Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump tangguh ancaman tarif terhadap Mexico, Canada

Tarif ke atas China akan diteruskan seperti yang dirancang
Feb 4, 2025 | 10:52 AM
Cik Nora Cullen membeli-belah di sebuah pasar raya pada 3 Februari di Toronto, Ontario sedang penduduk Canada kini berdepan dengan kemungkinan kenaikan harga barangan runcit susulan perang dagang yang dimulakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Cik Nora Cullen membeli-belah di sebuah pasar raya pada 3 Februari di Toronto, Ontario sedang penduduk Canada kini berdepan dengan kemungkinan kenaikan harga barangan runcit susulan perang dagang yang dimulakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menggantung ancaman tarif yang tinggi terhadap Mexico dan Canada pada 3 Februari setelah kedua-dua negara itu bersetuju memperkenalkan langkah penguatkuasaan sempadan dan jenayah sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Washington.

Perjanjian itu memberi ruang selama 30 hari untuk menangguhkan tarif sebanyak 25 peratus yang sepatutnya berkuat kuasa pada 4 Februari.

Dalam panggilan telefon dengan Perdana Menteri Canada, Encik Justin Trudeau dan Presiden Mexico, Cik Claudia Sheinbaum, Encik Trump mengemukakan tuntutan untuk memperketatkan penguatkuasaan sempadan di kedua-dua negara jiran tersebut.

Canada telah bersetuju menempatkan teknologi dan anggota pasukan tambahan di sepanjang sempadannya dengan Amerika serta melancarkan usaha bersama untuk memerangi jenayah terancang, penyeludupan fentanyl – sejenis bahan pelega kesakitan sintetik – dan pengubahan wang haram.

Mexico pula bersetuju memperkuatkan sempadan utara negara itu dengan menempatkan 10,000 anggota Pengawal Kebangsaan bagi mengekang aliran penghijrahan haram dan penyeludupan dadah.

Cik Sheinbaum turut menambah bahawa Amerika berjanji menghalang perdagangan senjata berkuasa tinggi yang menuju ke Mexico.

Presiden Trump menyatakan melalui media sosial bahawa keputusan tersebut adalah langkah positif.

“Sebagai Presiden, adalah tanggungjawab saya untuk memastikan keselamatan semua rakyat Amerika dan saya melakukan perkara itu.

“Saya sangat berpuas hati dengan hasil awal ini,” ujar Encik Trump dalam satu kenyataan.

Buat masa ini, perjanjian itu mengelakkan permulaan perang dagang yang diramalkan akan memberi kesan negatif kepada ekonomi ketiga-tiga negara dan menyebabkan kenaikan harga bagi pengguna.

Namun, perjanjian dengan Mexico dan Canada tidak mempengaruhi keputusan Encik Trump mengenai tarif terhadap China.

China, yang kini berhadapan dengan tarif sejagat sebanyak 10 peratus, dijangka akan dikenakan tarif tersebut mulai 12.01 pagi pada 4 Februari.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Rumah Putih mengesahkan bahawa Encik Trump tidak akan berunding dengan Presiden China, Encik Xi Jinping, sehingga akhir minggu ini.

Encik Trump memberi amaran bahawa beliau mungkin akan meningkatkan tarif terhadap Beijing jika negara itu tidak berhenti menghantar fentanyl ke Amerika Syarikat.

“Saya berharap China akan berhenti menghantar fentanyl kepada kami dan jika tidak, tarif akan dinaikkan lebih tinggi,” kata Encik Trump.

China pula menegaskan bahawa fentanyl adalah masalah Amerika dan berjanji untuk mencabar tarif tersebut di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sambil membuka pintu untuk rundingan.

Berita mengenai perjanjian ini memberi kesan positif terhadap pasaran kewangan.

Dolar Canada meningkat semula selepas jatuh ke paras terendah dalam lebih dua dekad.

Indeks hadapan saham Amerika juga melonjak selepas mengalami kerugian pada hari sebelumnya.

Kelompok industri yang bimbang mengenai gangguan dalam rantaian bekalan menyambut baik keputusan untuk menangguhkan tarif.

Ketua sebuah kumpulan perdagangan pengeluar kanola Canada, Encik Chris Davison, berkata:

“Ini adalah berita yang sangat menggalakkan. Kami mempunyai industri yang sangat bersepadu yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.”

Encik Trump juga menyatakan pada 2 Februari bahawa Kesatuan Eropah (EU) mungkin menjadi sasaran tarif seterusnya, namun beliau tidak menyatakan bila tindakan tersebut akan dilaksanakan.

Dalam satu sidang puncak tidak rasmi pada 3 Februari, pemimpin EU menyatakan bahawa Eropah bersedia bertindak balas jika Amerika mengenakan tarif, tetapi pada masa yang sama menyeru agar perundingan dan rasional diutamakan.

Sementara itu, Encik Trump menyatakan bahawa Britain yang keluar daripada EU pada 2020 mungkin akan dikecualikan daripada tarif tersebut.

Encik Trump mengakui bahawa tarif yang asal mungkin memberi kesan jangka pendek terhadap pengguna di Amerika, namun beliau bertegas langkah tersebut diperlukan bagi membendung imigresen dan penyeludupan dadah serta merangsang industri domestik.

Tarif yang dirancang pada mulanya akan melibatkan hampir separuh daripada semua import Amerika dan memerlukan negara itu meningkatkan pengeluaran perkilangan mereka lebih daripada dua kali ganda untuk menampung kekurangan tersebut – satu tugas yang dianggap tidak realistik dalam masa terdekat.

Para penganalisis juga memberi amaran tarif tersebut mungkin mendorong Canada dan Mexico ke dalam kemelesetan dan mencetuskan fenomena ‘stagflasi’ – inflasi yang tinggi, pertumbuhan yang lemah dan pengangguran yang tinggi di Amerika. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg