Trump tegur Netanyahu isu serangan medan gas Iran, dedah perbezaan pendekatan AS-Israel

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump tegur Netanyahu isu serangan medan gas Iran, dedah perbezaan pendekatan AS-Israel

Mar 20, 2026 | 11:51 AM

Trump tegur Netanyahu isu serangan medan gas Iran, dedah perbezaan pendekatan AS-Israel

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Gambar edaran Tentera Laut Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada 18 Mac 2026 oleh Bahagian Hal Ehwal Awam Komando Pusat AS menunjukkan anggota tentera menggerakkan pesawat F/A-18F Super Hornet daripada Skuadron Pejuang Serangan (VFA) 41 di dek penerbangan kapal induk kelas Nimitz, USS Abraham Lincoln (CVN 72), bagi menyokong Operasi Epic Fury pada 17 Mac 2026.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengancam untuk memusnahkan medan gas utama South Pars milik Iran jika berlaku serangan lanjut terhadap loji gas utama di Qatar. Trump turut mengesahkan di platform Truth Social bahawa Israel telah menyerang medan South Pars, namun menegaskan bahawa Amerika Syarikat “tidak mengetahui” mengenai serangan tersebut, yang kemudiannya mendorong Iran melancarkan serangan ke atas kemudahan Ras Laffan di Qatar.
Gambar edaran Tentera Laut Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada 18 Mac 2026 oleh Bahagian Hal Ehwal Awam Komando Pusat AS menunjukkan anggota tentera menggerakkan pesawat F/A-18F Super Hornet daripada Skuadron Pejuang Serangan (VFA) 41 di dek penerbangan kapal induk kelas Nimitz, USS Abraham Lincoln (CVN 72), bagi menyokong Operasi Epic Fury pada 17 Mac 2026. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengancam untuk memusnahkan medan gas utama South Pars milik Iran jika berlaku serangan lanjut terhadap loji gas utama di Qatar. Trump turut mengesahkan di platform Truth Social bahawa Israel telah menyerang medan South Pars, namun menegaskan bahawa Amerika Syarikat “tidak mengetahui” mengenai serangan tersebut, yang kemudiannya mendorong Iran melancarkan serangan ke atas kemudahan Ras Laffan di Qatar. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendedahkan bahawa beliau telah menyuarakan bantahan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berhubung serangan ke atas salah satu medan gas terbesar Iran, sekali gus menonjolkan perbezaan pendekatan antara dua sekutu itu dalam usaha menangani Teheran.

Encik Trump berkata beliau secara langsung meminta Encik Netanyahu supaya tidak meneruskan serangan sedemikian pada masa depan. “Saya beritahu dia jangan buat begitu,” katanya kepada wartawan ketika menerima kunjungan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, di Pejabat Oval.

Beliau turut memberi bayangan bahawa Encik Netanyahu akan mengambil kira teguran tersebut.
“Saya rasa dia tidak akan lakukan lagi,” katanya.

Walaupun mengakui terdapat perbezaan pandangan, Encik Trump menegaskan bahawa Amerika Syarikat dan Israel masih bekerjasama rapat. “Kami bebas membuat keputusan, tetapi kami mempunyai hubungan yang sangat baik,” katanya, sambil menambah bahawa kedua-dua negara tetap “selaras” dalam pendekatan mereka.

Namun, kenyataan itu dilihat bercanggah dengan maklumat daripada pegawai Israel yang menyatakan Amerika Syarikat telah dimaklumkan lebih awal mengenai serangan tersebut.

Encik Trump sebelum ini turut menafikan pengetahuan Amerika Syarikat mengenai serangan itu dalam satu hantaran di media sosial, dengan menegaskan Washington tidak terlibat.

Serangan Israel ke atas medan gas South Pars di Teluk Parsi, yang dikendalikan bersama Iran dan Qatar, mencetuskan ketegangan baharu apabila Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu ke atas kemudahan tenaga di Qatar.

Serangan balas itu menyebabkan kerosakan besar kepada Bandar Perindustrian Ras Laffan, salah satu hab tenaga paling penting di rantau Teluk.

Perkembangan tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemerhati antarabangsa mengenai peningkatan konflik yang semakin tidak terkawal.

Menurut pegawai Eropah, tindakan Israel mencerminkan strategi untuk melemahkan sumber pendapatan utama Iran serta menjejaskan kepimpinan politik dan ketenteraan negara itu, dengan matlamat akhir menjurus kepada “keruntuhan negara”.

Namun, mereka memberi amaran bahawa pendekatan itu berisiko mencetuskan kesan sebaliknya.
“Iran berkemungkinan akan meningkatkan serangan dengan menggunakan dron dan peluru berpandu untuk menyasarkan infrastruktur negara jiran,” kata seorang pegawai.

Konflik yang kini memasuki minggu ketiga tanpa tanda akan berakhir turut memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global.

Serangan terhadap kemudahan tenaga serta sekatan Iran di Selat Hormuz menyebabkan harga minyak terus meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada ekonomi global.

Encik Trump dilihat bimbang serangan berterusan terhadap infrastruktur tenaga akan menyebabkan lonjakan harga minyak yang lebih ketara serta menjejaskan laluan perdagangan penting di Selat Hormuz.
Pentadbirannya kini berusaha memastikan kemudahan minyak dan gas Iran tidak musnah sepenuhnya, bagi mengelakkan Teheran meluaskan serangan ke atas kemudahan tenaga di seluruh rantau Teluk.

Setiausaha Perbendaharaan, Encik Scott Bessent, berkata Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan beberapa langkah untuk menstabilkan pasaran, termasuk melepaskan lebih banyak simpanan minyak strategik.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kemungkinan menggantung sekatan ke atas minyak Iran yang sudah berada di laut, dianggarkan sekitar 140 juta tong, bagi meningkatkan bekalan global. “Kami akan menggunakan bekalan minyak Iran untuk menurunkan harga dalam tempoh 10 hingga 14 hari akan datang,” katanya.

Namun, langkah itu berpotensi memberi manfaat kewangan kepada Iran, sekali gus menimbulkan dilema dalam strategi Washington.

Pada masa sama, Setiausaha Pertahanan Encik Pete Hegseth menegaskan bahawa operasi ketenteraan Amerika Syarikat berjalan mengikut perancangan. “Setakat ini, kami telah menyerang lebih 7,000 sasaran di seluruh Iran dan infrastruktur ketenteraannya,” katanya.

Beliau berkata serangan turut melibatkan penggunaan bom seberat 5,000 paun ke atas lokasi simpanan peluru berpandu berhampiran Selat Hormuz, dalam usaha menghalang Iran daripada mengganggu laluan perkapalan.

Namun, tindak balas pantas Iran terhadap serangan ke atas South Pars menunjukkan Amerika Syarikat belum mencapai apa yang dikenali sebagai “penguasaan eskalasi”, iaitu keupayaan menghalang pihak lawan daripada meningkatkan serangan.

Di rantau Teluk, kebimbangan semakin meningkat bahawa negara-negara seperti Arab Saudi mungkin akan bertindak balas terhadap serangan Iran.

Dua gelombang peluru berpandu balistik dilaporkan dipintas di ruang udara Riyadh sejurus selepas serangan Israel ke atas South Pars.

Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, memberi amaran bahawa negaranya tidak akan berdiam diri jika keselamatan dan sumber ekonominya terancam.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk melindungi negara dan sumber ekonomi kami,” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan garis masa bagi sebarang tindakan ketenteraan.
“Adakah sehari, dua hari atau seminggu? Saya tidak akan mengumumkannya,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa hubungan antara Arab Saudi dan Iran kini berada pada tahap terendah, walaupun kedua-dua negara telah memulihkan hubungan diplomatik pada 2023.- Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg