak asasi manusia.

“Kepimpinan Trump akan membawa kita ke arah baharu yang lebih kukuh,” kata seorang penyokong, manakala seorang penunjuk perasaan berkata, “Dasar-dasar ini hanya akan memecah-belahkan rakyat.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg