Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump tangguh serangan baharu ke atas Iran susulan permintaan negara Teluk
Sekatan Selat Hormuz kekal, usaha diplomatik tamatkan konflik tetap berjalan
Trump tangguh serangan baharu ke atas Iran susulan permintaan negara Teluk
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memutuskan untuk menangguhkan serangan ketenteraan baharu terhadap Iran buat sementara waktu.
Ini selepas beberapa negara Timur Tengah merayu agar Washington tidak meningkatkan lagi konflik yang sudah berlarutan lebih lapan bulan.
Keputusan itu dibuat selepas Encik Trump mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, di Rumah Putih pada 9 November, ketika usaha diplomatik untuk menamatkan perang semakin giat dijalankan.
Bagaimanapun, Encik Trump menegaskan bahawa Amerika akan terus mengekalkan sekatan laut di Selat Hormuz bagi memberi tekanan kepada Teheran sehingga persetujuan damai dapat dicapai.
Washington masih bersedia melancarkan serangan sekiranya keadaan memerlukan, tetapi tidak melihat keperluan untuk mengambil tindakan ketenteraan tambahan buat masa ini.
“Pada peringkat ini, tindakan ketenteraan nampaknya tidak begitu diperlukan.
“Namun, kami sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk bertindak atas apa juga sebab sekalipun,” kata beliau kepada wartawan di Rumah Putih.
Menurut Encik Trump, keputusan menangguhkan serangan dibuat atas permintaan beberapa negara jiran Iran, termasuk Qatar, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Kuwait.
Negara berkenaan bimbang serangan baharu Amerika akan mencetuskan tindak balas Iran dan memburukkan lagi keadaan keselamatan di rantau Teluk.
Encik Trump berkata negara terbabit lebih memilih supaya keadaan semasa dikekalkan, termasuk meneruskan sekatan laut Amerika dan Operasi Iron Gate, berbanding melancarkan serangan besar-besaran.
“Saya tidak memberi sebarang jaminan. Tetapi jika kami perlu menyerang semula, kami sudah bersedia sepenuhnya,” kata Encik Trump.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa konflik yang bermula pada 28 Februari lalu, apabila Amerika bersama Israel melancarkan serangan terhadap Iran, mungkin dapat ditamatkan tidak lama lagi.
“Kami melihat perkembangan positif ke arah menamatkan konflik ini. Saya fikir ia akan berakhir tidak lama lagi,” katanya.
Pertemuan antara Encik Trump dengan Sheikh Mohammed dianggap penting kerana Qatar menjadi antara pengantara utama yang menyampaikan mesej antara Washington dengan Teheran sejak perang bermula.
Sheikh Mohammed sebelum ini mengunjungi Teheran bagi mengadakan perbincangan dengan pemimpin Iran.
Beliau menyifatkan pertemuannya dengan Encik Trump dan Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, sebagai positif.
“Saya berterima kasih atas perbincangan positif untuk mencapai persetujuan dan membawa keamanan ke rantau ini,” katanya menerusi wadah X.
Encik Trump turut menyifatkan pertemuannya dengan pemimpin Qatar itu sebagai sangat baik, dengan perbincangan tertumpu kepada perkembangan konflik Iran.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa usaha menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear kekal sebagai matlamat utama Washington yang tidak boleh dikompromi.
Di sebalik perkembangan diplomatik itu, perbezaan besar masih wujud antara tuntutan kedua-dua pihak.
Iran mahu Amerika menamatkan sekatan terhadap pelabuhannya, menarik balik sebahagian sekatan ekonomi dan menghentikan pengeboman.
Sebagai balasan, Teheran menawarkan untuk menghentikan sekatannya terhadap Selat Hormuz, sebelum rundingan lanjut mengenai program nuklear dan sekatan lain diteruskan.
Namun, Washington berulang kali menolak cadangan tersebut.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, pada 8 November menyifatkan syarat Iran sebagai keterlaluan, tidak munasabah dan sukar dilaksanakan.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, pula mempertahankan cadangan Teheran sebagai tawaran paling munasabah yang dikemukakan setakat ini.
Ketua Majlis Keselamatan Iran, Encik Mohsen Rezaei, turut menggesa Washington menghentikan dakwaan mengenai rundingan yang disifatkannya sebagai tidak benar.
Beliau menegaskan bahawa Amerika perlu menerima tujuh syarat yang berulang kali dikemukakan Iran.
Usaha menamatkan perang semakin mendapat perhatian selepas Parti Republikan mengalami kekalahan dalam pilihan raya pertengahan penggal Amerika pada 3 November.
Beberapa pemimpin kanan Republikan, termasuk Encik Vance, mengaitkan kekalahan parti itu dengan perang Iran yang semakin tidak mendapat sokongan rakyat Amerika.
Walaupun tekanan politik semakin meningkat, Encik Rubio berkata beliau tidak menjangkakan persetujuan diplomatik dapat dicapai dalam masa terdekat.
Penasihat diplomatik Presiden UAE, Encik Anwar Gargash, turut memberikan penilaian serupa dengan menyifatkan penyelesaian politik menyeluruh antara Washington dengan Teheran sebagai sesuatu yang sukar dicapai.
“Kita perlu bersedia menghadapi tempoh ketidaktentuan yang panjang, apabila penyelesaian muktamad mahupun kestabilan serantau tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang terjamin,” katanya.
Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, pula berkata beliau sudah memberitahu Encik Trump bahawa Ankara tidak mahu melihat konflik itu kembali memuncak.
Beliau menegaskan bahawa perbezaan antara Amerika dengan Iran masih boleh diselesaikan melalui dialog dan diplomasi.
Walaupun Washington memberi isyarat mahu mengelakkan peningkatan konflik, serangan ketenteraan masih berlaku.
Media Iran melaporkan Amerika melancarkan serangan ke atas Pulau Qeshm pada malam 8 November, namun serangan itu tidak menjejas kemudahan penting atau perkhidmatan asas.
Washington belum mengulas laporan tersebut.
Sumber kanan Iran memberitahu agensi berita, Reuters, bahawa serangan Amerika menyasarkan sistem radar pertahanan udara, peralatan pandu arah kapal, pangkalan pelancar peluru berpandu serta kemudahan pemasangan periuk api laut.
Pada masa sama, serangan terhadap kapal tangki minyak di Teluk dan Selat Hormuz meningkat dengan ketara sejak Oktober.
Televisyen pemerintah Iran melaporkan bahawa 11 kapal tangki tidak lagi dapat beroperasi sepanjang 10 hari lalu.
Keadaan itu meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan minyak dunia.
Namun, Encik Trump menegaskan bahawa Amerika tidak bercadang melancarkan serangan besar selagi keadaan tidak memerlukannya.
Beliau berkata Washington sudah menempatkan sebuah lagi kapal pengangkut pesawat yang dilengkapi peralatan ketenteraan moden sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kami mempunyai kelengkapan ketenteraan yang sangat banyak. Kami baru sahaja menambah sebuah lagi kapal pengangkut pesawat yang dilengkapi peralatan serba baru.
“Dan saya berharap kami tidak perlu menggunakannya,” kata beliau. – Agensi berita.