Trump selar sekutu enggan kerjasama sedang konflik Timur Tengah memuncak
Trump selar sekutu enggan kerjasama sedang konflik Timur Tengah memuncak
WASHINGTON/TEL AVIV/DUBAI: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyelar sekutu Barat kerana tidak mengenang budi.
Ini selepas mereka menolak permintaan beliau untuk menghantar kapal perang bagi mengiringi kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz, sedang Iran terus menyasarkan kemudahan minyak di Teluk.
Terkini, Israel mendakwa serangan udaranya pada 16 Mac telah membunuh ketua keselamatan negara Iran bersama-sama dengan komander pasukan separa tentera Basij Tehran.
Perang Amerika-Israel ke atas Iran masuk minggu ketiga tanpa tanda akan berakhir.
Selat Hormuz, laluan 20 peratus aliran minyak dan gas asli cecair dunia, sebahagian besarnya masih tertutup, meningkatkan harga bahan tenaga dan menimbulkan kebimbangan inflasi.
Beberapa rakan kongsi Amerika, termasuk Jerman, Sepanyol dan Italy, berkata mereka tidak ada rancangan segera menghantar kapal perang bagi membantu membuka semula Selat Hormuz yang telah disekat dengan berkesan oleh Iran, menggunakan dron dan periuk api.
“Kami kekurangan mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) atau Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang diperlukan di bawah Undang-undang Asas,” kata Canselor Jerman, Encik Friedrich Merz, di Berlin, sambil menambah bahawa Washington dan Israel tidak berunding dengan Jerman sebelum melancarkan perang terhadap Iran.
Encik Trump berkata banyak negara bersedia membantu, tetapi beliau kecewa dengan pendirian beberapa sekutu lama.
“Ada yang sangat bersemangat dan ada yang tidak,” katanya, tanpa memberikan butiran khusus
“Ada negara yang telah kami bantu bertahun-tahun. Kami telah melindungi mereka daripada ancaman luar yang dahsyat, tetapi mereka tidak begitu bersemangat. Semangat itu penting bagi saya,” tegas Encik Trump.
Tentera Israel juga menyerang “infrastruktur rejim Iran” di seluruh Teheran dan Hezbollah di Beirut pada 17 Mac, sehari selepas pengumuman bahawa ia telah merangka rancangan terperinci untuk berperang dengan Iran bagi sekurang-kurangnya tiga minggu lagi.
Dalam satu kenyataan pada 17 Mac, Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, berkata ketua keselamatan negara Iran, Encik Ali Larijani, telah “dihapuskan” lewat pada 16 Mac, bersama dengan komander pasukan separa tentera Basij Tehran, Encik Gholamreza Soleiman.
Iran pula, melalui serangan semalaman ke atas Israel, menegaskan kapasiti Teheran untuk melancarkan serangan jarak jauh.
Ia turut menyasarkan Amiriah Arab Bersatu (UAE), menyebabkan penutupan sementara ruang udara dan serangan dron ke atas kemudahan minyak di Fujairah, pelabuhan utama eksport minyak UAE, untuk hari kedua berturut-turut.
Pada 16 Mac, Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai ditutup seketika; operasi memuatkan minyak di Fujairah terhenti, dan operasi loji gas Shah di Abu Dhabi digantung ekoran serangan dron.
Iran mendakwa serangan Amerika pada hujung minggu ke atas kemudahan tentera di Pulau Kharg, hab eksport minyak utama Iran, dilancarkan dari UAE.
Iran memberi amaran akan menyasarkan kemudahan minyak dan gas mana-mana negara yang menjadi pangkalan serangan Amerika ke atas pulau itu.
Iran juga mengumumkan akan menyasarkan kemudahan perindustrian Amerika di Timur Tengah dan menggesa penduduk segera meninggalkan kawasan tersebut.
Encik Trump pada awal 16 Mac berkata serangan balas Iran terhadap negara jiran seperti Qatar, Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Kuwait adalah mengejutkan.
Beliau telah diberi amaran bahawa menyerang Iran boleh mencetuskan tindakan balas terhadap sekutunya di rantau Teluk, kata seorang pegawai dan dua sumber yang arif dengan laporan perisikan Amerika. – Reuters.
“
“Ada negara yang telah kami bantu bertahun-tahun. Kami telah melindungi mereka daripada ancaman luar yang dahsyat, tetapi mereka tidak begitu bersemangat. Semangat itu penting bagi saya.”
