Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump janji buka tirai baru jelang majlis angkat sumpah Presiden

Jan 20, 2025 | 1:39 PM
Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik, Encik Donald Trump, berucap semasa satu perhimpunan sehari sebelum beliau dijadualkan dilantik semula sebagai Presiden untuk penggal kedua, di Washington,  pada 19 Januari.
Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik, Encik Donald Trump, berucap semasa satu perhimpunan sehari sebelum beliau dijadualkan dilantik semula sebagai Presiden untuk penggal kedua, di Washington, pada 19 Januari. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyampaikan ucapan dalam perhimpunan dengan gaya kempen yang bermegah-megah dan berjanji akan menyelesaikan setiap krisis yang dihadapi negara itu dan merancang untuk mengubah dasar imigresen serta perdagangan secara agresif.

“Esok (20 Januari) pada tengah hari, tirai ditutup pada empat tahun tempoh kemerosotan Amerika yang panjang, dan kami memulakan hari baru dengan kekuatan, kemakmuran, maruah dan kebanggaan Amerika,” kata Encik Trump dalam perhimpunan di Capital One Arena di Washington pada malam 19 Januari.

Dalam perhimpunan meraikan kemenangan pilihan rayanya itu, beliau berikrar untuk memajukan agendanya di sebalik apa yang disebutnya sebagai “politik yang gagal dan korup” di ibu negara.

Beliau akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika ke-47 pada 20 Januari.

Dalam ucapan berbaur dengan keterlaluan dan kepalsuan yang terang-terangan, Encik Trump mencerca pendatang haram, bercakap tentang negeri-negeri yang dimenanginya dalam pilihan raya pada November 2024 dan memburukkan Presiden Encik Joe Biden.

Dalam perhimpunan ‘Make America Great Again Victory Rally’ (Perhimpunan Kemenangan Jadikan Amerika Hebat Semula) itu Encik Trump menyatakan Encik Biden telah memimpin “pentadbiran yang gagal. Kita tidak akan menerimanya lagi”.

Perhimpunan itu memecah tradisi bagi bakal Presiden, yang biasanya berusaha menyimpan komen untuk ucapan perasmian rasmi selepas mengangkat sumpah jawatan dengan disaksikan penonton seluruh dunia.

Dalam salah satu tindakannya yang paling dinanti-nantikan, Encik Trump dengan tegas membayangkan bahawa beliau akan mengampuni ramai orang yang disabitkan dengan kesalahan menyerang bangunan Capitol beberapa tahun lalu.

Beliau disertai di atas pentas oleh Village People yang membawakan secara langsung lagu “Y.M.C.A.,” yang telah menjadi sebahagian daripada kumpulan tidak rasmi kempen Encik Trump sebelum ini.

“Langkah keselamatan sempadan yang akan saya gariskan dalam ucapan perasmian saya esok (20 Januari) akan menjadi usaha yang paling agresif dan menyeluruh untuk memulihkan sempadan kita yang pernah dilihat dunia. Kita akan menghentikan pendatang haram untuk selama-lamanya,” tambahnya.

Encik Trump telah memanggil Elon Musk, ketua eksekutif Tesla, untuk bercakap tentang usaha pentabirannya bagi mengurangkan perbelanjaan dan peraturan pemerintah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg