WASHINGTON: Presiden Joe Biden dilaporkan sedang menimbangkan kemungkinan menggugurkan kempen pemilihan semula Demokratnya, kata sumber sedang mantan Presiden Donald Trump secara rasmi menerima pencalonan Parti Republikan sebagai calon presiden dalam ucapan pertamanya selepas terselamat daripada cubaan membunuh.
Nasib kededua calon itu nampaknya berada di landasan yang bertentangan pada 18 Julai menjelang pilihan raya Presiden pada 5 November.
Encik Biden, 81 tahun, sedang mengasingkan diri di rumahnya di Delaware selepas dijangkiti Covid-19, ketika menghadapi tentangan yang semakin meningkat daripada anggota Demokrat yang menggesanya supaya berundur untuk mengelak kekalahan besar.
Doktornya berkata beliau mengalami simptom ringan.
Encik Biden, dilaporkan makin hampir berundur dari Rumah Putih apabila sekutunya termasuk Encik Barack Obama menyuarakan kebimbangan beliau tidak boleh memenangi pemilihan Presiden Amerika Syarikat 2024.
Manakala Encik Trump, 78 tahun, telah menerima pujian sepanjang minggu di konvensyen Kebangsaan Republikan di Milwaukee selepas terselamat daripada cubaan membunuhnya di perhimpunan Pennsylvania pada 13 Julai.
Untuk malam keempat berturut-turut, Encik Trump, yang masih memakai pembalut di telinga kanannya yang cedera itu, mendapat tepukan gemuruh apabila memasuki dewan konvensyen.
“Malam ini, dengan kepercayaan dan kesetiaan, saya dengan bangganya menerima pencalonan anda sebagai presiden Amerika Syarikat,” kata Encik Trump, 78 tahun, dalam ucapan di konvensyen pada 18 Julai.
“Saya bertanding untuk menjadi Presiden bagi seluruh Amerika, bukan separuh Amerika, kerana tiada kemenangan dalam memenangi separuh Amerika,” katanya.
Encik Biden pula telah menghadapi tekanan yang semakin meningkat daripada dalam partinya supaya mempertimbangkan masa depan bagi pemilihan semula Presiden Amerika 2024.
Menurut sumber Rumah Putih, Mantan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat, Cik Nancy Pelosi, adalah antara mereka yang memberitahu Encik Biden bahawa beliau tidak boleh menang pada November.
Selepas berminggu-minggu menegaskan bahawa beliau akan kekal dalam pertandingan, Encik Biden kini menerima gesaan supaya berundur dan beberapa pegawai Demokrat berpendapat beliau hanya menunggu masa untuk berbuat demikian, kata sumber yang mengetahui perkara itu.
Orang yang rapat dengan presiden memberitahu New York Times bahawa mereka percaya Encik Biden telah mula menerima idea bahawa beliau mungkin perlu melepaskan jawatannya itu.
Pemimpin Demokrat di Dewan Rakyat dan Senat, Encik Hakeem Jeffries dan Encik Chuck Schumer, telah memberitahu Encik Biden secara langsung bahawa beliau bukan sahaja akan kehilangan Rumah Putih malah, membahayakan usaha mereka untuk memenangi semula Dewan Rakyat, lapor beberapa saluran berita.
Tinjauan pendapat menunjukkan empat daripada tujuh negeri paling berdaya saing kelihatan semakin sukar dicapai Encik Biden.
Sementara itu, Encik Trump percaya ia kini berdaya saing di negeri-negeri yang condong kepada Demokrat termasuk Minnesota, New Hampshire, dan Virginia.
Senator Jon Tester, yang menghadapi pertarungan pemilihan semula yang mencabar di Montana pada 2024, merupakan senator kedua yang secara terbuka menyeru Encik Biden supaya berundur.
Bekas Presiden Barack Obama, telah memberitahu orang lain bahawa Encik Biden, yang merupakan naib presidennya, harus memikirkan semula pencalonannya, lapor Washington Post, memetik sumber tanpa nama. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg