Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump tegaskan beliau ‘tentukan segalanya’, bukan Netanyahu
Trump tegaskan beliau ‘tentukan segalanya’, bukan Netanyahu
Presiden AS yakin serangan terbaru Israel-Iran tidak akan gagalkan rundingan damai dengan Teheran
Trump tegaskan beliau ‘tentukan segalanya’, bukan Netanyahu
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menegaskan serangan terbaru antara Israel dan Iran tidak akan menggagalkan rundingan damai antara Washington dengan Teheran, sambil menekankan bahawa Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, “tidak menentukan segala-galanya”.
Kenyataan Encik Trump itu dibuat ketika ketegangan kembali memuncak selepas Israel melancarkan serangan baharu di kawasan Beirut pada 7 Jun hanya beberapa hari selepas Amerika mengumumkan pelan gencatan senjata untuk Lebanon.
Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan beberapa peluru berpandu ke arah sasaran di Israel, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa rundingan damai antara Amerika dan Iran boleh terjejas.
Bagaimanapun, Encik Trump menegaskan perjanjian untuk menamatkan perang lebih luas di rantau itu masih boleh dicapai.
“Ia tidak akan memberi kesan kepada perjanjian itu. Saya yang menentukan segala-galanya. Beliau bukan yang menentukan segala-galanya,” katanya kepada Financial Times, merujuk kepada Encik Netanyahu.
Encik Trump sebelum ini dilaporkan memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan serangan di Lebanon bagi membuka ruang kepada rundingan dengan Iran.
Menurut laporan Axios, Encik Trump turut meminta Encik Netanyahu supaya tidak melancarkan serangan lanjut kerana Washington “hampir mencapai sesuatu yang baik dari segi perjanjian”.
Seorang pegawai Amerika berkata Encik Trump berjaya “membeli sedikit masa” bagi memastikan rundingan damai terus berjalan.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berkata mereka menyasarkan pangkalan udara Ramat David berhampiran Nazareth menerusi serangan peluru berpandu terbaru.
Tentera Israel mengesahkan beberapa peluru berpandu dilancarkan dari Iran tetapi mendakwa sistem pertahanan mereka berjaya memintas serangan tersebut.
Lima jam selepas serangan Iran, Encik Netanyahu masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai insiden itu.
Ketegangan terbaru itu turut menyebabkan harga minyak dunia meningkat lebih 2 peratus dalam dagangan awal pada 8 Jun dengan minyak mentah Brent kembali melepasi paras AS$95 ($122) setong.
Encik Trump dan Encik Netanyahu dilaporkan bercakap melalui telefon selama hampir 30 minit ketika Encik Trump berada di kelab golfnya di Bedminster, New Jersey.
Rumah Putih dan pejabat Netanyahu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perbualan tersebut.
Walaupun rundingan damai sedang berlangsung, Israel masih meneruskan serangan terhadap Hezbollah di Lebanon.
Israel menegaskan konflik dengan Hezbollah perlu dianggap berasingan daripada sebarang gencatan senjata melibatkan Iran.
Teheran pula sejak awal menyatakan bahawa sebarang perjanjian damai dengan Amerika bergantung kepada sama ada gencatan senjata di Lebanon benar-benar dipatuhi Israel.
Israel menyerang Lebanon sejak Mac lalu bagi memburu kumpulan Hezbollah yang disokong Iran selepas kumpulan itu melancarkan roket dan dron ke Israel sebagai tanda solidariti terhadap Teheran.
Ketua perunding damai Iran, Encik Mohammed Baqer Qalibaf berkata pangkalan tentera Amerika dan aset Israel kini dianggap sasaran sah berikutan “pelanggaran perjanjian di Lebanon”.
Sebelum serangan terbaru pada 7 Jun, Iran tidak lagi menyerang Israel sejak gencatan senjata bermula pada April lalu, walaupun Hezbollah masih meneruskan serangan secara berkala.
Encik Trump terus menegaskan bahawa Washington dan Teheran semakin hampir mencapai persetujuan bagi menamatkan perang.
“Kami sangat hampir mencapai perjanjian, atau saya akan menghancurkan mereka habis-habisan,” katanya dalam wawancara bersama program NBC News, Meet the Press.
Encik Trump juga berdepan tekanan politik domestik untuk memastikan sebarang perjanjian baharu lebih tegas berbanding perjanjian nuklear 2015 yang dimeterai ketika pentadbiran Encik Barack Obama sebelum beliau menarik diri daripada perjanjian itu.
Amerika mahu memastikan Iran tidak membangunkan senjata nuklear sebagai syarat utama perjanjian damai.
Sebaliknya, Iran menuntut sekatan ekonomi Amerika dan antarabangsa ditarik balik selain pengiktirafan terhadap pengaruh Teheran di Selat Hormuz dan pembebasan berbilion dolar aset negara itu yang dibekukan.
Konflik itu turut menyebabkan gangguan besar kepada perdagangan global selepas Iran menyekat sebahagian besar laluan perkapalan di Selat Hormuz, laluan utama bagi hampir satu perlima perdagangan minyak dunia.
Washington pula melaksanakan sekatan terhadap pelabuhan Iran sebagai tekanan tambahan terhadap Tehran.
Sumber yang mengetahui rancangan Amerika memberitahu Reuters bahawa Washington sedang mempertimbangkan penggunaan aset Iran bagi membantu negara Teluk membaiki kerosakan akibat serangan Iran.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Luar Iran, Encik Kazem Gharibabadi, memberi amaran bahawa sebarang tindakan menggunakan aset Iran tanpa kebenaran adalah tidak sah.
“Teheran akan mengambil tindakan balas,” katanya. – Agensi berita.
