WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menegaskan serangan terbaharu antara Israel dengan Iran tidak akan menggagalkan rundingan damai antara Washington dengan Teheran, sambil menekankan bahawa Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, “tidak menentukan segala-galanya”.

Kenyataan Encik Trump itu dibuat ketika ketegangan kembali memuncak selepas Israel melancarkan serangan baharu di kawasan Beirut pada 7 Jun hanya beberapa hari selepas Amerika mengumumkan pelan gencatan senjata untuk Lebanon.

Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan beberapa peluru berpandu ke arah sasaran di Israel, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa rundingan damai antara Amerika dengan Iran boleh terjejas.

Bagaimanapun, Encik Trump menegaskan perjanjian menamatkan perang lebih luas di rantau itu masih boleh dicapai.

“Ia tidak akan memberi kesan kepada perjanjian itu. Saya yang menentukan segala-galanya. Beliau bukan yang menentukan segala-galanya,” katanya kepada Financial Times, merujuk kepada Encik Netanyahu.

Encik Trump sebelum ini dilaporkan memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan serangan di Lebanon bagi membuka ruang kepada rundingan dengan Iran.

Menurut laporan laman berita, Axios, Encik Trump turut meminta Encik Netanyahu supaya tidak melancarkan serangan lanjut kerana Washington “hampir mencapai sesuatu yang baik dari segi perjanjian”.

Seorang pegawai Amerika berkata Encik Trump berjaya “membeli sedikit masa” bagi memastikan rundingan damai terus berjalan.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berkata mereka menyasarkan pangkalan udara Ramat David berhampiran Nazareth menerusi serangan peluru berpandu terbaru.

Tentera Israel mengesahkan beberapa peluru berpandu dilancarkan dari Iran tetapi mendakwa sistem pertahanan mereka berjaya memintas serangan tersebut.

Lima jam selepas serangan Iran, Encik Netanyahu, masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kejadian itu.

Ketegangan terkini itu turut menyebabkan harga minyak dunia meningkat lebih 2 peratus dalam dagangan awal pada 8 Jun dengan minyak mentah Brent kembali melepasi paras AS$95 ($122) setong.

Encik Trump dan Encik Netanyahu dilaporkan bercakap melalui telefon selama hampir 30 minit ketika Encik Trump berada di kelab golfnya di Bedminster, New Jersey.

Rumah Putih dan pejabat Encik Netanyahu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perbualan tersebut.

Walaupun rundingan damai sedang berlangsung, Israel masih meneruskan serangan terhadap Hezbollah di Lebanon.

Israel menegaskan konflik dengan Hezbollah perlu dianggap berasingan daripada sebarang gencatan senjata melibatkan Iran.

Teheran pula sejak awal menyatakan bahawa sebarang perjanjian damai dengan Amerika bergantung kepada sama ada gencatan senjata di Lebanon benar-benar dipatuhi Israel.

Israel menyerang Lebanon sejak Mac lalu bagi memburu kumpulan Hezbollah yang disokong Iran selepas kumpulan itu melancarkan roket dan dron ke Israel sebagai tanda perpaduan terhadap Teheran.

Ketua Perunding Damai Iran, Encik Mohammed Baqer Qalibaf, berkata pangkalan tentera Amerika dan aset Israel kini dianggap sasaran sah berikutan “pelanggaran perjanjian di Lebanon”.

Sebelum serangan terbaharu pada 7 Jun, Iran tidak lagi menyerang Israel sejak gencatan senjata bermula pada April lalu, walaupun Hezbollah masih meneruskan serangan secara berkala.

Menurut Encik Trump, Washington dan Teheran semakin hampir mencapai persetujuan bagi menamatkan perang.

“Kami sangat hampir mencapai perjanjian, atau saya akan menghancurkan mereka habis-habisan,” katanya dalam wawancara bersama program NBC News, Meet the Press.

Encik Trump juga berdepan tekanan politik domestik untuk memastikan sebarang perjanjian baharu lebih tegas berbanding perjanjian nuklear 2015 yang dimeterai ketika pentadbiran, Encik Barack Obama, sebelum beliau menarik diri daripada perjanjian tersebut.

Amerika mahu memastikan Iran tidak membangunkan senjata nuklear sebagai syarat utama perjanjian damai.

Sebaliknya, Iran menuntut sekatan ekonomi Amerika dan antarabangsa ditarik balik selain pengiktirafan terhadap pengaruh Teheran di Selat Hormuz dan pembebasan berbilion dolar aset negara itu yang dibekukan.

Konflik itu turut menyebabkan gangguan besar kepada perdagangan sejagat selepas Iran menyekat sebahagian besar laluan perkapalan di Selat Hormuz, laluan utama bagi hampir satu perlima perdagangan minyak dunia.

Washington pula melaksanakan sekatan terhadap pelabuhan Iran sebagai tekanan tambahan terhadap Teheran.

Sumber yang mengetahui rancangan Amerika memberitahu agensi berita, Reuters, bahawa Washington sedang mempertimbangkan penggunaan aset Iran bagi membantu negara Teluk membaiki kerosakan akibat serangan Iran.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Luar Iran, Encik Kazem Gharibabadi, memberi amaran bahawa sebarang tindakan menggunakan aset Iran tanpa kebenaran adalah tidak sah.

“Teheran akan bertindak balas,” katanya. – Agensi berita.