Iran serang hab tenaga Qatar selepas medan gas diserang
Iran serang hab tenaga Qatar selepas medan gas diserang
Saudi turut jadi sasaran; Trump bantah serangan lanjut ke atas tapak tenaga Iran
RIYADH/TEHERAN: Konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel memasuki fasa lebih berbahaya apabila kemudahan tenaga utama di rantau Teluk menjadi sasaran serangan, sekali gus mencetuskan lonjakan harga minyak sejagat.
Serangan terhadap medan gas South Pars di Iran pada 18 Mac dilihat sebagai titik perubahan besar dalam konflik, sebelum Teheran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Qatar serta Arab Saudi.
Syarikat tenaga milik negara Qatar, QatarEnergy, melaporkan berlaku “kerosakan meluas” di kemudahan Ras Laffan selepas kawasan itu diserang peluru berpandu Iran.
Kompleks tersebut merupakan hab utama industri tenaga dan menempatkan loji eksport gas asli cecair terbesar di dunia.
Kementerian Luar Qatar menyifatkan serangan itu sebagai “satu peningkatan berbahaya dan pelanggaran jelas terhadap kedaulatan negara”.
Sebagai tindak balas, Qatar mengarahkan pegawai tentera dan keselamatan Iran meninggalkan negara itu dalam tempoh 24 jam.
Arab Saudi pula memaklumkan pihaknya berjaya memintas empat peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah Riyadh, selain menggagalkan serangan dron ke atas sebuah kemudahan gas di timur negara itu.
Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, memberi amaran tindakan Iran boleh mengundang tindak balas ketenteraan.
“Tekanan dari Iran ini akan memakan diri dari sudut politik dan moral, dan kami berhak mengambil tindakan ketenteraan jika perlu,” katanya kepada wartawan.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menggesa supaya serangan terhadap kemudahan tenaga dihentikan bagi mengelakkan gangguan lebih besar pasaran sejagat.
Menurutnya, Israel akan menghentikan serangan ke atas medan gas South Pars, namun memberi amaran keras kepada Iran.
“Jika Iran menyerang Qatar, Amerika akan memusnahkan sepenuhnya medan gas South Pars dengan kekuatan yang belum pernah disaksikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Encik Trump turut menegaskan Amerika dan Qatar tidak terlibat dalam serangan awal ke atas medan gas tersebut.
Serangan udara Israel pada 18 Mac menyasarkan tangki simpanan gas di medan South Pars di bandar selatan Iran, Asaluyeh, sekali gus menghentikan pengeluaran di dua loji penapisan dengan kapasiti harian gabungan kira-kira 100 juta meter padu, lapor media Iran.
Laporan The Wall Street Journal itu dibuat selepas Encik Trump menafikan sekeras-kerasnya sebarang perselisihan faham dengan Israel berhubung serangan ke atas kemudahan tenaga Iran, sambil menyifatkan laporan berkenaan sebagai “pembohongan sepenuhnya”.
Beliau sebelum ini turut memberitahu bahawa beliau sengaja mengelak daripada menyasarkan saluran paip minyak di Pulau Kharg, dengan mengambil kira tempoh masa yang lama diperlukan untuk membina semula prasarana berkenaan.
Peningkatan serangan terhadap kemudahan tenaga mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan bekalan sejagat, khususnya apabila Selat Hormuz laluan penting bagi kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dunia turut terjejas.
Amerika kini mempertimbangkan untuk menghantar lebih ramai tentera ke Timur Tengah bagi memastikan laluan kapal tangki minyak kekal selamat.
Di Amerika, harga diesel turut melepasi AS$5 segelen buat kali pertama sejak krisis inflasi 2022.
Pasaran saham global pula menunjukkan penurunan susulan ketidaktentuan yang semakin meningkat.
Menteri luar dari 12 negara majoriti Islam yang bermesyuarat di Riyadh mengutuk serangan Iran dan menggesa agar keganasan dihentikan segera.
Mereka menyatakan bahawa serangan terhadap kawasan kediaman dan prasarana awam seperti lapangan terbang, loji minyak dan kemudahan air tidak boleh dibenarkan dalam apa jua keadaan.
Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Encik Jasem Mohamed Albudaiwi, mengecam sekeras-kerasnya serangan berkenaan.
Encik Albudaiwi berkata serangan itu merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa serta peningkatan ketegangan yang tidak boleh diterima dan mengancam keselamatan serta kestabilan serantau.
Selain serangan ke atas kemudahan tenaga, konflik turut merebak ke beberapa kawasan lain termasuk Lebanon, Iraq dan Israel.
Tentera Israel dilaporkan menyerang Beirut dan membunuh beberapa pegawai kanan Iran, manakala Teheran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu ke beberapa bandar di Israel serta pangkalan Amerika di rantau tersebut.
Kumpulan pemantau hak asasi manusia, HRANA, melaporkan lebih 3,000 orang terbunuh di Iran sejak konflik bermula pada 28 Februari.
Di Lebanon pula, sekitar 900 orang dilaporkan maut dan kira-kira 800,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka.
Trafik perkapalan komersial melalui Selat Hormuz merosot 90 peratus susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat, sekali gus memaksa perdagangan maritim global mengubah laluan ke Cape of Good Hope, yang terletak di hujung selatan Cape Peninsula, kira-kira 50 kilometer ke selatan Cape Town, Afrika Selatan.
Selepas Teheran menutup laluan air penting bagi tenaga dan minyak itu sebagai tindak balas terhadap serangan bersama Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran, Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) menaikkan tahap risiko keselamatan di koridor pengangkutan itu kepada kritikal, sekali gus mendorong syarikat insurans membatalkan serta-merta polisi perlindungan perang bagi kapal-kapal di rantau berkenaan.
Pakar memberi amaran bahawa konflik itu berpotensi memberi kesan jangka panjang terhadap keselamatan tenaga sejagat dan kestabilan ekonomi dunia. – Agensi berita.

