WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, mengumumkan untuk mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas import dari China bermula 1 Februari, langkah yang dijangka meningkatkan ketegangan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia.
Menurut Encik Trump, tindakan ini adalah respons terhadap peranan China dalam krisis fentanyl yang melanda Amerika.
“China menghantar fentanyl (dadah jenis opioid sintetik) ke Canada dan Mexico, dari mana ia kemudiannya diseludup masuk ke Amerika Syarikat,” kata Encik Trump dalam satu sidang media di Rumah Putih pada 21 Januari.
Sebelum ini, pada 20 Januari, Encik Trump turut mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas import dari Canada dan Mexico.
“Ini adalah hukuman kepada mereka kerana membenarkan fentanyl dan pendatang tanpa izin melintasi sempadan Amerika,” katanya.
Encik Trump menjelaskan bahawa tarif baru ini akan dikenakan di samping cukai sedia ada ke atas barangan import bernilai lebih daripada AS$300 bilion ($406 bilion) dari China yang telah diperkenalkan semasa penggal pertama beliau.
Walaupun Encik Joe Biden meneruskan tarif ini, beliau turut menambah cukai ke atas kenderaan elektrik, sel solar, semikonduktor, dan bateri canggih dari China.
Dalam perkembangan lain, Trump menyatakan keterbukaan beliau terhadap cadangan Elon Musk, pemilik platform X, untuk membeli aplikasi TikTok.
“Saya akan menerimanya jika beliau mahu membeli,” ujar Encik Trump ketika ditanya pemberita mengenai isu tersebut.
TikTok kini menghadapi tekanan undang-undang Amerika yang memaksa pemiliknya, ByteDance, untuk menjual aplikasi itu atau berdepan pengharaman.
Pada hari pertama penggal keduanya,Encik Trump menandatangani beberapa perintah eksekutif untuk menamatkan program kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI).
Program ini bertujuan meningkatkan peluang bagi wanita, minoriti etnik, komuniti LGBTQ+, dan kumpulan lain yang selama ini kurang diwakili.
“Program ini tidak berkesan dan kita perlu fokus kepada kecekapan, bukan kuota,” kata Encik Trump.
Beliau turut mengarahkan kajian semula pengambilan pekerja dalam sektor penerbangan dan meletakkan pegawai pemerintah yang terlibat dengan program DEI dalam cuti berbayar.
Bagaimanapun, tindakan ini mendapat kritikan hebat daripada pejuang hak sivil yang menegaskan program seperti ini penting untuk menangani ketidakadilan struktur dan sejarah.
Dalam masa yang sama, Encik Trump juga mengumumkan kemungkinan sekatan tambahan terhadap Russia jika Presidennya, Vladimir Putin, enggan berunding untuk menamatkan perang di Ukraine.
“Kami sedang berbincang dengan Presiden Zelensky dan akan bercakap dengan Presiden Putin tidak lama lagi,” jelasnya.
Encik Trump turut menggesa Kesatuan Eropah untuk lebih banyak membantu Ukraine.
“Mereka perlu memikul lebih banyak tanggungjawab,” katanya.
Encik Trump mendedahkan bahawa beliau telah mendesak Presiden China Xi Jinping, untuk campur tangan dalam konflik Ukraine.
“Beliau mempunyai kuasa besar, seperti kita. Saya berkata kepadanya, ‘anda patut selesaikan masalah ini.’ Tetapi setakat ini, tidak banyak yang dilakukan,” jelas Encik Trump.
Beberapa jam selepas kembali memegang jawatan, Encik Trump mengumumkan pemecatan empat pegawai kanan pemerintah yang dilantik oleh Presiden sebelumnya, Encik Biden.
“Hari pertama kami di Rumah Putih belum berakhir! Pejabat Kakitangan Presiden saya sedang giat mengenal pasti dan menyingkirkan lebih 1,000 pegawai lantikan presiden daripada pentadbiran terdahulu yang tidak sehaluan dengan visi kami untuk ‘Menjadikan Amerika Hebat Kembali’,” kata Encik Trump di platform media sosial Truth Social lewat 20 Januari.
Beliau mengumumkan pemecatan itu dengan menegaskan “lebih ramai lagi” akan menyusul.
Manakala gabungan negeri yang berpihak kepada Demokrat mengambil tindakan undang-undang pada 21 Januari bertujuan menghalang rancangan Encik Trump menamatkan hak kerakyatan berdasarkan kelahiran di Amerika.
Tuntutan yang difailkan oleh 18 negeri, termasuk California dan New York, dibuat sehari selepas Encik Trump memegang jawatan dan dengan cepat mengumumkan perintah eksekutif yang diharap akan membentuk semula imigresen Amerika.
Beliau juga mengumumkan inisiatif pelaburan kecerdasan buatan (AI) besar-besaran bernilai AS$500 bilion dengan sokongan OpenAI, SoftBank dan Oracle bagi memperkukuh infrastruktur AI serta mewujudkan peluang pekerjaan di negara itu.
Inisiatif yang dinamakan Stargate itu akan menyaksikan ketiga-tiga gergasi teknologi berkenaan membentuk usaha sama untuk membangunkan infrastruktur AI, dengan Encik Trump menyifatkannya sebagai pelaburan yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam inovasi Amerika.
“Kami bermula dengan pelaburan besar yang masuk ke negara kami pada tahap yang belum pernah disaksikan sebelum ini,” kata Encik Trump di Rumah Putih pada hari pertamanya dalam penggal kedua. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg