Trump terima taklimat risikan, pemerintah Iran dilapor semakin lemah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump terima taklimat risikan, pemerintah Iran dilapor semakin lemah

Jan 27, 2026 | 1:57 PM

Trump terima taklimat risikan, pemerintah Iran dilapor semakin lemah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Penduduk Iran berjalan melepasi papan iklan yang memaparkan gambar Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berserta ayat dalam bahasa Parsi yang berbunyi “Kami mengenali Presiden Amerika Syarikat sebagai penjenayah” susulan protes anti-pemerintah, di sebuah jalan di Teheran, Iran, pada 24 Januari 2026. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memperbaharui ancaman tindakan ketenteraan terhadap Iran susulan gelombang protes anti-pemerintah ketika negara itu mengalami gangguan internet di seluruh negara yang bermula pada 8 Januari 2026.
Penduduk Iran berjalan melepasi papan iklan yang memaparkan gambar Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berserta ayat dalam bahasa Parsi yang berbunyi “Kami mengenali Presiden Amerika Syarikat sebagai penjenayah” susulan protes anti-pemerintah, di sebuah jalan di Teheran, Iran, pada 24 Januari 2026. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memperbaharui ancaman tindakan ketenteraan terhadap Iran susulan gelombang protes anti-pemerintah ketika negara itu mengalami gangguan internet di seluruh negara yang bermula pada 8 Januari 2026. - Foto EPA

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah menerima beberapa laporan risikan Amerika Syarikat yang menunjukkan bahawa kedudukan pemerintah Iran semakin lemah, menurut beberapa individu yang mengetahui kandungan laporan berkenaan.

Laporan risikan itu menyatakan bahawa pegangan kerajaan Iran terhadap kuasa kini berada pada tahap paling rapuh sejak kejatuhan Shah Iran dalam Revolusi Islam 1979, satu penilaian yang mencerminkan tekanan politik, ekonomi dan sosial yang semakin menghimpit kepimpinan Tehran.

Menurut laporan tersebut, gelombang protes yang tercetus pada penghujung tahun 2025 telah menggoncang asas pemerintah Iran, khususnya apabila demonstrasi merebak ke kawasan yang sebelum ini dianggap sebagai kubu sokongan kuat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Walaupun protes itu kini dilihat semakin reda, laporan perisikan menegaskan bahawa pemerintah Iran masih berada dalam keadaan sukar. Selain tekanan politik, ekonomi negara itu digambarkan sebagai sangat lemah dari segi sejarah, sekali gus memburukkan lagi ketidakpuasan rakyat, lapor The New York Times.

Kesukaran ekonomi telah mencetuskan protes secara berselang-seli pada akhir Disember, sebelum ia merebak dengan lebih meluas pada Januari. Laporan menyebut bahawa ketika demonstrasi semakin membesar, pemerintah Iran mendapati mereka mempunyai pilihan yang sangat terhad untuk mengurangkan tekanan kewangan yang ditanggung keluarga rakyat.

Sebagai tindak balas, pihak berkuasa Iran bertindak menggunakan pendekatan keras, satu langkah yang menurut laporan perisikan telah mengasingkan lagi sebahagian besar rakyat daripada pemerintah.

Sementara itu, tentera Amerika Syarikat dilaporkan mempergiat pembinaan kekuatan ketenteraan di rantau tersebut, meskipun masih belum jelas apakah langkah seterusnya yang sedang dipertimbangkan oleh pentadbiran Trump.

“Presiden Trump sentiasa menerima taklimat mengenai perkara perisikan di seluruh dunia,” kata Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, dalam satu kenyataan. “Adalah satu kecuaian tugas sebagai panglima tertinggi sekiranya beliau tidak menerima taklimat secara berkala. Berhubung Iran, Presiden Trump terus memantau keadaan dengan rapat,” katanya.

Sebelum ini, Encik Trump telah memberi amaran bahawa beliau tidak menolak kemungkinan serangan ketenteraan terhadap Iran, khususnya apabila tindakan keras pemerintah terhadap penunjuk perasaan semakin meluas. Namun, para penasihatnya dilaporkan berbelah bahagi mengenai manfaat serangan sedemikian, terutamanya jika ia hanya bersifat simbolik dan menyasarkan elemen pemerintah yang terlibat dalam penindasan.

Encik Trump kemudiannya dilihat mengendurkan pendirian terhadap serangan segera, selepas pemerintah Iran membatalkan rancangan pelaksanaan hukuman mati terhadap seorang penunjuk perasaan. Menurut seorang pegawai kanan Amerkka, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, turut meminta Encik Trump supaya menangguhkan sebarang serangan ke atas Iran.

Namun begitu, kempen lebih menyeluruh mendapat sokongan pembantu dan sekutu Encik Trump yang berpendirian tegas, melihat situasi semasa sebagai peluang menyingkirkan kepimpinan Iran. Encik Trump sendiri terus mengekalkan ancaman penggunaan kekerasan, malah menggambarkan pengumpulan kekuatan tentera laut AS di rantau itu sebagai sebuah “armada.”

Trump juga beberapa kali menyentuh isu program nuklear Iran, sambil mengeluarkan amaran dan mengingatkan Tehran tentang serangan yang beliau arahkan tahun lalu terhadap kemudahan penyelidikan Iran yang dilindungi ketat.

Senator Republikan dari Carolina Selatan, Cik Lindsey Graham, berkata beliau telah berbincang dengan Encik Trump mengenai Iran dalam beberapa hari kebelakangan ini dan menjangkakan presiden itu akan menunaikan janjinya untuk membantu rakyat Iran yang bangkit menentang pemerintah mereka.

“Matlamatnya adalah untuk menamatkan rejim itu,” kata Cik Graham. “Mereka mungkin berhenti membunuh hari ini, tetapi jika mereka masih berkuasa bulan depan, mereka akan membunuh lagi,” katanya.

Dari segi ketenteraan, seorang pegawai Amerika yang bercakap secara tanpa nama berkata, kapal induk USS Abraham Lincoln, bersama tiga kapal perang yang dilengkapi peluru berpandu Tomahawk, telah memasuki kawasan tanggungjawab Pemerintahan Pusat Amerika di Lautan Hindi barat.

Jika Rumah Putih mengarahkan serangan terhadap Iran, kapal induk itu, secara teori, boleh melancarkan tindakan dalam tempoh satu atau dua hari, menurut pegawai tentera.

Amerika Syarikat juga telah menghantar belasan pesawat serangan F-15E tambahan ke rantau itu bagi memperkukuh keupayaan serangan udara. Pentagon turut menempatkan lebih banyak sistem pertahanan udara Patriot dan THAAD untuk melindungi tentera Amerika daripada sebarang serangan balas peluru berpandu jarak pendek dan sederhana Iran.

Pengebom jarak jauh yang berpangkalan di Amerika Syarikat pula diletakkan pada tahap kesiapsiagaan lebih tinggi daripada biasa. Pentagon meningkatkan tahap amaran itu dua minggu lalu selepas Trump meminta pilihan tindak balas terhadap tindakan keras Iran ke atas protes.

Pegawai Pentagon juga meningkatkan rundingan dengan sekutu serantau. Ketua Pemerintahan Pusat Amerika, Laksamana Brad Cooper, melawat Syria, Iraq dan Israel pada hujung minggu lalu bagi bertemu pegawai tentera Amerika dan rakan sejawat mereka.

Menurut seorang pegawai kanan tentera Amerika, lawatan Cooper bertujuan meninjau tentera Amerika dan pusat tahanan di timur laut Syria, ketika Amerika mula memindahkan tahanan kumpulan ISIS ke Iraq berikutan kebimbangan mereka mungkin melarikan diri.

Pada masa yang sama, Amerika menyampaikan mesej tegas kepada Iraq bahawa jika militan Syiah menyerang pangkalan atau tentera AS sekiranya ketegangan dengan Iran meningkat, Amerika Syarikat akan bertindak balas.

Pentadbiran Trump juga mengadakan perbincangan dengan pegawai Arab Saudi dan Qatar, selain Israel dan Iraq. Seorang pegawai Amerika berkata Washington kekal terbuka untuk berhubung dengan Iran.
“Kami terbuka untuk berbincang, selagi Teheran memahami syaratnya,” katanya. “Saya fikir mereka tahu syarat itu. Mereka sedar mengenainya.”

Protes di Iran bermula pada akhir Disember akibat tekanan ekonomi, sebelum bertukar menjadi gerakan besar-besaran menentang Republik Islam. Kumpulan hak asasi menuduh pihak berkuasa melancarkan tindakan keras luar biasa, termasuk melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di sebalik penutupan internet.

Encik Trump sebelum ini memberi amaran bahawa AS akan campur tangan secara ketenteraan sekiranya Iran membunuh penunjuk perasaan, namun menarik balik arahan serangan awal bulan ini selepas Teheran dilaporkan menghentikan ratusan hukuman mati di bawah tekanan Washington. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg