Trump beri amaran serang Pulau Kharg lagi, desak sekutu kawal laluan minyak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump beri amaran serang Pulau Kharg lagi, desak sekutu kawal laluan minyak

Mar 15, 2026 | 6:54 PM

Trump beri amaran serang Pulau Kharg lagi, desak sekutu kawal laluan minyak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Sebuah kapal tangki berlayar di Teluk berhampiran Selat Hormuz, di tengah konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran, pada 11 Mac.
Sebuah kapal tangki berlayar di Teluk berhampiran Selat Hormuz, di tengah konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran, pada 11 Mac. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengancam akan melancarkan serangan lanjut ke atas hab eksport minyak Pulau Kharg di Iran dan menggesa sekutu mengerahkan kapal perang bagi mengawal Selat Hormuz sedang Tehran memperhebat tindak balasnya.

Perang antara Amerika dengan Israel terhadap Iran memasuki minggu ketiga dan Encik Trump berkata serangan Amerika telah “memusnahkan sepenuhnya” sebahagian besar pulau berkenaan dan memberi amaran akan serangan lanjut yang bakal dilakukan.

“Kami mungkin menyerangnya beberapa kali lagi,” kata beliau dalam temu ramah bersama NBC News pada 14 Mac.

Kenyataan tersebut menandakan ketegangan yang semakin meningkat daripada Encik Trump, yang sebelum ini menyatakan Amerika hanya menyasarkan tapak ketenteraan di Kharg.

Tindakan itu juga dilihat menjejas usaha diplomatik bagi meredakan konflik yang semakin memuncak.

Pentadbiran Encik Trump dilaporkan telah mengetepikan percubaan sekutu di Timur Tengah untuk memulakan rundingan, menurut tiga sumber kepada Reuters.

Seluruh rantau Teluk masih terperangkap dalam konflik yang menggoncang ekonomi dunia susulan serangan Amerika dan Israel ke atas Iran.

Perang itu juga telah merebak ke Lebanon, di mana kementerian kesihatan melaporkan bahawa serangan Israel telah mengorbankan ratusan rakyat, apabila Israel berdepan dengan Hezbollah yang disokong Tehran.

Harga minyak melonjak 40 peratus apabila Iran menutup laluan perkapalan strategik, Selat Hormuz, dan menyerang kemudahan tenaga di Teluk.

Kedutaan Amerika di Iraq telah diserang menggunakan dron, menurut sumber keselamatan kepada AFP, menjadikannya sasaran kali kedua dalam perang ini.

Manakala konsulat UAE di Kurdistan Iraq turut diserang buat kali kedua dalam tempoh seminggu.

Di Kuwait, lapangan terbang antarabangsa menjadi sasaran dengan beberapa dron “yang menyasarkan sistem radar” lapangan terbang itu, namun tiada kecederaan dilaporkan, menurut pihak berkuasa penerbangan awam Kuwait.

Sebelum ini, Encik Trump pernah berikrar bahawa Tentera Laut Amerika akan memulakan pengiringan kapal tangki melalui Selat Hormuz dengan “segera”, dan pada 14 Mac beliau menggesa negara lain supaya menghantar sokongan.

“Banyak negara… akan menghantar kapal perang, bersama dengan Amerika, untuk memastikan selat itu terbuka dan selamat,” tulis Encik Trump di Truth Social, sambil berkata China, Perancis, Jepun, Korea Selatan dan Britain “diharapkan” akan turut terlibat.

Beliau kemudian mengulangi seruan itu di media sosial, dengan berkata walaupun Amerika “telah menewaskan” Iran, negara yang menerima bekalan minyak melalui selat itu “harus menjaga laluan tersebut, dan kami akan membantu”.

Pasukan Amerika menyerang Pulau Kharg pada 13 Mac, lokasi di mana hampir semua minyak Iran dieksport, dengan Encik Trump berkata mereka telah “memusnahkan setiap sasaran KETENTERAAN”, tetapi tidak mengganggu kemudahan tenaga pulau tersebut.

Iran sebelum ini mengancam bahawa syarikat minyak dan tenaga yang berkaitan dengan Amerika akan “bertukar menjadi abu” sekiranya diserang.

Menteri Luar, Encik Abbas Araghchi, kemudian mengulang amaran itu dan mendakwa Amerika telah menembak roket ke arah Kharg dari pangkalan mereka di UAE.

Encik Araghchi seterusnya menyeru negara jiran untuk mengusir tentera Amerika, dengan berkata perlindungan Amerika “menjemput masalah, bukannya menghalangnya”.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, berkata perang itu sedang memasuki “fasa penentuan”, walaupun beliau memberi amaran ia akan “berlanjutan selagi perlu”.

Meskipun berdepan kuasa senjata Amerika dan Israel lebih unggul, Iran kelihatan bertekad untuk terus berjuang.

Letupan di Baitulmakdis kedengaran oleh wartawan AFP selepas tentera mengesan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran pada 14 Mac.

Iran kemudian mengumumkan ia telah melancarkan satu lagi gelombang peluru berpandu, sementara tentera Israel berkata mereka telah mengesan pelancaran tersebut.

Qatar memindahkan penduduk daripada kawasan pusat bandar dan memintas dua peluru berpandu, dengan letupan turut kedengaran oleh wartawan AFP.

Iran terus menerima serangan hebat, dengan media tempatan melaporkan serangan di beberapa wilayah sepanjang 14 Mac, termasuk satu serangan di tapak perindustrian di Isfahan yang mengorbankan 15 orang, menurut agensi berita Fars. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg